Mata manusia mampu melihat lebih daripada 7 juta warna.
Dan disebabkan kita dapat melihat banyak warna yang berbeza, kita boleh memanfaatkannya untuk menjadikan kehidupan kita lebih mudah.
Dari masa ke masa, manusia telah mencipta sesuatu yang digunakan setiap hari dalam warna-warna tertentu disebabkan oleh pelbagai sebab yang menarik.
iluminasi.com kongsikan 8 benda harian yang dihasilkan dengan warna tertentu dan sebab disebaliknya.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Pili bomba
Jika anda perasan, kebanyakan daripada pili bomba di seluruh dunia berwarna merah.
Walaubagaimanapun, ia tidak hanya mempunyai satu warna sahaja tetapi 3 warna berbeza iaitu merah, kuning dan ungu. Setiap warna pili bomba ini dicat dengan mewakili GPM (Gallons Per Minit) atau gelen per minit.
4 warna yang paling popular dan api yang paling besar ia boleh padamkan adalah seperti berikut:
- Merah: 500 GPM atau kurang, untuk rumah 2 tingkat seluas 50 kaki x 50 kaki dan tinggi 20 kaki
- Jingga: 500-1000 GPM, untuk rumah 4 tingkat seluas 50 kaki x 50 kaki dan 40 kaki tinggi
- Hijau: 1000-1500 GPM, untuk rumah 4-tingkat seluas 61 kaki x 61 kaki dan 40 kaki tinggi.
- Biru: 1500 GPM atau lebih, untuk rumah 4-tingkat seluas 70 kaki x 70 kaki 70 dan 40 kaki tinggi
Warna lain tidak semestinya merujuk kepada GPM, sebaliknya merupakan petunjuk kepada sumber air.
Sebagai contoh, pili bomba kuning bermaksud bahawa air itu berasal dari sistem bekalan awam manakala ungu bermaksud air berasal dari tasik atau kolam.
2. Platform media sosial
Jika anda perasan, banyak platform media sosial yang menggunakan warna biru, dan terdapat sebab mengapa kebanyakan gergasi media sosial menggunakan warna ini dalam penjenamaan mereka.
Ini kerana warna biru dikaitkan dengan akal dan fikiran yang berkaitan dengan tindakan berkomunikasi.
Malah, biru bukan sahaja warna yang sangat menenangkan, tetapi juga dianggap sebagai boleh dipercayai, boleh diharap dan selamat.
Satu kaji selidik menunjukkan bahawa warna biru juga merupakan warna yang paling popular di dunia, dan oleh sebab itu kebanyakan syarikat utama menggabungkan sekurang-kurangnya sebahagian kecil logo mereka dengan warna biru.
3. Tayar
Semua tahu bahawa warna getah semulajadi adalah putih, dan satu ketika dahulu tayar adalah berwarna putih.
Walau bagaimanapun, ini menjadikan tayar-tayar sangat tidak cekap kerana jarak tempuh (mileage) 8,000 kilometer.
Sekitar tahun 1900-an, pengeluar tayar mendapat satu jalan penyelesaian, iaitu menambah karbon hitam ke dalam tayar.
Serbuk halus ini bukan sahaja membuatkan tayar bertukar menjadi hitam, tetapi juga meningkatkan jarak tempuh berpuluh-puluh ribu kilometer, menjadikannya kuat dan tahan lama.
Karbon hitam juga merupakan penghalang UV yang sangat baik untuk menahan degradasi fotokimia pada matriks getah.
4. Lampu isyarat
Lampu isyarat pertama kali dicipta dan digunakan untuk mengekalkan keselamatan laluan kereta api. Pada mulanya, ia hanya mempunyai dua warna iaitu merah untuk berhenti dan putih untuk jalan.
Walau bagaimanapun, ia menjadi masalah kerana pemandu kereta api sering tersalah anggap lampu putih lain yang berhampiran sebagai isyarat 'jalan'.
Hal ini mendorong para jurutera mengubah lampu putih menjadi hijau.
Apabila kenderaan menjadi sebahagian daripada kehidupan setiap hari, pengawal selia jalan raya menggunakan konsep itu dan menambahkan lampu kuning, yang bermaksud berhati-hati.
Warna pada lampu isyarat tidak hanya dipilih secara rawak. Ia dipilih kerana kemampuan masing-masing untuk sampai ke pandangan pemandu.
Sebagai contoh, warna merah dipilih untuk mewakili 'berhenti' kerana cahaya merah mempunyai panjang gelombang yang lebih tinggi dan boleh bergerak lebih jauh.
