Setiap benda yang hidup itu pasti akan mati. Apabila tiba sahaja saat itu, sesuatu perlu dilakukan dengan jenazah kita. Biasanya, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan atau dibakar dan disimpan abu mayatnya oleh keluarga atau sanak-saudara.
Namun, terdapat juga manusia yang meminta sesuatu yang aneh dilakukan kepada mayat atau abu mayat mereka sekiranya mereka meninggal dunia. Berikut adalah beberapa permintaan pelik si mati tentang bagaimana mayat atau abu mayat mereka disemadikan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Dilancarkan di ruang angkasa
Credit Photo : The Space Race
Gordon Cooper adalah seorang juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat dan angkasawan dengan masa penerbangan melebihi 7,000 jam. Cooper banyak menyumbangkan bakti dalam eksplorasi bintang-bintang dalam Project Mercury.
Ketika Cooper meninggal dunia pada tahun 2004, pihak kerajaan dan keluarganya berpendapat bahawa adalah sesuai untuk menerbangkan abu mayatnya untuk ditaburkan di ruang angkasa lepas. Namun, ia bukanlah satu tugasan yang mudah.
Misi menghantar abu mayatnya bersama beberapa abu mayat orang lain dilakukan pada tahun 2007 tetapi menemui kegagalan. Misi sekali lagi diteruskan pada tahun berikutnya tetapi gagal juga apabila roket yang membawanya mengalami kerosakan.
Akhirnya pada Mei 2012, abu mayat Cooper berjaya dihantar ke ruang angkasa lepas dan berada di sana selama sebulan sebelum terbakar apabila memasuki atmosfera Bumi.
Beberapa lagi abu mayat yang dihantar ke ruang angkasa selain Cooper adalah abu mayat milik James Doohan yang melakonkan watak Scotty dalam filem Star Trek dan pencipta Star Trek itu sendiri, Gene Roddenberry. (sumber)
2. Dibawa ke medan perang
Credit Photo : Find A Grave
Robert the Bruce adalah Raja Scotland yang memerintah dari tahun 1306 hingga 1329. Dia berjaya memimpin rakyatnya dalam memenangi Perang Pertama Kemerdekaan Scotland.
Semasa sedang nazak, raja itu meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat menyertai Perang Salib di Baitulmuqaddis. Dia akhirnya meminta rakannya, Sir James Douglas, untuk membawa jantung bersama di dalam sebuah peti perak ke medan Perang Salib.
Namun, jantung Bruce tidak berjaya sampai di Baitulmuqaddis. Semasa Pertempuran Teba, Douglas melemparkan jantung Bruce ke dalam pertempuran yang sedang berlangsung sambil berteriak "Anda pergi dahulu, seperti yang anda lakukan dalam semua perperangan".
Sir James Douglas akhirnya terkorban dalam Pertempuran Teba dan jantung Raja Bruce dibawa pulang oleh orang lain ke Scotland dan dikebumikan di Melrose Abbey. (sumber)
3. Dikebumikan di Taman Negara
Gram Parsons. Credit Photo : Albumism
Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk memenuhi hasrat terakhir rakan anda? Itulah persoalan yang dihadapi oleh Paul Kaufman dan Michael Martin pada tahun 1973 apabila rakan mereka yang juga penyanyi, Gram Parsons, meninggal dunia.
Ketika dalam perjalanan ke Taman Negara Joshua Tree di California, Parsons telah meninggal dunia akibat lebihan dos penyalahgunaan morfin. Penyanyi berusia 26 tahun itu pernah memberitahu rakan baiknya untuk mengebumikan mayatnya di sekitar taman negara itu sekiranya dia meninggal dunia.
Namun, terdapat sedikit masalah kerana mayat penyanyi itu akan diterbangkan ke New Orleans untuk pengebumian rasmi oleh keluarganya. Demi memenuhi hasrat terakhir rakan mereka, Kaufman dan Martin menyamar sebagai pekerja rumah pengebumian dan mencuri mayat Parsons dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
Mereka kemudian membawa keranda Parsons ke Taman Negara Joshua Tree dan menuangkan 19 liter minyak petrol di dalamnya untuk tujuan pembakaran. Kedua-dua lelaki itu kemudian ditangkap dan didenda sebanyak USD 300 serta terpaksa membayar ganti rugi sebanyak USD 708 untuk kos pengebumian yang diadakan di New Orleans. (Sumber)
4. Dicampurkan dalam dakwat
Watak-watak yang dilukis dalam buku komik biasanya mati tetapi sering dihidupkan semula. Sayangnya, perkara yang sama tidak berlaku kepada mereka yang mencipta watak-watak itu. Itulah yang terjadi pada penulis Mark Gruenwald yang terkenal dengan karya tulisannya dalam Captain America dan Squadron Supreme.
