Oleh pada 02 Apr 2018 kategori

Kemuliaan di sisi Allah swt. dan ganjaran syurga.Itu adalah apa yang diajar kepada pelatih pengebom berani mati dan disemai dalam minda mereka setiap hari, sehingga mampu membuatkan individu-individu ini sanggup mengorbankan nyawa hanya untuk melihat 'musuh Allah' terkorban.

Apa yang telah mereka lalui sehingga mampu membuatkan minda mereka bersetuju untuk melakukan sesuatu, yang jelas jauh menyimpang daripada ajaran Islam? Sukar untuk diketahui satu per satu apa yang telah dilakukan pada mereka, tetapi sudah wujud beberapa laporan yang cuba merungkai rahsia di sebalik latihan dan doktrin yang diajar, dalam melatih seorang pengebom berani mati.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pakistan sehingga kini kerap menjadi sasaran pengebom berani mati, dengan kes terbaru melibatkan kematian 11 orang tentera Pakistan termasuk seorang berpangkat kapten pada 3 Februari 2018. 

Sebuah laporan tahun 2010 berjaya menjawab beberapa soalan bagaimana pengebom dilatih oleh kumpulan Taliban, yang kerap menjadikan kawasan Barat Laut Pakistan, sebuah kawasan bernama Waziristan sebagai sasaran mereka.

Menjadi salah satu lokasi utama pusat latihan pengebom berani mati, ini kisah apa yang berlaku di sana.

Fatwa songsang sebagai motivasi

suicide bomber diajar memandu kereta

Golongan remaja adalah sasaran Taliban dalam melatih pengebom berani mati, kerana remaja mempunyai kemahuan tinggi dalam melakukan sesuatu dengan segera dan bersifat tidak sabar. Majoriti antara mereka direkrut dengan menggunakan hubungan antara saudara mara atau kenalan rakan sebaya.

Salah seorang remaja yang dilatih bernama Abid, menjelaskan dia menyertai latihan pengebom berani mati kerana menghadapi masalah hidup, berdepan dengan pakciknya yang mengongkong hidup serta rutin kerja yang perlu dia lakukan setiap hari. Bagi Ishaq pula seorang remaja 18 tahun, dia tidak mahu menghabiskan persekolahan dan ditarik masuk untuk menyertai latihan kerana dia mencari tujuan hidupnya.

Majoriti mereka yang bersetuju menjadi pelatih merasakan itu sahaja jalan terbaik untuk melindungi orang Muslim dan agama Islam. Setiap hari mereka diajar dan didedahkan dengan pelbagai kerosakan yang telah dilakukan masyarakat bukan Islam serta dididik untuk membalas dendam sebagai perbuatan balas. Ishaq menceritakan tentang seorang instruktor beliau yang kerap mengingatkan mereka tentang nasib wanita-wanita Islam yang dipermainkan di Afghanistan dan Iraq.

Teras ajaran yang perlu mereka pegang, Islam membenarkan apa yang akan mereka lakukan termasuklah mengebom kelompok Muslim yang dipercayai bersekutu dengan bukan Islam. Tentera Pakistan dianggap halal untuk dibunuh kerana mereka bekerjasama dengan Amerika Syarikat serta bertindak menghalang gerakan jihad di dalam negara mereka sendiri.

Fatwa yang diajar ringkas dan padat; membunuh tentera, anggota pasukan keselamatan serta mana-mana penjawat awam yang bekerjasama dengan kerajaan sekular Pakistan adalah dibenarkan menurut hukum Islam.

Doktrin Qari Hussain

qari hussain mehsud guru pengebom berani mati

Qari Hussain adalah individu yang bertanggungjawab menubuhkan kem latihan pengebom berani mati di Selatan Waziristan. Asasnya, apa yang menjadi kepercayaan Qari akan diajar kepada individu pelatih yang masuk menyertai latihan.

Seorang individu yang tegas, ajaran Qari banyak menghalalkan tindakan mereka berikutan kepercayaan Islam yang sengaja diubah bagi membenarkan aktiviti kejam mereka. Remaja-remaja dalam latihan diajar mempercayai orang-orang awam yang terbunuh dalam operasi mereka adalah ahli-ahli syurga, jadi mereka dididik untuk tidak perlu merisaukan nasib orang lain yang terkorban kerana semuanya sudah menjadi ahli syurga.

