tumbuhan karnivor

Tumbuhan bergerak dan tumbuhan karnivor sering digambarkan di dalam filem seram sains fiksyen. Namun, realitinya tumbuhan pemangsa ini adalah benar-benar wujud. Ia tidaklah memburu manusia seperti yang dipotretkan di dalam filem namun memakan serangga atau haiwan kecil yang lain.

Di dalam senarai ini terdapat beberapa tumbuhan karnivor yang berbaloi untuk diambil tahu mengenainya.

7. Brocchinia Reducta 

brocchinia reducta

Brocchinia reducta ini berasal dari Venezuela, Brazil, Colombia dan Guyana. Spesies tumbuhan ini mempunyai bentuk yang boleh menyimpan takungan air dengan daunnya yang berlapis.

Daunnya pula diliputi oleh bahan putih yang akan bersinar dengan sinaran ultraviolet untuk menarik perhatian mangsa. Takungan air di dalam daunnya juga mengeluarkan bau wangi kepada mangsa dan akan melemaskan mereka.

Enzim dan bakteria membantu bagi proses pencernaan mangsa dan nutirisi yang terhasil darinya akan diserap oleh daun tumbuhan Brocchinia Reducta ini.

6. Bladderwort @ Rumpai Ekor Kucing

bladderwort

Kebanyakan tumbuhan karnivor hidup di darat tetapi Rumpai Ekor Kucing ini memburu mangsanya di dalam air yang tidak bergerak. Serangga, cacing dan haiwan invertebrata lain adalah diet kepada tumbuhan ini. Pelbagai spesies tumbahan yang terdapat di dalam tasik, kolam dan sungai berarus perlahan ini dikenalpasti sebagai tumbuhan karnivor.

Tumbuhan yang tidak mempunyai akar ini bergantung kepada penangkapan makhluk hidup bagi mendapatkan nutrisi agar ia terus hidup dan menjadi kegunaan proses fotosentisisnya. Spesis tumbuhan ini yang lebih besar seperti Greater Bladderwort mungkin memakan mangsa yang lebih besar seperti ikan kecil atau berudu.

Ia mengubah mangsanya menjadi cecair nutirisi setelah ditangkap untuk dikonsumsi. Rumpai Ekor Kucing ini mempunyai bunga pada permukaan air sebagai alat proses pendebungaan dan memakan mangsa pada bahagian bawahnya yang berada di dalam air.

5. Triggerplant

triggerplant

Triggerplant ini hanya terdapat di Australia sahaja. Tumbuhan ini melalui proses pendebungaan dengan memilih untuk bertindak balas dengan sesetengah spesis serangga sahaja. Mereka "memilih" serangga tertentu untuk dilepaskan debunga dan tidak pada yang lain. 

Ketika serangga hinggap pada tumbuhan ini, ia akan melekat pada satu mekanisma yang dicetuskan oleh pokok ini. Walaupun begitu ia tidak membunuh serangga itu sebaliknya melepaskan debunganya dengan satu semburan sahaja. Kemudian serangga itu akan dilepaskan untuk melengkapkan proses pendebungaan pada pokok lain.

Pokok ini dikenali sebagai 'separa-karnivor' kerana pada bawah kelopak daun serta bunganya mempunyai bulu halus yang memerangkap serangga yang lebih kecil sebagai makanan. Tumbuhan ini akan mencerna mangsanya sebagai sumber nutrisi bagi tumbesarannya.

4. Periuk kera tropika

periuk kera tropikal

Walaupun periuk kera tropika ini tidak bergerak seperti tumbuhan karnivor yang lain tetapi kaedah yang digunakan untuk memburu adalah sangat bijak. Tumbuhan ini mempunyai kendi yang panjang dan dipenuhi cecair yang akan memikat serangga untuk masuk meminumnya. Apa yang terjadi ialah mereka akan masuk ke dalam perangkap maut dan menjadi makanan tumbuhan ini.

Cecair yang terdapat di dalam periuk ini bukan sahaja menarik perhatian mangsa malah ia juga sangat likat yang membuatkan mangsa sukar melepaskan diri. Spesies periuk kera yang lebih besar dikenali sebagai Nepenthes rajah bukan sahaja memakan serangga malah juga mangsa yang lebih besar seperti tikus.

