keseimbangan ekosistem bumi 779

Setiap tumbuhan dan haiwan yang ada di muka Bumi ini bukanlah diciptakan Tuhan dengan sia-sia. Setiap satunya mempunyai peranan dan kepentingan masing-masing di atas muka Bumi dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem sedia ada.

Disebabkan itulah kepupusan sesuatu haiwan amat menggusarkan para saintis kerana dikhuatiri akan menyebabkan keseimbangan dalam rantaian makanan dan ekosistem semulajadi. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 8 hidupan yang amat penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem Bumi dan peranannya.

1. Lebah sangat penting untuk proses pendebungaan

peranan lebah

Lebah beperanan sejak 100 juta tahun yang lalu sebagai komponen ekosistem yang sihat dan berkembang. Evolusi mereka sebagai serangga pendebungaan sangat penting bagi kitaran hidup beberapa spesies tumbuhan. Ini telah menjadi hubungan semi-simbiotik yang aman dan saling menguntungkan selama bertahun-tahun lamanya.

Dianggarkan bahawa sekitar 70% tanaman yang kita makan bergantung pada interaksi antara tanaman dan lebah ini. Malangnya, penggunaan racun perosak moden mengancam hubungan yang sangat penting ini dan dikhuatiri akan menganggu keseimbangan ekosistem ini pada masa hadapan. 

2. Jerung membantu menjaga ekosistem laut

peranan jerung

Jerung memainkan peranan penting bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem di lautan. Sebagai pemangsa di puncak rantaian makanan, mereka membantu mengekalkan populasi spesies lain di lautan. Ketakutan haiwan laut terhadap jerung menyebabkan beberapa spesies mengubahnya penggunaan habitat dan tahap aktiviti mereka, mengelakkan satu spesies memonopoli sumber daya yang terhad.

Jerung membantu menjaga kesihatan ekosistem laut, termasuk kesihatan rumpai laut dan terumbu karang. Malangnya, pelbagai aktiviti alam sekitar dan perbuatan manusia telah merosakkan populasi mereka selama beberapa dekad. Dan sekiranya bilangan jerung merosot, lautan akan menerima akibat buruknya.

3. Kulat adalah pengitar semulajadi dunia

peranan kulat

Kulat terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada yang membusuk makanan kita, ada yang memberi kita penisilin dan ada yang boleh dinikmati sebagai juadah. Secara ringkasnya, tanpa pelbagai jenis kulat di seluruh dunia kehidupan dengan cepat akan menghadapi masalah serius.

Kulat memainkan peranan penting dalam melepaskan kembali nutrien ke dalam rantai makanan setelah  tumbuh-tumbuhan dan haiwan mati. Oleh itu, mereka adalah pengitar semula jadi dunia. Walaupun begitu, banyak spesies menghadapi kepupusan daripada pencemaran dan aktiviti pertanian.

4. Kelawar sebagai pelindung sebilangan tanaman/makanan

peranan kelawar

Kelawar mempunyai kedudukan penting dalam ekosistem dengan memainkan peranan penting mengawal populasi serangga perosak, seterusnya membolehkan pokok-pokok tanaman seperti pisang, mangga, kurma dan seumpamanya hidup subur dan hasilnya dapat dinikmati.

Malah, beberapa spesies haiwan ini juga menyediakan strategi pendebungaan penting untuk beberapa tanaman. Kelawar juga menjimatkan perbelanjaan berjuta-juta dolar dalam penggunaan racun perosak. Malangnya, beberapa spesies dari mereka kini terancam dan banyak pihak berkuasa tempatan di seluruh dunia sekarang melindungi mereka kerana tahu peranan penting yang dimainkan mereka.

5. Cacing tanah mengekalkan kesuburan tanah

cacing tanah

Cacing tanah mempunyai peranan yang sangat penting bagi biosfera Bumi. Mereka berperanan untuk mengudara tanah dan memperkayanya dengan organik dan mineral yang sangat diperlukan melalui najis mereka. Nutrien inilah yang diperlukan untuk tumbuh-tumbuhan untuk hidup subur.

Malangnya, cacing tanah turut berada di bawah ancaman serius akibat daripada penggunaan tanah secara berlebihan dan pembuangan bahan kimia yang merosakkan sifat tanah dengan menjadikannya lebih berasid. Tanah dengan pH yang rendah ini sememangnya memberi kesan serius pada kemampuan cacing tanah untuk membiak.

6. Fitoplankton adalah paru-paru Bumi

fitoplankton 98

Penjanaan oksigen oleh fitoplankton jauh lebih besar daripada daripada sumbangan hutan di darat dengan fitoplankton menghasilkan sekitar 2/3 oksigen atmosfera dunia. Mereka juga berperanan penting sebagai asas rantai makanan.

Tidak dapat dikira betapa pentingya peranan mikro-organisma ini hidup di Bumi. Tanpa mereka, jumlah oksigen bebas di atmosfera akan jauh lebih rendah menjadikannya sangat tidak selesa untuk hidup di planet ini.

7. Semut sebagai agen kesuburan tanah

peranan semut

Semut berperanan untuk menggemburkan dan mengudarakan tanah, seterunya membolehkan air dan oksigen sampai ke akar tanaman. Semut juga membawa benih ke dalam terowongnya untuk memakan elaiosom berkhasiat yang merupakan sebahagian daripada biji benih.

Semut memakan pelbagai jenis bahan organik dan menyediakan makanan untuk pelbagai organisma. Semut juga merupakan sumber makanan binatang lain secara langsung dan menjadi inspirasi untuk pembangunan kecerdasan buatan atau AI. Kenaikan suhu global boleh memberi kesan serius kepada populasi semut di seluruh dunia.

8. Terumbu karang sangat penting bagi ekosistem  laut

kepentingan terumbu karang

Terumbu karang melindungi garis pantai dari ribut dan hakisan, menyediakan pekerjaan untuk masyarakat setempat dan menawarkan peluang untuk rekreasi. Mereka juga merupakan sumber makanan dan ubat baru. Lebih setengah bilion orang bergantung pada terumbu karangng untuk makanan, pendapatan dan perlindungan.

Memancing, menyelam dan snorkeling berdekatan terumbu menjana pendapatan ratusan juta dolar untuk masyarakat setempat. Nilai ekonomi bersih terumbu karang dunia dianggarkan hampir puluhan juta dollar US setahun. Pertambaham paras laut dan suhu di seluruh dunia mengancam masa depan banyak terumbu karang di seluruh dunia.

Kredit:

  1. Science Daily
  2. National Geographic
  3. Mongabay
  4. The Conversation
  5. NOAA


Hakcipta iluminasi.com (2017)