Kejam dan tidak berhati perut, kebanyakan Maharaja Rom sememangnya terkenal dengan cara pemerintahan mereka yang zalim. Anda pasti pernah membaca atau terdengar kisah-kisah kehebatan dan kekejaman Maharaja Rom purba. Akan tetapi, siapakah antara mereka semua yang dikira paling kejam?

Walaupun ada antara maharaja yang kejam ini sebenarnya berbakat dan bagus dalam mentadbir, mereka juga mempunyai pelbagai kisah yang menggerunkan. Berikut adalah 8 Maharaja Rom paling kejam mengikut pandangan ahli sejarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tiberius - Memerintah : 14–37 Masihi

tiberius

Tiberius adalah pengganti kepada Augustus. Walaupun Augustus tidak mahu Tiberius sebagai pengganti, namun dia terpaksa kerana tidak mempunyai pewaris lain. Ini berikutan kematian cucu Augustus iaitu Gaius dan Lucius, dan keputusan Augustus untuk menghalau adiknya Agrippa Postumus.

Tiberius merupakan komander tentera yang berbakat dan dihormati kuasa senat. Namun, dia agak dicurigai dan tidak mempunyai ramai rakan dalam politik. Dia juga mempunyai pertikaian sengit dengan Agrippina, janda kepada anak saudaranya yang juga wira perang dan bapa kepada Caligula iaitu Germanicus.

Salah seorang rakan baik Tiberius ialah Aelius Sejanus, seorang panglima perang yang juga terkenal kerana kekejamannya. Setelah mengetahui bahawa Sejanus ingin merampas semua kuasa untuk dirinya sendiri, Tiberius telah menangkap dan menjatuhkan hukuman bunuh terhadapnya.

Tiberius kemudian menjadi paranoid dengan orang-orang di sekelilingnya dan melarikan diri ke pulau Capri. Dia menghidupkan semula peraturan lama maestro (pengkhianatan) dan menggunakannya untuk menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa yang disyaki menentangnya.

Ahli sejarah Rom seperti Suetonius dan Tacitus menceritakan tentang kehidupan Tiberius di pulau Capri. Mereka menggambarkannya sebagai seorang pemangsa seksual yang teruk. Tiberius juga akan membuang sesiapa sahaja ke dalam laut mengikut keinginannya. Cara pemerintahan ini menjadi tolok ukur kepada kekejaman Maharaja Rom yang lain pada masa akan datang.

2. Gaius (Caligula) - Memerintah : 37–41 Masihi

caligula 1

Gaius atau Caligula terkenal dengan beberapa tindakan anehnya seperti mengisytiharkan perang tuhan laut iaitu Neptune dan juga mendakwa dirinya sebagai tuhan.

Pada awal pemerintahannya, Gaius adalah pemerintah yang cemerlang. Namun, selepas itu dia telah berubah menjadi kejam, paranoia, sadis, boros dan mempunyai tabiat seks songsang. Dia juga berhubungan intim dengan kakaknya, Julia Drusilla, yang dinamakan sebagai pewarisnya.

Gaius juga sangat gemar memalukan dan mengugut ahli senat kerajaannya. Sebagai anak lelaki wira perang Germanicus, Gaius juga ingin membangunkan legenda ketenteraanya sendiri. Namun, kempennya untuk menyerang Jerman dan Britain tidaklah begitu membuahkan hasil.

Gaius juga mengisytiharkan dirinya tuhan dan menggunakan status itu untuk menubuhkan monarki mutlak di Rom. Dia juga mengikuti Tiberius dalam menggunakan peraturan pengkhianatan untuk menghapuskan musuh nyata atau imaginasinya.

Maharaja itu akhirnya dibunuh oleh salah seorang pengawal Praetoria, Cassius Chaerea. Gaius dibunuh ketika menghadiri Permainan Palatine, mengakhiri pemerintahan salah seorang maharaja rom yang paling kejam dan gila ini. 

