Saffron yang merupakan tumbuhan perubatan kuno dan rempah termahal di dunia sentiasa mempunyai kuasa magik dan ketagihan yang teramat. 

Setiap budaya tampaknya memiliki mitos tersendiri mengenai kehebatan Safron, dan pada abad ke-14, populariti safron melonjak ke seluruh Eropah apabila ia dianggap sebagai penawar yang mungkin boleh menyembuhkan wabak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam mitologi Yunani, Zeus kadang-kala dikatakan tidur di atas katil safron, manakala Cleopatra dikatakan mandi dengan safron dan susu, menggunakan sifat pewarnaan rempah itu sebagai cara menjadikan kulit lebih gelap pada zaman kuno.

Alexander the Great pula menggunakannya untuk menyembuhkan luka ketika pertempuran.

Sebagai rempah paling mahal di dunia, harga safron tulen boleh mencecah RM40,000 sekilogram dan 150 kuntum bunga diperlukan untuk mendapatkan hanya 1 gram safron.

Dan jika anda memiliki safron di dapur anda, ia mungkin palsu kerana safron tulen sangat sukar untuk didapatkan.

Jadi, apa yang membuatkan rempah ini tersangat mahal?

bunga saffron crocus

Safron adalah stigma merah bagi bunga Crocus sativus. Setiap bunga crocus ini mempunyai tiga stigma kecil yang perlu dipetik dengan berhati-hati menggunakan tangan.

Tuaian kecil ini bermakna jumlah safron yang diperolehi bagi setiap bunga ini hanyalah 0.006 gram.

Malah, tiada mesin yang dapat melakukan kerja-kerja halus dan sangat teliti yang diperlukan untuk menuai benang nipis ini.

Dan untuk mendapatkan 1 kilogram safron yang berkualiti tinggi, ia memerlukan kerja buruh manual yang sukar selama 40 jam.

Bukan sahaja tuaian safron ini sangat sukar, malah menanamnya merupakan sesuatu yang sangat mencabar kerana ia bergantung kepada bagaimana bunga ini dijaga, bagaimana ia ditanam dan iklim.

Sebagai contoh, jika hujan turun sebelum tuaian, bunga yang terhasil adalah lebih besar. Dan jika cuaca kering sebelum menuai, bunga akan menjadi lebih kecil.

safron lebih mahal dari emas

Oleh itu, tanaman ini dijaga sepanjang tahun dengan tangan dan dipetik menggunakan tangan, lalu diproses juga menggunakan tangan.

Setelah tanaman mula berbunga, penuai harus bekerja dengan pantas untuk memastikan mereka dapat memetik bungan ini tepat pada waktunya.

Hampir semua safron yang ditanam dapat berbunga dalam satu minggu dalam setahun dan bagi menjaga kualitinya, waktu terbaik untuk memetik bunga-bungaan ini adalah pada waktu pagi.

Rasa safron bergantung pada hujan, suhu, dan tanah dan Kashmir sangat terkenal dengan penghasilan sebahagian besar safron berkualiti tinggi di dunia.

Saffron yang paling mahal dan paling tinggi hargnya biasanya terdiri daripada bahagian hujung stigma bunga ini yang bermaksud untuk mendapatkaan safron berkualiti tinggi, sebahagian daripada stigma safron perlu dibuang.

Di Iran, di mana lebih dari 90% safron dunia dihasilkan, terdapat empat gred safron. Gred terendah adalah keseluruhan helaian yang dipetik dari bunga, dari hujung merah gelap hinggalah ke pangkal kuning.

proses tanaman dan tuaian safron 317

Bagi gred yang lebih berkualiti, helaian kuning tersebut dibuang meninggalkan hanya sehelai safron panjang berwarna merah tulen.

Ini bermakna sekilogram safron mungkin memerlukan 450,000 helaian dan untuk mendapatkan helaian sebanyak ini, 150,000 bunga diperlukan. Bunga sebanyak ini memerlukan kawasan yang sangat luas untuk tumbuh.

Sebagai contoh, jintan boleh memberikan hasil tuaian sebanyak 600 kilogram bagi setiap ekar tanah dan buah pala memberikan 350 kilogram tuaian untuk keluasan yang sama.

Dan jika keluasan yang sama digunakan untuk menanam tanaman ini, hasilnya hanyalah 1.8 kilogram, 0.3% berbanding jintan.

Walaupun tanaman ini memerlukan kerja yang perit dan kawasan yang luas, namun permintaan terhadap safron meningkat.

Lebih daripada 200 metrik tan helaian safron dituai setiap tahun di seluruh dunia, melibatkan 30 bilion bunga.

proses menuai safron dari bunga 162

Permintaan yang terlalu tinggi terhadap rempah ini membuatkan banyak pemalsuan atau penghasilan safron palsu.

Helaian yang sekali pandang dilihat seakan-akan safron mungkin sebenarnya diperbuat daripada sutera jagung, serat kelapa, atau bulu kuda.

Malah, pewarna sintetik juga digunakan untuk mewarnakan stigma safron berkualiti rendah dan menjualnya sebagai safron berkualiti tinggi. 

Pada hujung tahun 2019, satu kumpulan jenayah pemalsuan safron ditemui di United Kingdom yang membawa kepada penyelidikan antarabangsa selama dua tahun.

Dan pada tahun 2010, Sepanyol telah mengeskport 190,000 kilogram safron bernilai RM200 juta, tetapi jumlah pengeluaran safron oleh negara ini hanyalah 1,500 kilogram.

safron palsu dan sebenar 399

Pada ketika itu, sebuah kesatuan petani tempatan melaporkan bahawa sehingga 90% eksport safron oleh Sepanyol adalah penipuan.

Industri ini telah berusaha untuk menghentikan produk palsu dan penyalahan label ini, tetapi masalahnya masih berlanjutan dan pasar untuk safron palsu memusnahkan banyak petani safron tulen.

Dan masalah terhadap safron di situ kerana terdapat isu lain, iaitu perubahan iklim. Di Kashmir, pengeluaran safron menurun dengan mendadak dan ramai petani menjual tanah mereka.

Di antara tahun 2017 dan 2018, pengeluaran safron di wilayah ini turun hampir 70%, dari 16.5 metrik tan kepada 5.2 metrik tan.

Dan dengan kemarau dan perubahan iklim yang berterusan, penuaian ini menjadi semakin sedikit memungkinkan safron menjadi semakin sukar untuk didapati.

Rujukan:

1. Courier Press

2. Business Insider

3. Britannica




Hakcipta iluminasi.com (2017)