Menggunakan al-Quran dan hadis serta pelbagai fatwa yang diputar belit, sistem didikan yang dibina oleh Qari Hussain berjaya mencipta rasa keingingan memuncak untuk pelatih dalam melakukan tugas mereka. Dengan sengaja diwujudkan persaingan di antara pelatih-pelatih pengebom untuk bersaing melihat siapa yang akan lebih cepat dipilih bagi mengorbankan diri.

Setiap hari pelatih digalakkan bertanya bila giliran mereka dan ramai yang merasa kecewa sekiranya mereka tidak dipilih menyertai operasi. Peluang pelatih terpilih bergantung kepada kekerapan mereka mendesak untuk dibenarkan mengorbankan diri. Itulah yang berlaku pada seorang pelatih yang mengorbankan dirinya hanya selepas 2 minggu berada dalam latihan. Lelaki itu mengorbankan dirinya dalam serangan ke atas sebuah pusat latihan polis di Sargodha pada tahun 2007 yang berjaya ditumpaskan pihak keselamatan.

Bagi seorang pengebom berani mati, syurga adalah ganjaran mereka sebaik saja butang letupan diaktifkan. Mereka juga diberitahu. selepas tiba di syurga, Allah swt. akan meminta 70 nama individu yang mereka mahu berada di syurga bersama mereka. Allah juga dikatakan tidak akan menolak sebarang nama yang mereka sebutkan.

Pengebom berani mati berstatus lebih mulia di sisi Allah

kanak kanak dilatih jadi pengganas

Salah satu doktrin yang membuatkan ramai sanggup menjadi pengebom berani mati, kerana mereka percaya kedudukan mereka lebih mulia di sisi Allah swt. berbanding individu-individu lain yang turut sama berjihad.

Pelatih yakin mampu mencapai kedudukan tertinggi apabila mereka langsung tidak berminat dengan dunia, menolak status, kemewahan dan maruah diri. Hanya dengan berkorban nyawa saja membuktikan penolakan terhadap dunia secara total. Ini berbeza dengan golongan jihad yang dipercayai mereka sebagai tidak bersungguh-sungguh, tidak sanggup meninggalkan dunia semasa berjuang.

Pengebom berani yang terkorban dikatakan telah mencapai tahap pengorbanan paling tinggi bagi Allah swt. dan ini membuatkan mereka percaya apa yang mereka bakal lakukan, adalah satu tindakan mulia melebihi apa saja yang dilakukan oleh umat Islam lain di seluruh dunia.

Apa yang dilakukan pada hari pengorbanan?

suicide bomber kanak kanak afghanistan

Selepas sasaran dikenalpasti dan individu yang akan terkorban dipilih, operasi akan dimulakan. Individu pelatih akan diberikan peluang untuk bertemu dengan keluarga sebelum memulakan operasi. Ada juga pelatih yang mengambil peluang untuk meninggalkan surat atau video, sebagai peringatan terakhir mereka kepada keluarga.

Mereka yang tidak terpilih kebiasaannya tidak akan diberitahu apa yang berlaku. Hanya ketua Taliban Pakistan, ketua kem latihan, individu pemandu pelatih yang digelarkan 'rahbar' dan pelatih sendiri yang tahu apa akan berlaku hari itu serta siapa sasarannya.

Selepas mengucapkan kata-kata terakhir pada kenalan di kem latihan, pelatih terpilih akan mandi, mencukur bulu ari-ari serta dibekalkan pakaian yang baru bagi memudahkan beliau berada di kalangan masyarakat luar. Setelah bersiap, setiap pelatih terpilih akan mula membaca ayat-ayat al-Quran sehinggalah tiba saat terakhir waktu peledak diletupkan, sebagai penguat diri.

Bergantung kepada situasi operasi, 'rahbar' akan membawa pelatih ke lokasi beberapa hari awal atau terus pada hari operasi. Dapat datang lebih awal membolehkan pelatih mengenali kawasan tersebut dengan lebih baik bagi memudahkan operasi namun semuanya bergantung kepada siapa sasaran yang dikehendaki di bom dan jadual yang akan dilakukan oleh sasaran mereka hari itu.

Tugas 'rahbar' pada ketika ini amat besar. Kebiasaannya, 'rahbar' yang dipilih adalah dari kalangan mereka yang rapat dengan pelatih. Ini untuk memastikan kejayaan operasi menjadi lebih tinggi kerana 'rahbar' perlu memastikan pelatih tidak gentar untuk meneruskan operasi.

Arahan terakhir bila waktu terbaik letupan perlu dilakukan akan diberikan oleh 'rahbar' pada hari operasi. Setiap pengebom disyaratkan perlu memastikan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dalam serangan sekiranya mereka mensasarkan pembunuhan secara rawak orang ramai.