3. Nero - Memerintah : 54–68 Masihi

nero

Nero adalah Maharaja Rom yang dibenci ramai dalam sejarah. Namun, dia sebenarnya seorang pentadbir yang cekap dan dibantu oleh beberapa orang yang berkaliber termasuk gurunya iaitu Seneca.

Selain itu, Nero juga dikenali sebagai seorang pembunuh. Dia telah membunuh saudara tirinya, Britannicus, yang sepatutnya berkongsi kuasa dengannya. Dia juga meninggalkan isterinya Claudia Octavia untuk bersama kekasih iaitu Poppaea Sabina. Octavia akhirnya dibuang daerah sebelum dihukum gantung atas tuduhan zina.

Dengan hasutan Poppaea, Nero juga telah membunuh ibunya sendiri. Poppaea juga tidak terkecuali daripada kekejaman Nero. Isteri keduanya itu telah dipijak sehingga mati oleh maharaja itu ketika sedang hamil dengan anaknya. 

Semasa berlakunya Kebakaran Besar di Rom, Nero telah menganjurkan agar bantuan diberikan kepada mangsa dengan merancang pembinaan semula rumah-rumah mereka. Ramai yang mendakwa Nero terlibat dalam Kebakaran Besar itu tetapi sebahagian ahli sejarah menafikannya.

Nero paling dibenci kerana membina kompleks istana mewah yang digelarnya sebagai Domus Aurea atau 'Rumah Emas'. Maharaja itu juga diketahui membunuh penganut agama Kristian dalam jumlah yang besar. Nero akhirnya digulingkan oleh pemberontakan tentera yang akhirnya menjurus kepada perang saudara tiga hala.

4. Commodus - Memerintah : 180–192 Masihi

commodus

Lucius Aelius Aurelius Commodus adalah maharaja yang dilakonkan oleh Joaquin Phoenix dalam filem terkenal Gladiator (2000). Maharaja Commodus sememangnya meminati pertempuran gladiator dan dia sendiri pernah bertarung di dalam arena. Dia kadang-kala berpakaian seperti Hercules dan mendakwa dirinya adalah Hercules versi Rom.

Dia adalah anak kepada Maharaja Marcus Aurelius Antoninus Augustus yang juga seorang ahli falsafah, tetapi sering tidak sehaluan dengan bapanya itu. Seorang yang sentiasa mencari keseoronakan, Commodus telah menyebabkan berbendaharaan Rom hampir muflis.

Dia kemudian mula mencari jalan dengan menghukum golongan bangsawan dan orang kaya, supaya dapat merampas harta mereka untuk mengisi semula perbendaharaan kerajaannya.

Tidak lama selepas itu, orang ramai mula merancang untuk menggulingkannya termasuklah kakaknya sendiri. Akan tetapi, rancangan itu berjaya digagalkan dan Commodus menjatuhkan hukuman mati terhadap lebih ramai orang kerana bersekongkol untuk menjatuhkannya.

Akhirnya, pegawai-pegawai istana sendiri yang telah mengupah seorang atlit profesional untuk mencekik Commodus sehingga mati di dalam kamar mandinya.

5. Marcus Aurelius Antoninus I (Caracalla) - Memerintah : 211–217 Masihi

caracalla 111

Marcus Aurelius Antoninus merupakan anak kepada Maharaja Septimius Severus. Dia mendapat nama jolokan "Caracalla" bersempena sehelai kot berhud dari Gaul yang dibawanya dan diperkenalkan kepada Rom.

Caracalla mula bersengketa dengan adiknya, Geta, apabila Severus menamakan kedua-dua mereka sebagai pewaris takhta. Akibat persengketaan antara kedua-dua beradik ini, dijangkakan perang saudara bakal meletus pada bila-bila masa sahaja ketika itu. Namun begitu, Caracalla telah mengelakkan senario ini daripada berlaku dengan bertindak membunuh adiknya terlebih dahulu.

Setelah itu, Caracalla sentiasa menangani pihak lawan dengan kejam. Dia membunuh setiap orang penyokong Geta selain menghapuskan sesiapa sahaja di bandar Alexandria yang menentang pemerintahan Rom.

