sistem tulisan braille

Louis Braille hanya berusia 15 tahun ketika dia mencipta sistem membaca dan penulisan bagi orang buta dan Benjamin Franklin hanya berusia 12 tahun ketika dia mencipta sirip untuk berenang.

Untuk menjadi seorang pencipta yang hebat, usia bukanlah satu penghalang dan apa yang anda perlukan adalah inspirasi, kemahuan serta keyakinan diri.

Jika remaja satu ketika dahulu sudah mampu mencipta ciptaan yang sangat menakjubkan, apatah lagi remaja kini yang hidup penuh dengan kemajuan teknologi.

1. Anna Du (12 tahun) - Robot pencari sampah di dasar lautan 

anna du

Anna sangat sukakan pantai dan gemar bersiar-siar di sepanjang Pelabuhan Boston. Ketika sedang bersiar-siar, dia menyedari terdapat terlalu banyak sampah-sarap di kawasan pantai.

Gadis itu cuba mengumpul sampah-sampah tersebut namun tidak mampu melakukan semuanya. Dan dengan itu, Anna memutuskan untuk merekacipta sebuah peranti yang boleh mencari plastik mikro di dasar lautan.

Plastik menyerap radiasi inframerah yang memudahkannya untuk dikesan menggunakan sensor khas.

Anna berharap robot itu akan dapat mencari plastik dan membawa keluar dari lautan. Dia juga telah dijemput ke Makmal Saintis Muda di mana dia kini berusaha memperbaiki peranti ini.

2. Sergei Khaliavin (17 tahun) - Tetikus komputer untuk orang kudung

sergei khaliavin

Sergei Khaliavin merupakan seorang pelajar sekolah menengah ketika dia mendapat idea untuk mencipta tetikus komputer bagi orang tanpa tangan.

Dia memutuskan untuk membantu rakannya yang tidak dapat menggunakan tetikus komputer seperti yang dilakukan oleh orang lain.

Ciptaannya kelihatan seperti kasut dengan papan kawalan dari tetikus biasa dan tetikus ini boleh dikawal oleh kaki pengguna.

sergei khaliavin 1

Sergei berkata bahawa dia membiasakan diri dengan peranti ini dalam tempoh satu minggu dan juga belajar bermain permainan komputer menggunakannya.

Guru Sergei membantu dalam mengembangkan ciptaannya dan tetikus yang inovatif ini mendapat penghormatan di Peraduan Teknologi Inovatif dan Inovatif Antarabangsa Moscow, "Archimedes - 2016".

3. Jack Andraka (16 tahun) - Ujian diagnostik kanser 

jack andraka

Selepas kematian seseorang yang rapat dengannya, Jack semakin tertarik pada diagnosis onkologi awal.

Dia membiasakan dirinya dengan penerbitan saintifik dan menetapkan matlamat untuk menghasilkan kaedah untuk mendiagnosis kanser pankreas.

Penyakit ini hampir bersifat asimtomatik dan ia hanya boleh dikesan di peringkat yang lebih lewat.

Dalam masa 7 bulan, remaja ini bekerja di makmal selepas waktu sekolah untuk merealisasikan impiannya.

Hasil usahanya, Jack akhirnya berjaya mencipta peranti kecil yang dapat mengesan mesothelin, sejenis protein dalam darah. Jumlah protein yang berlebihan menunjukkan kehadiran tumor malignan.

4. Gitanjali Rao (12 tahun) - Peranti mengesan kandungan plumbum dalam air 

gitanjali rao

Pada tahun 2016, penduduk Flint, Michigan mengalami keracunan kerana kandungan plumbum yang tinggi di dalam air.

Pada masa yang sama, ibu bapa Gitanjali mula membeli jalur ujian khas untuk memeriksa air tetapi mereka sering mendapat keputusan yang salah.

Melihatkan situasi itu, Gitanjali mendapat idea untuk mencipta peranti yang akan mengesan kandungan logam berat dalam air.

Peranti ini berdasarkan penapis yang dibuat daripada tiub nano karbohidrat dengan menggunakan sambungan Bluetooth, membolehkan anda memantau penunjuk dari telefon pintar.

Gitanjali menjadi saintis muda terbaik pada tahun 2017 di Amerika Syarikat.

5. Curry Bishop (10 tahun) - Peranti mencegah kematian kanak-kanak dalam kereta tertutup 

curry bishop

Kematian bayi dan kanak-kanak akibat terperangkap dalam kereta dalam tempoh yang lama sangat kerap berlaku di seluruh dunia.

Bagi Curry Bishop, dia mula terfikir untuk mencipta ciptaannya selepas anak perempuan jirannya yang berusia 6 bulan maut akibat terperangkap dalam sebuah kereta yang tertutup.

Suhu di dalam kereta boleh mencapai 60°C pada musim panas walaupun tingkap sedikit terbuka.

ciptaan curry bishop 655

Untuk mengelakkan kematian kanak-kanak, Curry mencipta alat yang dilengkapi dengan termometer, sensor, dan sistem penyejukan.

Peranti ini dilampirkan pada penyandar kepala dan memberikan isyarat apabila suhu dalam kereta menjadi kritikal.

Syarikat Toyota telah menyatakan minat terhadap projek itu.

6. Brittany Wenger (17 tahun) — diagnosis awal kanser payudara

brittany wenger

Remaja dari Florida ini telah mencipta rangkaian neuron buatan yang membantu mendiagnosis kanser payudara.

Ini adalah program komputer yang menganalisis data seperti otak manusia. Menggunakan program ini, anda boleh mengkaji tisu yang diambil untuk analisis.

Hari ini, ciptaan Brittany boleh mendiagnosis penyakit dengan ketepatan 99% dan terus melakukan penambahbaikan kepada rangkaian neuron ciptaannya.

Selain daripada kanser payudara, Brittany sudah boleh mendiagnosis bentuk leukemia yang agresif. Dia mendapat anugerah untuk penemuannya di Pameran Sains Google 2012.

7. Laalitya Acharya (13 tahun)  — tenaga elektrik dari gerakan kenderaan

laalitya acharya

Laalitya Acharya gemar menyelidik sumber tenaga murah dan mudah diperbaharui. Peranti ciptaannya yang dikenali sebagai TraffEnerate dapat mengubah gelombang dari kenderaan yang lalu kepada elektrik.

Peranti seperti ini boleh dipasang pada persimpangan dan jalan raya yang sibuk. Laalitya dan projeknya dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Discovery Education 3M pada tahun 2017.

Idea ini diperolehi Laalitya selepas dia melawat India dan melihat cara anak-anak hidup tanpa elektrik serta membakar kayu untuk memanaskan tempat perlindungan mereka.

Rujukan:

1. Journal News

2. USA Today

3. Smithsonian Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)