Oleh pada 24 Nov 2022 kategori

Nama seseorang secara mudah mampu mencerminkan identiti individu di sebaliknya.

Hanya dari sebuah nama kita sudah kenal serba sedikit tentang latar belakang dan asal dirinya. Bagaimanapun dalam sesetengah situasi disebabkan kelainan bahasa, nama akan berbunyi agak janggal. 

Situasi sebegini menarik untuk dilihat apabila melibatkan pemain bola sepak Piala Dunia, yang datang dari bermacam jenis negara. Berikut adalah 7 nama pemain Piala Dunia 2022 yang unik, dengan sedikit kisah ringkas tentang asal-usul nama mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Denzel Dumfries (Belanda)

denzel dumfries washington

Bagi yang tak tahu, pasti akan membaca nama ini sebagai 'Dumb+Fries' yang berbunyi seakan-akan 'kentang goreng bodoh'. Sebutannya yang betul adalah 'Damm-frees.'

Mempunyai nama keluarga yang agak unik dan jarang kedengaran, Denzel Dumfries pemain Belanda merupakan anak pasangan campuran; ibunya orang Surinam dan ayahnya berketurunan Aruba.

Unik bagi nama ini serta agak menghairankan, istilah 'Dumfries' dikatakan berasal daripada nama sebuah pekan lama di Scotland bernama Dun Phris, membawa maksud Kubu Orang-Orang Kampung. 

Menambah seri nama beliau, Denzel dinamakan 'Denzel' kerana ibu bapanya meminati pelakon Denzel Washington. Mungkin sebab itu wajahnya juga mirip pelakon tersebut.

2. Ahmed Alaaeldin (Qatar)

ahmed alaaeldin qatar

Walaupun nama beliau dieja dalam rumi sebegitu secara rasmi dalam daftar pemain, nama pemain dari Qatar sebenarnya adalah istilah 'Ala ad-Din' yang membawa makna 'seseorang yang mempercayai Allah dan mempunyai keikhlasan iman.' 

Nama ini juga lebih popular dikenali sebagai Aladdin merujuk kepada watak kisah klasik 'Aladdin' yang menemui lampu ajaib memenuhi hajat itu. Setakat ni penulis tak pernah jumpa mana-mana individu yang menamakan anak mereka Aladdin.

Anda ada kenalan nama Aladdin? 

3. Kieran Trippier (England)

kieran trippier nama unik

Sekali pandang, nama 'Trippier' seolah merujuk kepada seorang yang suka menjatuhkan orang lain pula kan?

Nama keluarga pemain pertrahanan dari England, Kieran Trippier ini unik kerana kurang ditemui. Tetapi asal-usulnya menyamai nama lain di sana, di mana nenek moyang masyarakat mereka gemar menamakan nama keluarga sempena pekerjaan.

Seperti nama keluarga 'Smith' (tukang besi) atau Miller (pengisar gandum), 'Trippier' boleh mempunyai dua makna berbeza.

Pendapat pertama berasal daripada perkataan 'tripherds', perkataan Inggeris era pertengahan yang bermakna penggembala kambing. Pendapat kedua pula menyebut perkataan 'trippier' ini wujud daripada gelaran Perancis 'tripier' yang membawa makna 'orang yang menjual usus haiwan.'

4. Bukayo Saka (England) 

bukayo saka england nigeria

Walaupun bergelar rakyat Britain, Bukayo Saka seorang yang berketurunan Nigeria.

Ada di antara kita mungkin akan mentertawakan nama beliau kerana 'Saka' dalam bahasa kita mempunyai makna yang kurang elok (serta menakutkan). Tetapi nama beliau sebenarnya mempunyai maksud yang indah.

'Bukayo' diambil daripada bahasa Yoruba, yang membawa makna 'kebahagiaan yang hadir.' Bagaimanapun tidak diketahui apa makna sebenar 'saka' dalam bahasa masyarakat mereka.

Apa yang kita tahu, nama 'Saka' popular dipilih sebagai nama keluarga di Nigeria.

Selain Nigeria, nama 'Saka' juga popular di Jepun dan Turkiye. Di Jepun, maknanya 'seseorang yang tinggal di lereng bukit' sementara di Turkiye pula, maknanya adalah pengangkut air.

5. Hannibal Mejbri (Tunisia)

hanniball pemain tunisia

Nama 'Hannibal' mempunyai reputasi negatif disebabkan pengaruh media, menerusi pengenalan watak pembunuh kejam Hannibal Lecter yang menjadi antara watak ikonik industri hiburan dan penulisan. 