Walaupun dia seorang komander tentera yang ganas dan berjaya, namun akhirnya dia telah dibunuh oleh sekumpulan pegawai tentera Praetorian termasuklah Opellius Macrinus yang kemudian telah mengaku sebagai maharaja baru.

6. Marcus Aurelius Antoninus II (Elagabalus) - Memerintah : 218–222 Masihi

elagabalus

Elagabalus merupakan saudara kepada isteri Septimius Severus yang diketengahkan untuk menggulingkan Macrinus selepas pembunuhan Caracalla. Elagabalus akhirnya berjaya berbuat demikian dan terus memulakan rejim pemerintahan yang lebih eksentrik.

Gelaran namanya diperolehi bersempena jawatannya sebagai paderi sebuah kultus yang menyembah tuhan Syria Elah-Gabal. Dia cuba memperkenalkan kultus tersebut kepada warga Rom, malah sanggup disunat untuk menunjukkan pengabdiannya kepada kultus itu.

Elagabalus kemudian dengan sengaja menyinggung prinsip moral dan keagamaan orang Rom dengan membina sebuah objek pemujaan di Bukit Palatine iaitu batu hitam berbentuk kerucut yang merupakan simbol tuhan matahari Sol Invictus Elagabalus. Selain itu, Elagabalus juga mengahwini seorang ketua paderi dara di kuil Vesta yang diharamkan berkahwin.

Tidak cukup dengan pernikahan yang melanggar undang-undang tersebut, rakyat Rom juga mengecam perilaku seksual Elagabalus yang mengamalkan hubungan luar tabii dengan pasangan sejenis secara terbuka. Dikhabarkan, Elagabalus juga merupakan istilah individu yang kini digelar transgender.

Akhirnya, setelah warga Rom tidak dapat bersabar lagi dengannya, dia dibunuh dalam satu konspirasi yang diketuai oleh neneknya sendiri.

7. Diocletian - Memerintah : 284–305 Masihi

diocletian

Diocletian adalah seorang Maharaja Rom yang terkenal kerana mengambil keputusan yang berisiko tetapi bijak iaitu dengan membahagian kerajaan Rom kepada dua. Dia telah memilih Marcus Aurelius Maximianus untuk menjadi pemerintah bersama.

Setiap maharaja mempunyai seorang pembantu yang dikenali sebagai Caesar. Pembahagian kuasa kepada empat bahagian ini dikenali sebagai tetrarchy.

Maharaja Diocletian adalah seorang pentadbir yang bagus. Dia berjaya mempertahankan struktur pemerintahan tetrarchy itu dengan baik walaupun sering mendapat tekanan yang semakin kuat dari musuh-musuhnya di luar sempadan.

Namun, apa yang dilakukan oleh maharaja itu terhadap penganut agama Kristian adalah salah satu bentuk penganiayaan yang sangat kejam. Penganut Kristian sememangnya telah lama mempunyai sejarah hitam dengan kebanyakan pemerintah Rom tetapi masih lagi bertahan. Akan tetapi, kebencian Maharaja Docletian terhadap Kristian telah hampir melenyapkan agama itu daripada kerajaannya. 

Gereja-geraja Kristian telah diarahkan untuk dimusnahkan. Kitab-kitab Injil pula dibakar secara terbuka, manakala pendeta-pendeta pula telah dipenjara dan dipaksa untuk melakukan korban diri sendiri.

Mana-mana penganut Kristian yang enggan keluar dari agama itu akan diseksa dan dibunuh. Apa yang dilakukan oleh Diocletian ini adalah sesuatu yang luar biasa, memandangkan orang Rom biasanya menerima agama baru yang dibawa.

Ramai percaya apa yang dilakukan oleh Maharaja Diocletian ini adalah disebabkan 'survival' pemerintahannya. Ini kerana ajaran Kristian menolak nilai-nilai agama Romawi yang berkait rapat dengan pemerintahan dan empayar mereka.

Rujukan:

1. History Extra

2. Thought Co

3. History Hit




Hakcipta iluminasi.com (2017)