Apabila memperkatakan mengenai barangan kemas, emas dan perak tentulah menjadi pilihan kebanyakan wanita. Sama ada untuk majlis pernikahan mahupun pertunangan, barangan kemas seperti cincin, gelang dan rantai emas semestinya menjadi pilihan bagi yang berkemampuan.

Bukan sahaja harganya boleh meningkat naik bergantung kepada harga pasaran semasa, emas juga mudah digadai ataupun dijual semula. Sementara itu, bagi yang lebih berkemampuan pula, barangan kemas yang mempunyai batu berlian pula semestinya menjadi pilihan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekiranya anda hanya rakyat marhaen, lupakanlah sahaja cita-cita untuk membeli berlian. Harganya puluhan dan ratusan ribu sudah pasti. Ramai yang mengaitkan harga batu permata berlian yang tidak masuk akal ini dengan kesukaran mendapatkannya. Adakah dakwaan ini benar? Adakah batu permata berlian ini benar-benar sukar ditemui di muka bumi ini?

Tahukah anda, sebaik sahaja anda melangkah keluar daripada kedai barangan kemas, harga batu permata berlian yang dibeli sudahpun jatuh sekurang-kurangnya 50% daripada harga yang dibeli. Bagaimanakah ini mungkin terjadi?

Jawapan mudahnya, berlian tidak mempunyai nilai instrinsik. Ianya menjadi begitu mahal akibat teknik pemasaran licik dan monopoli oleh De Beer, pemilik syarikat De Beer Mining Company yang memonopoli perlombongan berlian di Afrika.

Budaya membeli cincin pertunangan dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat

Bagi masyarakat barat terutamanya di Amerika Syarikat, membeli cincin pertunangan buat calon isteri merupakan satu kemestian. Ianya merupakan simbolik bagi seorang lelaki yang ingin melamar seorang wanita. Sudah semestinya, cincin yang diperbuat daripada emas menjadi pilihan.

Walau bagaimanapun, sekitar tahun 1938, De Beers dan syarikatnya De Beers Mining Company (kini The De Beers Group of Companies) telah melakukan kempen pemasaran drastik mengenai berlian. Beliau berjaya menanamkan kepercayaan bahawa cincin pertunangan yang dibeli mestilah bernilai sekurang-kurang satu bulan gaji.

De Beers memonopoli pasaran berlian dan menaikkan harga berlian

Syarikat De Beers merupakan syarikat pertama yang membuka lombong berlian terbesar pertama di Afrika Selatan. Bagaimanakah mereka berjaya melonjakkan harga berlian berkali-kali ganda? Dengan mengehadkan pengeluaran berlian mengikut permintaan.

Mengikut sejarah, berlian pada awalnya memang amat sukar ditemui. Sehinggalah pada tahun 1800-an apabila sebuah kawasan di Afrika Selatan  ditemui mempunyai simpanan batu berlian yang sangat banyak. Syarikat milik De Beers dan beberapa syarikat kecil yang beroperasi disitu khuatir harga berlian akan menurun memandangkan terdapat banyak simpanan berlian di lombong tersebut.

lombong berlian

Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, syarikat-syarikat perlombongan ini telah bersepakat bergabung dan mengambil keputusan untuk mengehadkan pengeluaraan berlian ini dalam setahun.

Setiap tahun, syarikat-syarikat ini akan membuat unjuran jumlah pasangan di Amerika Syarikat yang akan berkahwin dan mereka akan mengeluarkan jumlah berlian berdasarkan jumlah tersebut. Memandangkan kumpulan syarikat De Beers menguasai 90% pasaran batu berlian seluruh dunia, maka amatlah mudah bagi mereka untuk mengawal harganya.

de beers diamond

Kempen pemasaran syarikat De Beers juga telah memainkan peranan bagi mengubah tanggapan masyarakat terhadap berlian. Mereka telah menghasilkan iklan-iklan yang memaparkan artis ternama memperagakan barangan kemas yang diperbuat daripada berlian.

Iklan-iklan pemasaran ini berjaya mengubah kepercayaan dan persepsi masyarakat bahawa cincin berlian merupakan satu lambang kemewahan. Hal ini menyebabkan kebanyakan pasangan mula bertukar kepada cincin yang mempunyai batu berlian sebagai cincin pertunangan.

Adakah berbaloi membeli berlian?

Tidak sama sekali, melainkan anda mempunyai terlalu banyak wang untuk dibazirkan. Bagi barangan kemas untuk majlis pertunangan atau nikah, barangan kemas yang diperbuat daripada emas lebih berbaloi untuk dibeli.

batu berlian

Selain itu, berlian merupakan barangan kemas yang sukar untuk dijual semula. Malah, harganya jual semulanya juga terlampau rendah,  menjadikannya tidak berbaloi untuk dijual semula. Dalam kata lain, berlian bukanlah sejenis aset.

Kredit:

  1. Huffington Post
  2. Gem Society
  3. Business Insider



Hakcipta iluminasi.com (2017)