Oleh pada 14 Nov 2022 kategori

Liga bola sepak Asia Tenggara berdepan cabaran tinggi dalam mendapatkan khidmat pemain terbaik dunia untuk hadir bermain ke sini.

Dengan kewujudan liga profesional Asia lain seperti di Jepun yang diakui mempunyai kualiti lebih tinggi serta kemampuan kewangan dimiliki pengendali pasukan liga China, kita terpaksa akur kuasa tarikan kita tak setinggi mana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi ada kalanya pemain berprofil tinggi yang diakui berkelas dunia terpanggil juga untuk berkhidmat dengan kelab atau persatuan di Malaysia. Berikut 6 pemain paling berprofil tinggi jika dibandingkan dengan semua yang telah tiba.

1. El Hadji Diouf (Senegal/Sabah)

el hadji diouf sabah

Peminat Liverpool pasti mengingati El Hadji Diouf.

Perwatakannya yang liar, rambutnya yang aneh serta prestasi tak menentu semasa bermain di England menjadi antara perkara yang diingati tentang kerjaya beliau.

Diouf meledak selepas mempamerkan aksi baik bersama Senegal dalam kempen Piala Dunia 2002, sehingga Liverpool memancing khidmatnya. Tetapi sayangnya Diouf tidak mampu mengulangi persembahan yang ditunjukkan.

Sering terpalit dengan kontroversi, Diouf bertukar-tukar kelab di sekitar England sehinggalah hadir ke Sabah.

Walaupun diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan Sabah, Diouf menempa kontroversi lebih banyak berusaha memikat hati pengurusan JDT berbanding majikannya.

Dia menawarkan diri berpindah ke JDT bermain tanpa gaji serta mencadangkan agar JDT menubuhkan akademi di Senegal untuk pencarian bakat baru. Ekoran tindakan tak masuk akal itu, Diouf dilucutkan dari jawatan kapten Sabah, hanya sempat bermain 10 perlawanan sebelum ditamatkan kontraknya.

Sabah menjadi kelab terakhir disertai El Hadji Diouf dalam karier dan kini dia telah kembali ke negara asalnya.

2. David Rocastle (England/Sabah)

david rocastle sabah

Seorang pemain yang disayangi peminat kelab Arsenal di England, David Rocastle adalah pemain akademi kelab tersebut sejak awal kariernya.

Dia melakukan penampilan bersama Arsenal sebagai seorang pemain tengah sebanyak 218, menjaringkan 24 gol. Selepas Arsenal, Rocastle berkelana ke beberapa buah kelab lain seperti Leeds, Manchester City dan Chelsea, sehinggalah ditawarkan kontrak bersama pasukan Sabah bagi musim tahun 1998.

Bersama Sabah, Rocastle memenuhi reputasi yang dibawa memacu Sabah ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun 1998 namun malangnya terpaksa akur dengan kekentalan Johor dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 1-0.

Rocastle meninggal dunia akibat kanser limfoma pada bulan Mac tahun 2001 ketika baru berusia 33 tahun. Sumbangan beliau kepada kelab Arsenal terus dikenang di mana dewan latihan akademi kelab itu kini dinamakan sempena nama beliau dan wajah beliau yang mesra, kekal dipaparkan di dinding stadium kelab tersebut.

3. Pablo Aimar (Argentina/JDT)

pablo aimar argentina jdt

Di zaman kemunculannya, Pablo Aimar memikul tugas berat sebagai salah seorang yang berpotensi menyambung legasi legenda Argentina, Diego Maradona dalam sukan bola sepak.

Muncul sebelum Lionel Messi, Aimar adalah nama terbesar di kalangan pemain Argentina, mempunyai rekod yang cemerlang dalam setiap kelab Eropah disertainya seperti Valencia, Real Zaragoza dan Benfica serta 52 kali mewakili pasukan kebangsaan Argentina.

Reputasi yang ada mengakibatkan semua orang terkejut selepas JDT mengumumkan Aimar bakal beraksi bersama kelab itu dalam kempen 2013-2014. Tetapi masalah keceraan yang menghantuinya sebelum itu berulang sehingga JDT terpaksa menamatkan kontrak beliau selepas 8 perlawanan.