Cecair di dalam tumbuhan ini juga menarik minat haiwan lain yang tidak mampu dijadikan mangsa. Adalah dikenalpasti tumbuhan ini mendapat namanya kerana cecair di dalamnya seringkali menjadi minuman kera dan monyet.

3. Sundew

Pokok ini adalah spesies yang menjadi bualan bagi peminat rumah hijau. Spesies Sundew ini juga merupakan antara tumbuhan paling bahaya bagi serangga yang hinggap padanya. Tumbuhan gebu ini sangat menarik perhatian serangga dan juga memerangkap mereka dengan begitu pantas. Ia kemudian menghadam mangsanya dengan bantuan cecair yang keluar dari muncung sesungutnya.

Sundew ini adalah tumbuhan yang cantik dipandang malah ia mempunyai warna yang terang. Cecair manis yang keluar dari sesungut Sundew ini bukan sahaja menarik minat serangga untuk hinggap tetapi juga berfungsi sebagai gam yang kuat apabila disentuh.

Tumbuhan yang mempunyai lebih dari 190 spesies ini juga agak sukar untuk dibela. Apa yang menariknya, walaupun ia tumbuhan herba namun sesetengah spesiesnya mampu membesar setinggi 10 kaki seperti spesies Dresera Erythrogyne.

2. Tumbuhan kincir air @ Aldrovanda Vesiculosa

Sama seperti tumbuhan Bladderwort, tumbuhan yang juga dikenali sebagai tumbuhan kincir air ini juga melakukan aktiviti memburu mangsanya di dalam air. Tumbuhan aldrovanda vesiculosa mendapat gelarannya kerana bentuk daun yang bersambung dengan batang stem utamanya seakan bentuk kincir air.

Walaupun rupa yang unik, tumbuhan dalam air ini menjadikan serangga dan haiwan kecil sebagai dietnya. Ia memerangkap mangsanya menggunakan alat yang kelihatan seakan sumber makanan bagi haiwan kecil itu. Tumbuhan ini banyak tersebar di seluruh dunia termasuk Afrika, Eropah, Asia dan Australia.

Daunnya yang kelihatan seperti cawan berfungsi sebagai perangkap dan bulu halus pada daunnya pula sebagai pencetus apabila disentuh oleh haiwan kecil yang cuba mendekati daunnya. Dalam keadaan terbuka, daunnya boleh menutup dengan kelajuan tinggi di antara suku atau setengah saat sahaja.

Apa yang menariknya, tumbuhan ini boleh menyamar seakan-akan tumbuhan lain pada sekilas pandang agar mangsanya mudah tertipu. Tumbuhan ini adalah dari keluarga yang sama dengan Venus Flytrap.

1. Venus Flytrap

tumbuhan venus flytrap

Venus Flytrap mungkin merupakan tumbuhan karnivol paling terkenal. Kombinasi di antara cecair likat dan daun seakan mulut bergigi tajam ini adalah mekanisma hebat untuk menangkap mangsa. Bukan sahaja serangga malah tumbuhan ini juga memerangkap mangsa yang lebih besar seperti katak kecil.

Tumbuhan yang berasal dari Utara dan Selatan Carolina ini mendapat jolokan "tumbuhan paling menakjubkan dalam dunia" oleh Charles Darwin. Venus Flytrap ini boleh membesar sehingga 5 inci tinggi.

Setiap batang stemnya yang mempunyai perangkap seakan gigi tajam ini menjadi penjara kepada mangsa apabila pencetusnya disentuh. Setelah ditangkap, mangsanya akan dihadamkan oleh jus yang terhasil dan tumbuhan ini akan menyerap nutrisi darinya. Kemudian ia akan memuntahkan bahagian yang tidak boleh dicerna dan membuka semula perangkapnya untuk mangsa yang baru.

Tumbuhan ini seakan mempunyai program untuk mengira ketika melakukan penangkapan. Sentuhan pertama akan membuatkan ia tersedar, sentuhan kedua membuatkan ia menutup mulutnya manakala sentuhan ketiga akan memulakan proses pencernaan.


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)