Oleh pada 25 Feb 2022 kategori

Boleh dikatakan semua orang sukakan bau wangi-wangian. Disebabkan itu, penggunaan minyak wangi menjadi seperti suatu kewajipan apabila anda ingin keluar dari rumah. Kini, terdapat ribuan jenis atau bau-bauan minyak wangi yang dijual di pasaran.

jenama perfume paling lama dan masih dijual sehingga kini

Suatu masa dahulu terutamanya di Eropah ketika manusia kurang mandi atau membasuh pakaian, mereka mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Daripada membersihkan diri, mereka sebaliknya mencipta produk yang mampu menutup bau busuk ini.

Maka, industri minyak wangi mula berkembang sehinggalah kepada yang kita kenali pada hari ini. Sebenarnya, ada minyak wangi yang berusia ratusan tahun masih lagi dihasilkan sehingga hari ini dan boleh dibeli oleh pengguna. Berikut adalah beberapa minyak wangi tertua yang masih dijual di pasaran.

7. Chanel No. 5 - Chanel (1922)

chanel no 5

Produk ini dicipta oleh pakar minyak wangi berketurunan Perancis-Rusia bernama Ernest Beaux yang pernah menghasilkan wangian kepada keluarga diraja Rusia. Beaux diperkenalkan kepada Coco Chanel melalui Grand Duke Dmitri Pavlovich dari Rusia. Coco Chanel tertarik dengan salah satu minyak wangi ciptaan Beaux.

Ketika memilih nama minyak wangi itu, Coco Chanel menyatakan bahawa dia sentiasa melancarkan koleksinya pada hari ke-5, bulan ke-5 kerana nombor 5 membawa tuah kepadanya. Oleh itu, dia menamakan minyak wangi terbarunya itu dengan nama 'Nº 5." Ia merupakan produk minyak wangi pertama dari Chanel.

Pada mulanya, minyak wangi Chanel No. 5 hanya dihasilkan untuk rakan terdekat dan pelanggan istimewa sahaja tetapi apabila semakin mendapat permintaan, ia dihasilkan secara komersial. 

6. Narcisse Noir - Caron (1911)

narcisse noir

Minyak wangi Narcisse Noir ini dihasilkan oleh seorang ahli minyak wangi dan pengasas jenama Caron iaitu Ernest Daltroff kerana obsesinya dengan bunga putih.

Minyak wangi ini dinamakan sempena satu watak dalam mitologi Yunani iaitu Narcisse yang sangat tampan sehingga dia jatuh cinta dengan bayangannya sendiri (dari mana perkataan narsisisme berasal).

Narcisse Noir yang mempunyai bau kompleks ini bukanlah minyak wangi pertama yang dihasilkan Daltroff tetapi ia adalah antara ciptaan terawalnya yang masih dihasilkan sehingga hari ini.

5. Fougère Royale - Houbigant (1882)

foug re royale

Dianggap sebagai salah satu kejayaan dalam dunia minyak wangi, Fougère Royale membuka lembaran baru bagi minyak wangi lelaki yang mempunyai bau seperti tumbuhan 'paku-pakis' yang manis dan berkayu.

Minyak wangi Fougère Royale ini dihasilkan oleh pemilik syarikat Houbigant sendiri iaitu Paul Parquet. Sebenarnya, minyak wangi ini telah dihentikan pengeluarannya buat satu tempoh masa tetapi telah dihidupkan semula pada tahun 2010 dengan bantuan pakar minyak wangi Rodrigo Flores-Roux dari Givaudan.

4. Eau de Cologne Imperiale - Guerlain (1853)

eau de cologne imperiale

Pada asalnya, minyak wangi ini dicipta sebagai aroma ekslusif untuk Permaisuri Eugenie iaitu isteri kepada Napoleon III yang merupakan raja terakhir Perancis. Napoleon III adalah anak saudara kepada Napoleon Bonaparte.

Tujuan minyak wangi ini dicipta untuk Permaisuri Eugenie adalah bagi membantu masalah migrain yang dihidapinya. Setelah mendapat kebenaran daripada permaisuri itu, barulah minyak wangi ini dijual di pasaran.

Wangian ringan ini mempunyai bau haruman sitrus, lemon, bergamot dan minyak neroli daripada pokok oren pahit serta campuran halus rosemary dan cedar.

3. Extra Vieille, Jean-Marie Farina - Roger & Gallet (1806)

extra vieille jean marie farina

Seorang penghasil ubat-ubatan berbangsa Itali yang tinggal di Cologne, Jerman, bernama Gian Paolo Feminis telah mencipta minyak wangi yang dinamakannya sebagai eau de Cologne. Produknya itu telah disahkan pada tahun 1727 dan mempunyai sifat terapeutik atau penyembuhan.

Minyak wangi asal yang dihasilkan Feminis diberi nama Acqua Mirabilis yang bermaksud "air ajaib". Kemudian, anak saudaranya bernama Giovanni Maria Farina telah mewasiri resipi Feminis. Farina yang juga tinggal di Cologne kemudian telah menjual minyak wangi ciptaannya kepada syarikat Roger & Gallet pada 1862.

Roger & Gallet kemudian telah menjenamakan semula minyak wangi itu sebagai Extra Veille, Jean-Marie Farina. Minyak wangi ini mempunyai campuran bau sitrus, bunga mawar, rempah kayu cengkih, cendana dan kasturi.

2. 4711 Echt Kolnisch Wasser - Maurer & Wirtz (1792)

4711 echt kolnisch wasser

4711 adalah Eau de Colonge Jerman tradisional yang dihasilkan oleh syarikat Maurer & Wirtz. Jenama ini telah dikembangkan kepada pelbagai minyak wangi dak produk lain yang menggunakan formula yang sama selama lebih daripada 200 tahun.

Minyak wangi ini dianggap mempunyai ciri-ciri anti-radang dan baik untuk menenangkan kulit ditambahkan lagi dengan bau segar kayu, bunga dan sitrus.

Minyak wangi ini dinamakan sempena rumah penciptanya iaitu Wilhelm Mulhens di No. 4711, Glockengasse, Cologne. Kini, rumah itu dijadikan sebagai tarikan pelancong.

1. Acqua di S.M. Novella - Farmaceutica di S.M Novella (1533)

acqua di colonia

Acqua di S.M Novella adalah minyak wangi tertua di dunia yang masih berada di pasaran. Ia juga dikenali dengan nama Acqua della Regina (Air Permaisuri).

Friars Dominican Santa Maria Novella menghasilkan resipi minyak wanginya yang pertama pada tahun 1533 untuk Catherine de' Medici sebagai hadiah perkahwinan kepada bakal suaminya, Raja Henry II dari Perancis.

Minyak wangi yang sesuai digunakan oleh lelaki dan wanita ini adalah salah satu minyak wangi berasaskan alkohol yang pertama di dunia.



Hakcipta iluminasi.com (2017)