Oleh itu, lampu merah akan kelihatan jelas kepada pemandu dari jarak dekat dan jauh. Cahaya kuning pula mempunyai panjang gelombang yang lebih pendek daripada merah, tetapi lebih panjang daripada hijau.
Jadi, warna-warna ini hanya dapat dilihat apabila pemandu mendekati persimpangan, juga membolehkan mereka memastikan bahawa ia selamat untuk dilalui.
5. Lintasan pejalan kaki
Lintasan pejalan kaki atau zebra crossing yang pertama di dunia telah dihasilkan pada 31 Oktober, 1951, di Slough, England.
Sejak penubuhannya, konsep ini menjadi sangat popular dan telah disesuaikan dengan negara-negara di seluruh dunia. Pada tahun 1950-an, England menyaksikan peningkatan dalam pemilikan kereta.
Walau bagaimanapun, pejalan kaku masih membiasakan diri dengan idea berkongsi jalan bersama pemandu, yang menjadikannya sangat sukar dan berbahaya.
Jadi, untuk menjadikan jalan raya lebih selamat untuk pemandu dan pejalan kaki, kerajaan British mencipta lintasan pejalan kaki, yang pada dasarnya diperbuat daripada kancing logam.
Walaupun penemuan itu bertujuan untuk kebaikan, namun ia terbukti tidak berkesan kerana pemandu tidak dapat melihatnya daripada jarak jauh.
Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk beralih kepada tanda berwarna dan juga melancarkan kempen untuk mencari warna yang paling berkesan.
Selepas pakar menganalisis warna dan corak yang berbeza, mereka mendapati bahawa gabungan hitam dan putih paling berkesan kerana ia kelihatan jelas kepada pemandu dari jauh.
Corak ini juga membuatkan pejalan kaki menonjol dari latar belakang, menjadikan mereka kelihatan kepada pemandu yang tidak berwaspada.
6. Tisu
Pernah tak anda tertanya-tanya mengapa tisu berwarna putih? Sebenarnya, terdapat dua sebab mengapa tisu berwarna putih.
Yang pertama ialah pihak pengeluar melunturkannya yang membuatkannya menjadi putih. Jika ia tidak dilunturkan, tisu akan mempunyai warna kelabu-coklat, membuatkannya kelihatan kurang diminati.
Sebab kedua adalah bahawa manusia mempunyai kecenderungan semula jadi untuk percaya bahawa apa-apa yang berwarna putih adalah bersih.
Oleh kerana sesetengah pengeluar menghasilkan tisu menggunakan kertas yang dikitar semula, ia mungkin akan terdiri daripada pelbagai warna.
Walaupun produk akhir adalah bersih dan selamat digunakan, namun adalah kelihatan tidak menarik jika tisu tersedia dalam 10 warna berlainan.
7. Bas sekolah
Semasa penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, bas sekolah hanyalah sebuah kenderaan yang boleh mengangkut pelajar.
Tiada piawaian perindustrian ke atas bas ini dan orang ramai menggunakan pelbagai kenderaan, termasuk kereta kuda yang ditarik sebagai bas sekolah.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1939, Yayasan Rockefeller dan profesor Universiti Columbia, Frank Cyr menganjurkan satu persidangan yang mengumpulkan para jurutera dan pakar untuk menubuhkan piawaian kebangsaan bagi bas-bas sekolah.
Persidangan ini menghasilkan 44 standard bas sekolah, termasuk dengan butiran seperti ketinggian, lebar, spesifikasi, serta warna.
Pakar-pakar mendapati bahawa tiga jenis warna kuning adalah yang paling mudah untuk dilihat ketika waktu pagi dan waktu petang apabila bas beroperasi.
Huruf hitam tebal di sisi juga menarik perhatian yang membuatkan pemandu lain menyedari bahawa kenderaan ini sebenarnya adalah bas sekolah.
Warna putih dipilih untuk bahagian atas bas sekolah kerana ia memantulkan cahaya yang paling banyak yang mana membantu mengawal kepanasan di dalam bas.
Warna kuning keemasan akhirnya dipilih sebagai warna standard industri.
8. Bola sepak
Apabila bola sepak mula dihasilkan daripada plastik, ia dilunturkan menjadi putih secara keseluruhan.
Walaubagaimanapun, syarikat Adidas memutuskan untuk menambahkan warna hitam kepada bola sepak.
Ini kerana hitam dan putih adalah lebih mudah untuk dilihat di dalam televisyen disebabkan oleh pada ketika itu, gambar pada televisyen juga hitam dan putih.
Rujukan:
2. Gizmodo
3. Alicia Orre