Oleh pada 27 May 2022 kategori

Sama seperti di negara lain, senarai 'Most Wanted' Federal Bureau of Investigation (FBI) adalah senarai penjenayah paling dikehendaki di Amerika Syarikat. Sejak ia diperkenalkan pada tahun 1950, terdapat ratusan penjenayah bahaya dan kejam yang dimasukkan ke dalam senarai itu.

Senarai ini diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang ancaman penjenayah yang sedang dalam buruan pihak berkuasa. Melalui penghebahan ini, sebanyak 94 peratus daripada hampir 600 orang penjenayah berjaya ditangkap atau dikesan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai senarai 'Most Wanted' FBI sejak ia ditubuhkan 72 tahun yang lalu.

1. Menggantikan Sistem 'Public Enemy'

john dillinger

Sebelum adanya senarai 'Most Wanted', tiada kaedah sistematik untuk menyasarkan pelarian paling bahaya di Amerika Syarikat. Antara yang paling hampir ialah sistem 'Public Enemy' tetapi ia bukanlah satu sistem penguatkuasaan yang rasmi.

Suruhanjaya Jenayah Chicago telah mencipta frasa 'Public Enemy' atau 'Musuh Awam' pada 1930 ketika jenayah terancang sedang berleluasa. Jabatan Kehakiman dan FBI mula menggunakan istilah 'Public Enemy' beberapa tahun kemudian untuk melabel penjenayah berbahaya seperti John Dillinger.

Hasil kerjasama dengan pihak media, FBI mula mewujudkan Senarai Paling Dikehendaki atau Most Wanted pada 14 Mac 1950. FBI akan menilai seseorang penjenayah terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam senarai ini.

2. Dari Perompak Bank Sehingga Pengganas Antarabangsa

osama bin laden 507

Senarai 'Most Wanted' FBI berubah mengikut zaman. Ada segelintir berpendapat ia berubah mengikut agenda politik. Ketika senarai ini mula diwujudkan, fokus utama adalah untuk memburu perompak bank, pencuri kenderaan dan apa sahaja berkaitan jenayah terancang atau Mafia.

Pada tahun 1960-an dan 70-an, FBI mula menyenaraikan aktivis politik radikal dari kumpulan sayap kiri seperti Assara Shakur dan Angela Davis.

Pada hari ini, senarai 'Most Wanted' ini lebih tertumpu kepada pembunuh bersiri, pengedar dadah, pengganas antarabangsa, penjenayah seks dan jenayah berat yang lain.

3. Individu Pertama Senarai 'Most Wanted'

thomas james holden

Sebelum menjadi individu pertama dalam senarai 'Most Wanted', Thomes James Holden sudahpun mempunyai sejarah jenayah yang panjang. Dia merupakan 'produk era gangsterisme' pada tahun 1920-an dan 30-an.

Holden melakukan pelbagai rompakan dan melarikan diri dari penjara Leavenworth sebelum ditangkap semula dan dimasukkan ke penjara Alcatraz. Pada 1949, dia telah membunuh isteri dan dua adik iparnya dalam satu pergaduhan sebelum melarikan diri. Ini menyebabkan namanya dimasukkan ke dalam senarai 'Most Wanted'.

4. Wanita Pertama Dalam Senarai 'Most Wanted'

ruth eisemann schier

Dalam hampir 600 orang penjenayah yang berada dalam senarai 'Most Wanted' FBI, 10 daripadanya adalah wanita. Wanita pertama yang berada dalam senarai ini ialah Ruth Eisemann-Schier.

Ruth ialah seorang pelajar di Institut Sains Marin Universiti Miami ketika dia bertemu dengan lelaki bernama Gary Krist. Ruth dan Krist telah menculik Barbara Mackle, anak jutawan hartanah Florida berusia 20 tahun.

Setelah meminta wang tebusan sebanyak USD 500,000, Ruth dan Krist menanam Barbara dalam sebuah kotak kaca yang dilengkapi pam udara. Pihak berkuasa berjaya mengesan Barbara 83 jam kemudian sebelum menangkap Ruth dan Krist tidak lama selepas itu.

5. Suspek Paling Singkat Dalam Senarai 'Most Wanted'

billie austin bryant

Ketika Billie Austin Bryant ditahan pada April 1968, dia adalah seorang perompak bank terkenal di Washington D.C. Pada Ogos tahun sama, Bryant melarikan diri dari penjara. 

Bryant kembali melakukan beberapa siri rompakan bank. Dua ejen FBI turut cedera ditembak Bryant ketika mereka cuba menahan penjenayah itu. Selepas kejadian itu, namanya dimasukkan ke dalam senarai 'Most Wanted'.

Walau bagaimanapun, tuan rumah tempat Bryant bersembunyi telah menghubungi pihak berkuasa setelah terdengar bunyi aneh di loteng rumahnya. Bryant ditahan dua jam selepas namanya disenaraikan dalam senarai 'Most Wanted' FBI.

6. Suspek Paling Lama Dalam Senarai 'Most Wanted'

victor manuel gerena

Victor Manuel Gerena adalah seorang pekerja contoh di sebuah bank di West Hartfort, Connecticut. Namun,  pada 12 September 1983, Gerena dan seorang rakan subahatnya telah mencuri USD 7 juta dari tempat kerjanya. Ia merupakan rompakan wang tunai terbesar dalam sejarah A.S.

Pihak berkuasa kemudian mendapati Gerena sebenarnya secara rahsia adalah seorang ahli militan kumpulan nasionalis di Puerto Rico iaitu Los Macheteros. Mereka memperjuangkan kemerdekaan Puerto Rico daripada A.S.

Wang yang dicuri itu digunakan untuk membeli senjata api dan peluru berpandu di mana ia digunakan untuk menyerang ibu pejabat FBI di San Juan, Puerto Rico. Gerena tidak pernah ditangkap dan akhirnya namanya dikeluarkan daripada senarai pada 2016 selepas 32 tahun.

7. Suspek Paling Tua Dalam Senarai 'Most Wanted'

eugene palmer

Eugene Palmer berusia 80 tahun apabila namanya dimasukkan ke dalam senarai 'Most Wanted' FBI pada 2019 setelah polis gagal mengesannya atas kesalahan membunuh menantunya, Tammy Palmer pada 2012.

Tammy dan suaminya, John Palmer, tinggal serumah dengan Eugene. Hubungan Eugene dan Tammy menjadi keruh apabila Tammy memfailkan perintah sekatan mahkamah terhadap suaminya, John.

Keadaan menjadi lebih keruh apabila Tammy mengancam untuk menyaman Eugene untuk mendapatkan rumahnya. Eugene telah menembak Tammy sehingga mati dan melarikan diri sejurus kemudian. Eugene yang kini berusia 83 tahun masih bebas dan dianggap berbahaya kepada masyarakat awam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)