Pada tahun 1996, Gruenwald telah meninggal dunia akibat serangan jantung diakibatkan oleh masalah kecacatan jantung kongenital yang tidak dapat dikesan. Sebelum kematiannya, Gruenwald memberitahu kepada orang tersayangnya bahawa dia ingin abu mayatnya digunakan sebagai sebahagian daripada penghasilan sebuah buku komik.
Demi menunaikan hasratnya itu, abu mayatnya telah dicampurkan ke dalam dakwat yang digunakan dalam percetakan pertama edisi paperback edisi Squadron Supreme. (Sumber)
5. Disemadikan dalam bekas kerepek Pringles
Credit Photo : Gizmodo
Kebanyakan permintaan cara pengebumian pelik dalam senarai ini berkaitan dengan kerjaya dalam kehidupan seseorang itu. Salah seorangnya ialah Fredric Baur, seorang ahli kimia organik di mana pencapaian terpentingnya adalah mencipta bekas tiub terkenal yang digunakan untuk membungkus kerepek Pringles.
Apabila dia meninggal dunia pada tahun 2008, anak-anaknya melakukan apa yang diminta oleh mendiang agar abu mayatnya diletakkan dalam salah sebuah bekas Pringles yang diciptanya.
Bekas itu kemudian diletakkan bersebelahan dengan bekas penyimpan abu mayat selebihnya dan ditanam bersama-sama di dalam kuburnya. (Sumber)
6. Digunakan sebagai 'prop' dalam lakonan pentas
David Tennant
Ada sebahagian orang menginginkan agar jenazah mereka digunakan untuk kepentingan orang lain selepas meninggal dunia seperti menderma organ atau tujuan penyelidikan perubatan.
Namun, bagi seorang pemain piano dan komposer dari Poland, Andre Tchaikowsky, dia memilih untuk pergi lebih jauh daripada itu. Dia bukan sahaja menyumbang tubuhnya untuk kajian sains tetapi tengoraknya juga disumbangkan untuk kegunaan seni.
Dalam wasiatnya, Tchaikowsky meminta agar tengkoraknya disumbangkan kepada Royal Shakespeare Company dengan harapan ia akan digunakan dalam lakonan pentas Hamlet.
Walaupun dia meninggal dunia pada tahun 1982, tengkoraknya itu tidak digunakan selama beberapa dekad kerana tiada pelakon yang berani untuk memegangnya di atas pentas. Permintaan Tchaikowsky akhirnya tercapai pada 2008 apabila David Tennant menggunakan tengkoraknya dalam salah satu siri persembahan. (Sumber)
7. Dikebumikan bersama kereta
Credit Photo : Boredom Therapy
Penggemar kereta sanggup lakukan apa sahaja demi kenderaan kesayangan mereka. Namun, bagi seorang wanita Bernama Sandra West ini, cintanya terhadap kereta dibawa sehingga ke kubur.
Sandra adalah seorang balu kepada hartawan minyak yang kaya dan seorang sosialit yang tinggal di kejiranan mewah Beverly Hills. Dalam wasiatnya, dia meminta agar jasadnya dipakaikan gaun tidur di tempat duduk belakang kereta Ferrari miliknya untuk dikebumikan bersama.
Selepas dia meninggal dunia akibat lebihan dos dadah pada tahun 1977, kereta Ferrari yang menjadi 'keranda' itu telah diturunkan dalam lubang kuburnya. Kongkrit kemudian dituang di atas keranda Ferrarinya itu bagi mengelak daripada sebarang kejadian kecurian atau vandalisme.
Pengebumian pelik Sandra ini dilakukan oleh adik iparnya. Sekiranya dia tidak melakukannya, lelaki itu tidak akan menerima wasiat bernilai USD 2 juta yang ditinggalkan oleh Sandra. (Sumber)