Kita semua tahu karier pemain bola sepak profesional mampu menawarkan gaji bulanan yang tinggi kepada pemain. Di negara kita, gaji lima angka adalah perkara biasa. Ada juga menerima pendapatan enam angka sebulan.

Walaupun begitu, karier pemain bola sepak profesional agak singkat secara puratanya berlangsung sekitar 12 ke 17 tahun sahaja. Lagipun bukan semua pemain mampu hidup mewah menerima gaji besar - khasnya mereka yang gagal mencapai puncak. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi yang handal, selain bermain dengan kelab/persatuan karier pemain yang berada pada tahap tertinggi turut melibatkan penglibatan mereka bersama skuad kebangsaan negara masing-masing.

Jika gaji bermain dengan kelab kadarnya sangat tinggi, berapa agaknya pendapatan mereka bermain untuk negara sendiri?

Gaji berdasarkan penampilan

berapa gaji pemain pasukan kebangsaan

Berbeza dengan karier dalam kelab yang memberikan pemain pendapatan secara mingguan atau bulanan, karier bersama pasukan kebangsaan dikendalikan oleh persatuan bola sepak rasmi negara dengan kaedah berlainan.

Pemain yang dipanggil akan dibayar mengikut penampilan, dengan setiap negara mempunyai kadar elaun berbeza untuk satu perlawanan. Tidak ada formula khusus atau syarat yang telah ditetapkan badan induk FIFA dalam menentukan gaji setiap pemain.

Sebagai contoh, pasukan bola sepak England dalam kempen Piala Dunia tahun 2018 membayar secara sama rata £2,000 (RM11,300) kepada semua pemain untuk setiap perlawanan. Angka itu JAUH lebih kecil berbanding dengan gaji yang mereka terima di kelab masing-masing kan?

Walaupun gaji yang ditentukan melalui penyertaan satu perlawanan kecil nilainya, pemain diberikan insentif lebih tinggi sekiranya pasukan kebangsaan disertai berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam kejohanan. 

Pasukan England dijanjikan ganjaran £217,000 setiap seorang (RM1.2 juta) sekiranya mereka berjaya memenangi Piala Dunia edisi 2018 oleh persatuan bola sepak negara mereka.

Prestij mewakili negara mengatasi habuan wang ringgit

pasukan kebangsaan perancis

Angka yang rendah sebagai gaji itu pasti mengejutkan anda bukan? Dalam tahun 2012, pasukan kebangsaan England menggunakan formula berbeza bergantung dengan keputusan dalam menentukan elaun pemain.

Untuk setiap satu perlawanan, pemain akan dibayar £1,500 untuk perlawanan yang mereka menangi, £1,000 untuk perlawanan yang berakhir dengan seri dan hanya £750 jika mereka kalah. 

Bagi negara yang tidak 'lokek' untuk membayar pemain kebangsaan seperti Perancis, gaji pemain kebangsaan memang jauh lebih tinggi berbanding apa yang dibayar persatuan bola sepak England.

Kesemua pemain pasukan kebangsaan Perancis dibayar sama rata £17,000 (RM96,150) tak kiralah mereka bermain sebagai penyerang, pemain tengah atau pertahanan sekalipun, kekal sama di antara berstatus pemain bintang atau pemain muda dalam penyertaan sesuatu kejohanan.

Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) pula pada penghujung tahun 2020, mengumumkan skim gaji sama rata di antara pemain pasukan bola sepak lelaki dan wanita termasuklah daripada aspek insentif kemenangan dalam kejohanan.

Selain usaha imbuhan dianjurkan persatuan bola sepak, FIFA sebagai badan induk juga memainkan peranan besar dalam menyeimbangkan tuntutan kejohanan perlawanan kebangsaan dan perlawanan di antara kelab.

Sejak beberapa tahun lalu, FIFA mewujudkan program dinamakan Program Manfaat Kelab (Club Protection Programme) bertujuan untuk membayar pampasan kepada mana-mana kelab yang perlu melepaskan pemain bagi menyertai perlawanan antarabangsa - kerana kelab masih perlu menanggung gaji pemain.

FIFA juga bertanggungjawab membayar pampasan kepada kelab yang mengalami kecederaan pemain akibat penyertaan pasukan negara, dengan nilai maksima RM20,500 sehari akan dibayar kepada kelab - sehinggalah pemain dapat kembali melaporkan diri dengan kelabnya.

Main untuk negara demi penghormatan

kylian mbappe derma gaji piala dunia

Disebabkan oleh sumber dana gaji pemain kebangsaan yang dibayar selain penajaan juga datang dari pembayar cukai - kebanyakan pemain memilih untuk mendermakan gaji yang mereka terima bersama pasukan kebangsaan kepada pertubuhan amal.

Sejak tahun 2007, kesemua pemain pasukan kebangsaan England menyumbangkan gaji mereka kepada Yayasan Pemain Kebangsaan England atau EFF, untuk tujuan menjaga kebajikan bekas pemain England di masa hadapan.

Sementara itu bintang Perancis, Kylian Mbappe mendermakan keseluruhan gaji dan bonus bermain dengan pasukan kebangsaan termasuklah elaun kemenangan Piala Dunia 2018 berjumlah £350,000 (RM1.9 juta) kepada sebuah badan amal. 

Harus diberitahu, gaji bulanan beliau bersama kelabnya adalah RM7.2 juta.

Berapa gaji pemain pasukan kebangsaan kita?

skuda harimau malaya

Kami tidak tahu apakah sistem kiraan gaji yang diamalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM serta berapa gaji asas pemain kebangsaan kita.

Berdasarkan kepada perancangan penubuhan kembali skuad pelapis pasukan kebangsaan Harimau Muda, gaji yang bakal ditawarkan secara bulanan kepada semua pemain skuad pelapis kebangsaan bakal ditetapkan FAM di antara RM4,000 ke RM5,000 sebulan.

Pasti angka lebih besar diberikan kepada pemain lebih senior kan?

Sekitar dekad 1970-an pula menyaksikan pemain pasukan kebangsaan hanya dibayar RM15 untuk satu penampilan, seperti diakui bekas pemain tengah pasukan Malaysia, Datuk Abdul Shukor Salleh. 

Jika dapat peluang untuk bermain di luar, elaun yang diterima pemain akan digandakan kepada RM30. Disebabkan itulah pemain-pemain pasukan bola sepak kebangsaan satu ketika dulu hanya menjadikan kerjaya pemain bola sepak sebagai kerja sampingan.

Datuk Abdul Shukor sendiri perlu mengutamakan karier beliau bersama Lembaga Letrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad) walaupun bergelar pemain bola sepak bertaraf antarabangsa.

Rujukan

How do clubs benefit from the World Cup?




Hakcipta iluminasi.com (2017)