Oleh pada 26 Oct 2019 kategori

pemerintah pemimpin paling singkat di dunia

Bayangkan jika anda dipilih atau diberikan peluang menjadi pemimpin sesebuah kerajaan atau empayar. Anda pasti akan berasa teruja dan gembira memperolehi kuasa seperti itu. 

Namun, ada individu yang mempunyai peluang seperti itu tetapi tidak dapat menikmatinya begitu lama. Mereka ini mungkin terpaksa meletakkan jawatan secara paksa atau melalui persefahaman bersama. Berikut adalah beberapa orang pemerintah paling singkat dalam sejarah.

7. Frank Forde - Perdana Menteri Australia (8 hari)

frank forde

Frank Forde adalah seorang ahli politik dari Parti Buruh dan wakil persekutuan Capricornia selama 24 tahun. Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan Australia sebagai ahli Majlis Penasihat Perang, Menteri Kastam, Menteri Angkatan Tentera dan Timbalan Perdana Menteri.

Apabila Perdana Menteri Australia, John Curtin, meninggal dunia pada Julai 1945, Frank Forde telah dilantik untuk menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Australia ke-15. Namun, Parti Buruh mempunyai agenda lain.

Mereka tidak mahu menjadikan Forde perdana menteri tetap. Tidak lama selepas itu, parti itu memilih Ben Chifley untuk menggantikan Frank Forde sebagai Perdana Menteri Australia. Frank Forde adalah PM Australia yang paling singkat dalam sejarah, bermula dari 6 Julai 1945 hingga 13 Julai 1945. (sumber)

6. John I - Raja Perancis (5 hari)

raja john i dari perancis

John I dari Perancis adalah anak kepada Raja Louis X yang meninggal dunia pada Jun 1316. John I masih lagi dalam kandungan ibunya ketika bapanya mangkat dan dia memiliki takhta sebelum kelahirannya lagi. John I lahir pada 15 November tahun yang sama.

Ketika dilahirkan, dia dinobatkan sebagai Raja John I iaitu Raja Perancis. Malangnya pada 20 November 1316, Raja John I meninggal dunia. Punca kematiannya tidak jelas tetapi dedas-desus mengatakan dia mati keracunan dan bapa saudaranya adalah suspek utama.

Oleh itu, Raja John I hanya berkhidmat sebagai Raja Perancis selama lima hari sahaja sebelum bapa saudaranya, Raja Philippe V, dilantik menjadi Raja Perancis yang baru. (sumber)

5. Dipendra Bir Bikram Shah Dev - Raja Nepal (3 hari)

dipendra bir bikram shah dev

Sebelum menjadi raja, Dipendra adalah Putera Mahkota Nepal. Kisah bagaimana Dipendra ditabalkan menjadi raja adalah amat mengejutkan.

Pada 1 Julai 2001, Dipendra telah menembak mati bapanya, Raja Birendra Bir Bikram Shah Dev, ibunya, Ratu Aishwarya, dan 8 orang anggota keluarga diraja yang lain. Kejadian itu dipercayai berlaku apabila keluarganya tidak bersetuju dengan keinginan Dipendra untuk berkahwin dengan gadis dari keluarga diraja India yang dikenalinya di Britain.

Selepas Dipendra menembak semua mangsanya, dia kemudian menembak dirinya sendiri di kepala untuk membunuh diri. Walau bagaimanapun, Dipendra tidak mati sebaliknya koma. Disebabkan Raja Nepal mangkat, takhtanya jatuh ke tangan Dipendra yang sedang koma.

Namun, Dipendra hanya bertahan selama 3 hari sahaja sebelum disahkan meninggal dunia. Raja Nepal paling singkat itu kemudian diganti oleh bapa saudaranya, Raja Gyanendra Bir Bikram Shah Dev. (sumber)

4. Khalid Bin Barghash - Sultan Zanzibar  (2 hari)

sultan khalid bin barghash

Pulau Zanzibar yang terletak di Afrika Timur diperintah oleh sultan yang menjadi penguasa di situ. Salah seorangnya ialah Sultan Khalid bin Barghash, anak kepada Sultan Sayid Barghash Bin Said Al-Busaid yang merupakan Sultan Zanzibar paling terkenal.

Namun, pada tahun 1890-an pulau ini telah menjadi sebahagian daripada Empayar British dan orang Inggeris mahukan seseorang yang berbeza memerintah Zanzibar. Mereka mahukan orang yang memihak kepada mereka dan tidak menimbulkan masalah. Ini kerana pihak British takut kepada populariti sultan di kalangan rakyat.

Sultan Khalid yang baru sahaja menaiki takhta enggan meninggalkan kedudukannya bagi memberi laluan kepada sultan pilihan British. Pihak British bertindak balas dengan menghantar kapal perang dan mengebom istana.

