Digambarkan sebagai salah satu pasukan polis terbaik dunia, Scotland Yard juga merupakan penguasa undang-undang paling terkenal dalam sejarah. Pelbagai kes berprofil tinggi di seluruh dunia pernah menggunakan kepakaran pasukan Scotland Yard ini dalam menyelesaikan masalah berkaitan penyiasatan.

Namun, ada beberapa perkara yang masih ramai tidak tahu mengenai pasukan polis terkenal ini. Berikut adalah 7 perkara menarik mengenai Scotland Yard yang kami ingin kongsikan bersama anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Nama pasukan ini diperolehi daripada keadaan geografi

lukisan bangunan asal scotland yard

London tidak mempunyai polis rasmi sehinggalah pada tahun 1829, apabila Menteri Dalam Negeri iaitu Sir Robert Peel telah mengatur satu pasukan untuk menggantikan sistem yang tidak stabil di antara pengawal, penjaga jalanan dan polis sungai.

Kolonel Charles Rowan dan Richard Mayne telah diamanahkan untuk menguruskan pasukan itu. Rumah Richard Mayne yang terletak di no 4, Whitehall Place yang mempunyai kawasan terbuka (yard), suatu masa dahulu menjadi Istana sementara bagi keluarga diraja Scotland ketika mereka berada di London.

Bangunan yang digelar Scotland Yard itu juga dikatakan telah menginspirasikan nama sebuah jalan di belakangnya yang diberi nama Great Scotland Yard Road. Itulah kisah mengenai nama pasukan penguatkuasa alaf baru yang ditubuhkan oleh Rowan dan Mayne ini.

2. Charles Dickens pernah ikut melakukan rondaan bersama

charles dickens

Charles Dickens merupakan penulis buku terkenal Great Expectations dan juga beberapa karya sastera klasik yang lain tetapi dia bukanlah seorang anggota polis. Walaupun begitu dia pernah ikut bersama pasukan polis Scotland Yard ini untuk melakukan rondaan pada kurun ke-19.

Ini disebabkan oleh Dickens yang mempunyai seorang rakan bernama Charles Frederick Field yang juga merupakan Pegawai Penyiasat Scotland Yard. Disebabkan persahabatan ini, Field membenarkan Dickens untuk mengikuti mereka untuk melakukan rondaan pada waktu malam. Fields juga menjadi salah satu watak dalam novel tulisan Dickens iaitu Bleak House.

3. Terdapat anggota polis yang korup pada awal penubuhannya

harry benson dan william kurr

Pada suatu ketika, penduduk London menjadi curiga terhadap Scotland Yard. Ini kerana pasukan polis itu telah mendapat gambaran buruk pada tahun 1877 akibat kejadian yang dikenali sebagai “Turf Fraud Scandal” atau “Trial of the Detectives". Ia meletus apabila seorang wanita kenamaan Parsi bernama Madame de Goncourt telah ditipu oleh dua orang lelaki bernama Harry Benson dan William Kurr.

Seorang penyiasat bernama Nathaniel Druscovich telah dikerahkan ke Amsterdam untuk menangkap Benson manakala yang lain pula mencari Kurr. Walau bagaimanapun, kedua-dua penjenayah itu begitu licik dan sukar ditangkap. Ini telah menimbulkan kesangsian di kalangan polis Scotland Yard.

scotland yard london

Apabila kedua-dua mereka berjaya ditahan, mereka mendedahkan telah memberi rasuah kepada seorang penyiasat bernama John Meiklejohn sebagai pertukaran maklumat tentang aktiviti polis dalam memburu mereka. Dua orang polis lain juga terlibat dan kesemua mereka telah dihukum penjara selama dua tahun.

Oleh disebabkan perkara ini, pasukan Scotland Yard telah dirombak semula dan Jabatan Penyiasatan Jenayah telah diperkenalkan untuk mengurangkan penyalahgunaan kuasa di kalangan polis.