Ada sebab kenapa nama ini bergelumang dengan reputasi buruk walaupun asal-usulnya jauh berbeza. 'Hannibal' terhasil daripada gabungan dua istilah iaitu 'Hannah' yang membawa makna 'kebaikan' dan 'Baal' yang membawa maksud 'tuan' - ditulis sebagai 'Hannibaal'.

Orang Semitik zaman dahulu seperti masyarakat Phoenicia dan Carthagia menamakan Tuhan-Tuhan kepercayaan mereka 'Baal' sebagai istilah rujukan am, jadi secara umumnya nama ini dirujuk dalam nada positif 'Tuan Punya Kebaikan.'

Dalam sejarah masyarakat barat pun nama ini biasa digunakan untuk menamakan anak.  'Hannibaal' paling terkenal dalam sejarah adalah seorang jeneral dan pemerintah masyarakat Carthagia (kini di bahagian barat Meditteranean) bernama Hannibaal yang dijulang sebagai antara jeneral perang terhandal dunia.

Pada era beliau sekitar 180SM, nama tersebut adalah antara nama biasa yang digunakan masyarakat mereka.

Bagaimanapun, kesedaran masyarakat barat tentang agama khususnya ajaran Jesus Christ mula mengubah pemahaman mereka. Sehinggakan penyembah Baal dikecam kerana mengamalkan kepercayaan Pagan kekal menyembah Tuhan yang salah.

Jadi istilah 'Baal' mula diguna merujuk 'Tuhan Yang Tidak Benar', mula disebut dalam tona yang negatif sehingga turut dikaitkan dengan nama syaitan dalam sesetengah media. Kami yakin pemain Tunisia dari kelab Manchester United ini pasti lebih faham sentimen yang berlegar tentang namanya.

6. Salman Al-Faraj (Arab Saudi)

salman al faraj

Kapten kepada pasukan Arab Saudi ini mempunyai nama penuh Salman bin Mohammed bin Mohammed Al-Faraj.

Istilah 'faraj' itu pasti sedikit sebanyak membuatkan penutur bahasa Melayu terbeliak kan?  Tenang! Istilah 'Faraj' adalah nama yang biasa digunapakai masyarakat Arab tetapi kaedah tulisannya perlu diperjelaskan.

Nama orang Arab itu memang ditulis sebagai 'Faraj' kerana ejaan asalnya dalam bahasa Arab, adalah sebegitu.

Dalam sejarah Arab sendiri ada ramai tokoh sejarah mereka dinama dengan nama Faraj, seperti Sultan An-Nasir Faraj yang memerintah di sekitar Mesir dan Syria penghujung abad ke 14. Banyak juga nama tempat menggunakan istilah ini.

Jadi apa maknanya dalam bahasa Arab? 'Faraj' bererti 'kebahagiaan yang hadir selepas kesedihan.' Sementara itu, perkataan asal Bahasa Arab kepada kemaluan wanita ditulis sebagai 'farj', biasanya disebut sebagai 'farjun.'

Disebabkan oleh perubahan cara sebutan kita penutur bahasa Melayu yang meminjam istilah ini dari bahasa Arab, lama kelamaan kita menyebutnya sebagai 'faraj.'

Sebab itulah daripada perspektif kita penutur bahasa Melayu, faraj boleh membawa maksud yang sangat berbeza. Jauh berbeza. Pelik Pak Arab tengok kita tergelak-gelak dengan Faraj.

7. Alphonse Areola (Perancis)

alphonse areola perancis

Satu lagi nama yang mungkin membuatkan ramai tersenyum, adalah nama Alphonse Areola, penjaga gawang pasukan Perancis.

Istilah nama 'Areola' itu sebenarnya adalah istilah yang diambil terus daripada bahasa Latin tanpa perubahan ejaan, merujuk kepada ruangan kecil yang kosong. Kata akarnya 'area.'

Bagaimanapun, selepas pihak pakar perubatan pada abad ke 16 mula menamakan 'bahagian berwarna yang mengelilingi puting susu wanita' juga sebagai 'areola'; mungkin kerana rupa bahagian itu menyerupai ruangan kecil yang kosong....nama itu mula dilihat aneh.

Kami harap dengan penjelasan ini anda faham kenapa nama keluarga beliau adalah Areola. Nama beliau bermaksud ruangan...bukan mewakili mana-mana bahagian tubuh wanita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)