pokok tertinggi dunia 402

Kerakusan manusia dalam pembangunan bandar menyaksikan aktiviti pembalakan telah dilakukan secara berluasa. Selain itu, aktiviti penanaman sawit dan getah juga seringkali menyaksikan sebahagian besar kawasan hutan terpaksa digondolkan untuk membolehkan penanaman semula dilakukan.

Perkara ini semestinya sesuatu yang menyedihkan. Selain fungsi hutan sebagai pusat tadahan hujan dan habitat semulajadi hidupan liar, menanam semula sesuatu pokok juga bukanlah mengambil masa yang singkat. Bayangkan pokok yang berusia puluhan atau ratusan tahun, dalam sekelip mata sahaja ditebang.

Daripada segi geografi juga, Malaysia harus berbangga kerana memiliki beberapa kawasan hutan yang diiktiraf antara yang tertua di dunia seperti Hutan Royal Belom dan hutan-hutan di Sabah dan Sarawak. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongi 7 pokok tertinggi di dunia. Menariknya, pokok dari Malaysia juga tersenarai dalam senarai ini!

7. White Knight (Tasmania, Australia) - 91.3 meter

white knight

Pokok yang diberi gelaran White Knight ini terletak di Tasmania, Australia. Pokok ini merupakan daripada spesis Manna gum yang secara puratanya bersaiz kecil. Nama saintifiknya adalah Eucalyptus viminalis Labill.

Sekumpulan pembalak yang menemui pokok ini pada tahun 70-an sangat terkejut kerana saiznya yang begitu tinggi. Bagi melindungi pokok ini, pada tahun 1977, pihak kerajaan telah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan perlindungan Evercreech Forest Reserve.

6. Sequoia (California, Amerika Syarikat) - 95.7 meter

sequoia national forest

Pokok ini tidak mempunyai nama gelaran dan merupakan pokok daripada spesis  Sequoia. Menariknya, ia bukan sahaja antara pokok tertinggi di dunia, tetapi juga pokok yang mempunyai jumlah isipadu paling besar di dunia. Jumlah isipadu ini boleh dikira dengan mendarabkan ukur lilit diameter batangnya dengan ketinggian pokok ini.

Pokok di kawasan telah ditemui dan diukur pada tahun 2013. Bagi melindungi pokok ini, para pengkaji walau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi sebenar pokok ini.

5. Raven's Tower (California, Amerika Syarikat) - 96.7 meter

raven s tower 622

Pokok yang digelar Raven's Tower ini merupakan pokok daripada spesis Sitka spruce dan dikenali dengan nama saintifiknya Picea sitchensis. Lokasi sebenar pokok ini tidak didedahkan kepada umum namun ini terletak dalam kawasan perlindungan Prairie Creek Redwoods State Park.

Pihak kerajaan telah mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan perlindungan bagi memelihara kawasan hutan disini yang sememangnya mempunyai banyak pokok-pokok yang besar dan tinggi. Kawasan hutan ini yang berkabus dan lembap membantu pertumbuhan pokok-pokok di sini.

4. Meranti (Sabah, Malaysia) - 96.9 meter

pokok tertinggi dunia tawau sabah

yellow meranti sabah

Pokok ini ditemui dan diukur pada tahun 2016 dan masih tidak diberikan nama gelaran. Pokok yang berasal daripada spesis Shorea faguetiana ini ditemui di Kawasan Konservasi Lembah Danum, Sabah.

Ketika ditemui, didapati terdapat dua batang pokok lain di sebelahnya yang mempunyai ketinggian yang sama. Sememangnya pokok ini perlu dilindungi sebagai khazanah negara yang sangat bernilai untuk generasi yang akan datang.

3. Doerner Fir (Oregon, Amerika Syarikat) - 99.7 meter

doerner fir 924

Doerner Fir merupakan gelaran bagi sebatang pokok yang tertinggi di kawasan ini yang telah ditemui pada tahun 1989. Ketinggian 99.7 meter ini adalah ukuran yang diambil pada tahun 2011 dan ketinggiannya pada masa kini mungkin lebih daripada ini.

Pada tahun 1897, terdapat laporan bahawa sebatang pokok daripada spesis ini yang berukuran 142 meter telah ditebang. Besar kemungkinan, pokok daripada spesis ini merupakan pokok yang tertinggi di dunia.

2. Centurion (Tasmania, Australia) - 100.5 meter

centurion

Centurion merupakan nama gelaran bagi sebatang lagi pokok yang ditemui di Tasmania, Australia. Pokok ini dikatakan bernasib baik apabila terselamat dalam kebakaran besar yang berlaku pada tahun 1934. Kebakaran sekali lagi terjadi pada tahun 1967 dan pokok ini sekali lagi bernasib baik kerana terselamat.

Pokok ini dikatakan masih dalam keadaan baik dan mempunyai peluang yang sangat cerah untuk mencapai ketinggian 100 meter pada masa akan datang. Besar kemungkinan pokok ini bakal menjadi pokok tertinggi di dunia pada masa hadapan.

1. Hyperion (California, Amerika Syarikat) - 116 meter

hyperion

Pokok ini secara umumnya diisytiharkan sebagai pokok tertinggi di dunia pada tahun 2006. Kali terakhir ukurannya diambil pada tahun 2015. Pokok ini merupakan daripada spesis Coast Redwood yang sememangnya terkenal sebagai spesis pokok tinggi dan boleh dijumpai di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Pada masa kini, dikatakan banyak pokok daripada spesis ini mempunyai ketinggian melebihi 100 meter. Terdapat ura-ura mengatakan terdapat sebatang pokok yang mencecah ketinggian 119 meter namun lokasi sebenarnya tidak didedahkan. 

Sebelum Hyperion, terdapat sebatang pokok yang dikenali Lindsey Creek yang terletak di Fieldbrook, California yang memegang takhta pokok tertinggi di dunia. Malangnya, pokok tersebut telah musnah akibat panahan petir pada tahun 1905. Ketika itu, pokok tersebut dikatakan mempunyai ketinggian 118.9 meter.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Wondermodo

tags : , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)