Bagi sasaran orang berkedudukan seperti Pervez Musharraf yang sudah dua kali diserang pengebom berani mati, sasaran utama yang perlu dibunuh adalah individu tersebut semata-mata. Tidak ada syarat sama diletakkan pada jumlah minima kematian perlu berlaku di kalangan orang biasa.

Saat akhir menekan peledak letupan

pengebom berani mati persiapkan diri

Dalam usaha menguatkan semangat pengebom dalam mengorbankan diri mereka, pengebom digalakkan secara berulang-ulang membaca ayat Kursi serta ayat 9 surah Yasin yang membawa maksud : "Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding dan kami tutup mata mereka sehingga mereka tidak dapat melihat."

Ayat ini dipilih kerana kumpulan Taliban percaya ini akan melindungi pengebom daripada tangkapan serta membuatkan mereka sukar dilihat oleh penguatkuasa. Selain itu, kepercayaan penuh kepada ayat ini sudah pasti akan menguatkan semangat mereka serta menghilangkan rasa gentar yang mungkin dirasai pelatih.

Sekiranya seorang pengebom melihat ada kemungkinan operasi mereka bakal digagalkan atau kemungkinan ditangkap, arahan jelas telah diberikan pada mereka untuk terus meletupkan diri tak kira masa dan bila, bagi mengelak diri mereka ditangkap walaupun operasi masih belum dapat diselesaikan.

Walaupun kerap kedengaran kes-kes pengebom berani mati di Pakistan, hakikatnya banyak juga kes pengebom gagal meneruskan operasi akibat ditangkap, berdepan masalah dengan peledak, gagal mengebom pada masa yang betul atau berdepan tekanan emosi peribadi, sehingga mengakibatkan dia kaku tidak berupaya mengorbankan nyawanya.

Apa berlaku selepas misi berjaya diselesaikan?

kawasan lapang selepas berlaku insiden pengeboman

Untuk sebuah operasi yang berjaya diselesaikan dengan sempurna, pemimpin-pemimpin Taliban serta ketua kem latihan selalunya akan melawat waris keluarga yang tinggal, bagi menyampaikan berita, surat atau video terakhir pelatih. Mereka yang masih di kem latihan pula akan diberitahu tentang status pelatih yang telah terkorban, dipujuk untuk tidak bersedih kerana mereka perlu yakin dia telah selamat ke syurga.

Pada tahun 2009, pasukan keselamatan Pakistan mengumumkan kejayaan mereka menutup kem latihan pengebom berani mati yang diketuai oleh Qari Hussain di Selatan Waziristan. Nasib Qari Hussain pula selepas itu hidup dalam buruan. Beberapa cubaan menangkap beliau gagal dengan Qari Hussain berjaya melepaskan diri walaupun tinggal nyawa-nyawa ikan, memaksa kerajaan Pakistan menawarkan ganjaran RM2.4 juta kepada sesiapa saja yang berjaya menangkap atau membunuh Qari Hussain.

Selepas mendakwa dirinya dalang sebenar cubaan mengebom Times Square di New York pada tahun 2010 yang berakhir dengan kegagalan, Qari Hussain terus diburu. Melalui satu serangan menggunakan dron udara, Qari Hussain akhirnya berjaya dibunuh pada 7 Oktober 2010.

Kejayaan itu dilihat sebagai satu kejayaan besar kerajaan Pakistan dalam membanteras masalah kewujudan kem melatih pengebom berani mati di negara mereka, namun untuk setiap seorang ketua Taliban pasti akan ada pengganti baru yang naik.

Kerajaan Pakistan mengumumkan semenjak tahun 2017, jumlah serangan pengebom berani mati di negara mereka meningkat dengan tahun 2017 mencatatkan 23 kes, berbanding 17 pada tahun 2016 dan 18 pada tahun 2015. Seramai 1,387 orang dengan 585 orang awam, 555 anggota militan serta 247 orang pegawai pasukan keselamatan terkorban pada tahun 2017, atas serangan pengebom berani mati.

Ini membuktikan kem latihan melatih individu-individu yang menyelewengkan Allah swt., agama Islam dan ajaran Rasulullah saw. masih lagi aktif seperti biasa, mensasarkan remaja-remaja Pakistan yang bosan dengan hidup untuk terus diasuh agar berani mengorbankan nyawa, bagi mengejar 'syurga' ciptaan mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)