kadar obesiti

Antara masalah utama dunia masa kini diperingkat global adalah peningkatan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Malah, negara kita Malaysia juga merupakan antara negara di Asia Tenggara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi. Sudah tentulah perkara ini membimbangkan. 

Secara umum, kegemukan atau obesiti adalah fenomena biasa yang terdapat di negara maju. Sebaliknya, negara-negara dengan kadar obesiti rendah di dunia kebanyakannya adalah negara-negara membangun, di mana mereka tidak mempunyai makanan yang cukup.

Namun, terdapat juga negara-negara yang maju namun rakyatnya antara yang paling kurus di dunia. Ini adalah negara di mana diet dan gaya hidup rakyatnya menyumbang kepada populasi yang lebih kurus daripada kebanyakan negara maju yang lain. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 7 negara yang mempunyai kadar obesiti paling rendah di dunia.

7. Jepun - 4.3%

diet orang jepun

Tidak seperti negara lain dalam senarai ini, Jepun bukanlah negara miskin atau membangun. Sebaliknya ia adalah salah satu negara terkaya dan termaju di dunia. Jadi, bagaimana hanya 4.3% orang Jepun yang gemuk? Sebilangan besar kadar obesiti Jepun rendah ini berkaitan dengan diet rakyatnya.

Orang Jepun tidak memakan makanan yang tinggi kandungan lemak, garam atau gula. Mereka juga kurang mengambil makanan yang diproses. Mereka biasanya makan dalam kuantiti yang lebih kecil dan tabiat pentingnya pemakanan yang betul ini dipupuk kepada anak-anak Jepun sejak di sekolah rendah lagi.

6. Nepal - 4.1%

rakyat nepal

Hanya 4.1% orang di Nepal tergolong dalam kategori gemuk. Nepal adalah salah satu negara termiskin di Asia. Pada tahun 2019, 39% penduduk Nepal hidup dalam kemiskinan dan 8% hidup dalam kemiskinan yang melampau. Oleh itu, peratusan rendah kadar obesiti ini adalah kerana rakyatnya tidak cukup makan. 

Seperti negara miskin lain, produktiviti pertanian Nepal terlalu rendah untuk memberi makan kepada penduduk negara itu. Bagaimanapun, keadaannya bertambah baik sejak 20 tahun kebelakangan. Skor Indeks Kelaparan Global Nepal adalah 37.4 pada tahun 2000 dan ia menurun kepada 19.5 pada tahun 2020.

5. Kemboja - 3.9%

kemboja

Kemboja mempunyai kadar obesiti yang sama dengan India iaitu hanya 3.9%. Namun, ianya disebabkan oleh kerana negara ini tidak dapat memberi makan penduduknya. Sumber semula jadi telah habis akibat konflik bersenjata. Pertanian dan pengeluaran makanan juga sering diancam oleh bencana alam yang kerap berlaku di negara ini.

Kekurangan bekalan makanan bermusim adalah perkara biasa di Kemboja. Dipercayai, dua pertiga isi rumah di negara ini mengalami kekurangan makanan bermusim setiap tahun. Kira-kira 40% kanak-kanak Kemboja kekurangan zat makanan secara kronik yang sering menyebabkan pertumbuhan fizikal mereka terbantut.

4. India - 3.9%

malnutrisi di india

Hanya 3.9% penduduk India yang tegolong dalam kategori gemuk. Tidak seperti Timor Leste, India menghasilkan makanan yang mencukupi di dalam negara tersebut untuk mesmberi makan penduduknya. Walaupun begitu, sebilangan besar orang India masih kekurangan akses terhadap makanan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), 189.2 juta orang di India kekurangan makanan pada tahun 2020. Pembaziran makanan disebut sebagai salah satu penyebab utama kelaparan di India dengan 40% sayur-sayuran dan 30% bijirin tidak sampai ke pengguna kerana rosak atau terbuang begitu sahaja. 

3. Timor Leste - 3.8%

orang timor leste

Timor Leste adalah sebuah negara pulau yang terletak di Asia Tenggara. Negara ini mempunyai kadar obesiti hanya 3.8%. Ini adalah negara lain di mana kelaparan adalah masalah serius buat rakyatnya. Mengikut Index Kelaparan Global, Timor Leste berada di kedudukan kedua tertinggi pada 2020.

Salah satu sebab krisis makanan serius di Timor Leste adalah kegagalan orang Timor Leste menghasilkan makanan yang mencukupi di dalam negara yan disebabkan oleh kesan perubahan iklim.

2. Bangladesh - 3.6%

kebuluran bangladesh

Bangladesh adalah negara dengan kadar obesiti kedua terendah di dunia, dengan kadar obesiti hanya 3.6%. Faktor utama yang membawa kepada perkara ini adalah faktor kemiskinan, menyebabkan kelaparan dan kekurangan zat makanan. Menurut Program Makanan Sedunia PBB (WFP), 40% penduduk Bangladesh mempunyai krisis makanan. 

Kanak-kanak Bangladesh khususnya sangat dilanda kelaparan sehingga ramai dari mereka mengalami pertumbuhan yang tidak stabil atau terbantut. Malah, WFP menganggarkan bahawa 36% kanak-kanak Bangladesh di bawah usia 5 tahun mengalami kadar pertumbuhan terbantut.

1. Vietnam - 2.1%

diet vietnam

Vietnam adalah sebuah negara di mana hanya 2.1% penduduknya dianggap gemuk. Jadi mengapa orang Vietnam begitu kurus? Seperti mana-mana negara membangun, Vietnam juga mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hampir 10% penduduk Vietnam hidup dalam kemiskinan, jadi tidak hairanlah jika banyak orang Vietnam mempunyai masalah mendapatkan makanan yang mencukupi.

Tetapi kemiskinan bukanlah satu-satunya perkara yang menjadikan orang Vietnam kurus. Makanan orang Vietnam yang terdiri terutamanya dari beras, sayur-sayuran, dan ikan juga menghindarkan kegemukan. Di samping itu, budaya Vietnam menekankan kehidupan yang seimbang yang merangkumi pengambilan makanan yang tepat.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. World Atlas
  3. Nippon


Hakcipta iluminasi.com (2017)