Dia sempat menjaringkan 2 gol.

4. Bosko Balaban (Croatia/Selangor)

bosko balaban selangor croatia

Penyerang sasa ini merupakan antara barisan penyerang pasukan kebangsaan Croatia, namun  gagal diberikan peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Memulakan karier bersama kelab Rijeka di Croatia, khidmatnya dipancing kelab gergasi Dinamo Zagreb. Di sinilah dia mencatat rekod sebagai penjaring terbanyak liga membolehkan Balaban berpindah ke kelab England, Aston Villa.Prestasi turun naik serta tidak konsisten di England menghantui karier Balaban.

Dia kembali ke Croatia, kembali mempamerkan aksi lebih baik termasuklah menampilkan prestasi cemerlang bersama Club Brugge di Belgium. Selepas beberapa musim di Croatia dan Greece, Balaban menandatangani kontrak bersama Selangor pada tahun 2012.

Dia menjadi tonggak pasukan Selangor musim tersebut membantu Selangor menduduk tempat ketiga liga, melayakkan Selangor bersaing dalam Piala AFC bagi musim berikutnya.

Selangor dan Balaban memilih untuk tidak meneruskan kontrak tahun berikutnya dan Balaban mengumumkan persaraan dari sukan bola sepak.

5. Luciano Figueroa (Argentina/JDT)

luciano figueroa jdt

Di antara semua pemain import yang hadir ke Malaysia, pemain kebangsaan Argentina, Luciano Figueroa telah meninggalkan impak yang sangat mendalam bukan saja kepada kelab JDT bahkan kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

Mula bermain bersama kelab Rosario Central di tanahairnya, Figueroa membawa diri merantau ke England, Sepanyol, Mexico, Itali, Greece dan juga Ecuador bagi mengasah bakat.

Bagaimanapun era kegemilangan beliau berlangsung sekitar 2003 hingga 2005 di mana dia menjadi antara tonggak kesebelasan utama pasukan Argentina serta mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab Sepanyol, Villareal.

Reputasi yang dimiliki Figueroa memikat hati pengurusan JDT untuk mendapatkan khidmatnya dari kelab Panathinaikos bagi musim 2014, mempamerkan aksi hebat sebagai tonggak baru JDT bersama jaguh tempatan dan duta makanan kucing Safiq Rahim selama 3 musim.

Bersama Johor, Figueroa bergelar juara liga sebanyak 3 kali dan juara Piala AFC musim 2015, menambah koleksi trofi peribadinya yang turut tersimpan pingat emas Sukan Olimpik temasya 2004 serta anugerah kasut emas Liga Argentina yang dimenangi tahun 2003.

6. Daniel Guiza (Sepanyol/JDT)

daniel guiza sepayol jdt

Nama Guiza memuncak lambat berbanding pemain Sepanyol sama generasi dengannya.

Kejayaan beliau menjadi penjaring terbanyak liga Sepanyol pada musim 2007 melayakkan Guiza terpanggil menyertai pasukan kebangsaan, sehingga bergelar juara Piala Eropah tahun 2008.

Reputasi yang mekar membawa Guiza ke Turki di mana dia mengecapi kejayaan bersama kelab Fenerbahce sebelum Guiza kembali ke Sepanyol bersama kelab Getafe.

Berikutan kekurangan peluang, Getafe membenarkan Guiza dipinjamkan ke kelab JDT di mana dia melakukan penampilan sebanyak 10 kali dengan 6 jaringan.

Dalam karier bersama pasukan kebangsaan Sepanyol, Guiza hanya menerima cap pertama ketika berusia 27 tahun. Bagaimanapun beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang yang terhidang - mempersembahkan banyak aksi cemerlang sehingga dinobatkan sebagai antara wira tidak didendang peminat bola sepak Sepanyol.

Nama profil tinggi lain yang layak disenaraikan

david rocastle meme arsenal sabah

1. George Boateng (Ghana/T-Team)

2. Mamadou Diallo (Senegal/Pahang)

3. Tony Cottee (England/Selangor)

4. Karel Stromsik (Czechoslovakia/Selangor)

5. Stephen Keshi (Nigeria/Perlis)




Hakcipta iluminasi.com (2017)