4. Membantu sistem penyiasatan cap jari

sistem penyiasatan cap jari 941

Suatu masa dahulu, teknologi mengenai pengecaman cap jari hanyalah sebuah teori yang tidak dapat dilakukan secara praktikal. Kebanyakan pasukan polis pada masa itu bergantung kepada sistem antropometri iaitu Ilmu tentang ukuran perkadaran bahagian tubuh manusia.

Sistem ini telah diasaskan oleh seorang polis Perancis bernama Alphonse Bertillon yang menggunakan 11 kaedah ukuran untuk mengenalpasti identiti seseorang itu.

Walaupun teknologi mengesan cap jadi ini bermula di India pada penghujung tahun 1800-an, akan tetapi dunia barat mula menggunakan sistem ini pada tahun 1901. Timbalan Pesuruhjaya Scotland Yard iaitu Sir Edward Henry telah mengetuai Biro Polis Bahagian Cap Jari. 

Pada tahun 1902, buat pertama kalinya seorang pencuri telah didakwa berdasarkan cap jarinya yang ditinggalkan pada cermin tingkap. Pada 1904, seorang detektif telah memperkenalkan teknologi cap jari ini di St. Louis World's Fair kepada penguatkuasa undang-undang Amerika.

5. Pasukan peronda Scotland Yard tidak membawa senjata api sehingga 1994

pegawai polis scotland yard

Pasukan polis berunifom yang meronda di kawasan sekitar London ini tidak membawa senjata api sehinggalah pada tahun 1994. Ia disebabkan oleh peningkatan serangan terhadap pihak polis yang berlaku.

Namun, ianya hanya terhad kepada pasukan polis berkenderaan yang ditugaskan untuk panggilan berisiko tinggi sahaja. Semasa ia baru diperkenalkan, senjata api perlulah di simpan dalam kotak berkunci di dalam kereta.

Hari ini 90% polis Scotland Yard tidak membawa senjata api kerana kadar penggunaan senjata api yang rendah di kalangan orang awam. Hanya empat daripada 100 anggota sahaja yang mempunyai senjata api.

6. Mereka mempunyai pasukan "Super Recognizers"

pasukan super recognizers scotland yard

Dengan mempunyai kamera CCTV yang memantau di seluruh London, pengenalan wajah untuk mengenalpasti suspek penjenayah adalah amat penting. Tiada satu perisian komputer yang mampu melawan kehebatan pasukan "super recogizers" Scotland Yard ini.

Sekumpulan pegawai telah dipilih kerana kebolehan mereka mengenalpasti wajah dan nama berdasarkan ingatan mereka. Kali pertama ujian untuk memilih pegawai pengecam wajah dilakukan di Universiti Harvard pada tahun 2009.

Mereka yang lulus cemerlang dalam ujian itu mempunyai kebolehan hebat untuk mengecam dan sering digunakan untuk mengenalpasti suspek dalam jenayah menyeluk saku di khalayak ramai.

Konstabel Gary Collins merupakan salah seorang pakar yang pernah mengenalpasti 180 suspek daripada 4000 orang ketika melihat rakaman CCTV sewaktu rusuhan di London pada 2011, manakala perisian komputer hanya mampu mengenalpasti seorang suspek sahaja.

7. Mereka mempunyai muzium jenayah sendiri

muzium hitam scotland yard

Bertempat di dua aras bangunan ibu pejabat Polis Metropolitan di London, terletaknya Muzium Hitam yang menempatkan pelbagai bahan bukti yang dikumpul selama 150 tahun.

Diasaskan pada tahun 1875, muzium ini menyimpan pelbagai benda daripada organ manusia di dalam balang asid, peralatan memasak pembunuh bersiri Scotland iaitu Dennis Nilsen yang digunakan untuk memasak daging manusia dan pelbagai benda lain lagi.

Ia tidak dibuka untuk orang awam namun beberapa orang selebriti seperti Sir Arthur Conan Doyle penah dibawa masuk melihatnya. Beberapa bahan bukti juga telah diberikan kepada Muzium London untuk pameran umum pada tahun 2015.




Hakcipta iluminasi.com (2017)