Keadaan itu memaksa Sultan Khalid menyerah diri dan melarikan diri ke Seychelles dan hanya menjadi Sultan Zanzibar selama dua hari sahaja. (sumber)

3. Joseph Goebbels - Chanselor Jerman (1 hari)

joseph goebbels

Joseph Goebbels adalah seorang penulis dan wartawan yang menyertai Nazi pada tahun 1920-an dan merupakan salah seorang teman rapat Adolf Hitler sebelum dan semasa perang. 

Ketika Hitler menjadi Canselor Jerman pada tahun 1933, Joseph Goebbels dilantik menjadi Menteri Pencerahan dan Propaganda Awam. Peranannya adalah untuk memupuk perasaan bangsa agung Aryan dan anti-Yahudi di kalangan penduduk Jerman melalui media dan kesusasteraan. 

Ketika berlakunya Perang Dunia Kedua, Joseph semakin rancak menghasilkan filem propaganda yang memihak kepada Nazi. Nazi cuba ditonjolkan sebagai kuasa yang baik manakala semua musuhnya adalah salah.

Apabila kekalahan Jerman semakin dekat, Hitler telah melantik Joseph Goebbels sebagai Canselor Jerman sebelum membunuh diri. Sayangnya, Joseph juga mengikuti jejak langkah pemimpin kesayangannya itu.

Dia telah meracun enam orang anaknya sebelum membunuh diri bersama-sama isterinya, Magda. Joseph Goebbels hanya memegang jawatan Canselor Jerman selama satu hari sahaja. (sumber)

2. Maharaja Mo dari Dinasti Jin - China (1 hari)

mongol menakluk dinasti jin

Dinasti Jin adalah kuasa yang dominan di China Utara pada tahun 1115 M. Sama seperti empayar-empayar lain, mereka mempunyai banyak musuh yang ingin menguasai pemerintahan mereka. Antara musuh paling ketat Dinasti Jin adalah kaum Mongol dari utara dan Dinasti Song dari selatan.

Pada abad ke-13, Dinasti Jin telah terlibat dalam peperangan antara Mongol dan Dinasti Song. Walaupun kerajaan sedang bergelut tetapi Maharaja Aizong berjaya memegang kuasa apabila ayahnya, Maharaja Xuanzong, mati pada tahun 1224.

Maharaja Aizong berjaya memupuk keamanan dengan semua musuh-musuhnya termasuk kaum Mongol dan Dinasti Song. Selepas Gengis Khan mangkat, penggantinya iaitu Ogedei Khan telah berpakat dengan Dinasti Song untuk menyerang Dinasti Jin pada tahun 1232.

ogedei khan 952

Ogedei Khan

Maharaja Aizong melarikan diri ke Caizhou tetapi berjaya dikepung oleh kaum Mongol dan Dinasti Song. Tidak sanggup menyaksikan kejatuhan Dinasti Jin, Maharaja Aizong telah melepaskan takhta kepada salah seorang panglimanya bernama Wanyan Chenglin sebelum membunuh diri.

Jeneral Wanyan Chenglin kemudian dikenali sebagai Maharaja Mo dari Dinasti Jin tetapi pemerintahannya tidak lama kerana Mongol dan Dinasti Song berjaya menakluk Caizhou. Maharaja Mo yang baru sehari dilantik itu juga telah terbunuh. Dia merupakan Maharaja terakhir dan paling singkat memerintah dalam Dinasti Jin. (sumber)

1. Louis XIX - Raja Perancis (20 minit)

louis xix aka louis antoine

Seperti kebanyakan negara Eropah lain, Perancis juga mempunyai pemerintahan diraja. Biasanya pemerintahan ini diwarisi melalui keturunan. Namun, salah seorang daripada keturunan raja ini hanya memegang takhta Raja Perancis selama 20 minit sahaja.

Raja yang dimaksudkan itu ialah Louis XIX. Dia adalah anak kepada Charles X yang merupakan adik kepada Raja Perancis ketika itu iaitu Raja Louis XVI. Louis XIX yang juga dikenali sebagai Louis Antoine telah berkahwin dengan anak Raja Louis XVI iaitu Puteri Marie-Therese yang merupakan sepupunya sendiri.

Tahun 1800-an adalah era yang sukar bagi monarki Perancis disebabkan gerakan revolusi yang berlaku. Ramai keturunan raja dibunuh atau dihalau dan keluarga diraja cuba untuk mempertahankan kekuasaan mereka.

Apabila Raja Louix XVI mangkat pada tahun 1824, takhta telah jatuh ke tangan adiknya, Charlex X. Raja Charles X cuba untuk menyelamatkan monarki dengan melakukan perubahan tetapi tidak cukup untuk mendapat sokongan rakyat.

Apabila menerima banyak tekanan, Raja Charles X menyerahkan takhtanya kepada anaknya, Louis XIX sebagai Raja Perancis yang baru. Namun, Raja Louis XIX juga bukanlah calon yang disukai. 20 minit selepas dilantik, Raja Louix meninggalkan takhtanya sebelum melarikan diri ke Scotland dan menetap di sana sehingga meninggal dunia. (sumber)



Hakcipta iluminasi.com (2017)