Kisah-kisah sains dunia sebenar kadang-kala amat menakutkan dan aneh lebih daripada Frankenstein. Tidak kira betapa tidak masuk akal sesuatu perkara itu, para saintis tetap akan cuba melakukannya dengan bantuan teknologi yang ada.
Tujuan eksperimen biasanya adalah untuk kajian dan pembangunan di masa hadapan namun terdapat beberapa eksperimen yang mampu membuatkan anda geleng kepala.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 7 eksperimen sains yang paling pelik dan menakutkan pernah dilakukan.
7. Kucing dijadikan telefon
Dua orang saintis, Ernest Glen Wever dan Charles W. Bray, telah melakukan eksperimen untuk mengubah seekor kucing menjadi telefon pada tahun 1929.
Mula-mula sekali mereka mengeluarkan secebis daripada tengkorak kucing itu dan kemudian meletakkan elektrod pada saraf pendengaran haiwan itu.
Elektrod ini disambungkan kepada pembesar suara dengan kabel berukuran 18 meter. Dengan ini, bunyi yang masil ke telinga kucing ini akan didengari di dalam bilik di mana pembesar suara tersebut diletakkan.
Keputusannya adalah mereka berjaya mencipta telefon kucing. Mereka menulis laporan bahawa "bunyi telah dihantar dengan baik. Arahan mudah, mengira, dan sebagainya mudah diterima. Malah, di bawah keadaan yang baik, sistem itu digunakan sebagai alat komunikasi antara operasi dan kalis bunyi."
Ernest dan Charles kemudiannya membunuh kucing tersebut dan mencuba sekali lagi. Dan dengan cara inilah bagaimana sains mengetahui bahawa kucing mati tidak boleh menjadi telefon tetapi kucing hidup boleh.
6. Khinzir glow-in-the-dark
Daripada ayam dan tumbuhan tembakau kepada tikus, banyak haiwan telah digunakan untuk dimutasi secara genetik untuk membuatkan ia bercahaya dalam kegelapan.
Namun yang paling paling aneh adalah khinzir glow-in-the-dark. Pada tahun 2006, Jabatan Sains dan Teknologi Haiwan Universiti Taiwan menambah maklumat genetik dari obor-obor ke embrio khinzir.
Hasilnya adalah tiga ekor khinzir yang bersinar dalam kegelapan dengan cahaya hijau pendarfluor. Tetapi bukan hanya kulit khinzir-khinzir ini sahaja yang bercahaya, malah para saintis berkata organ dalaman haiwan ini juga bercahaya!
5. Tikus bertelinga manusia
Vacanti Mouse adalah tikus makmal yang merupakan sebahagian daripada kajian pada tahun 1997, di mana tikus ini mempunyai apa yang kelihatan seperti telinga manusia yang ditanam di belakangnya.
Telinga pada tikus ini sebenarnya dibuat dari bingkai polimer biodegradable, berdasarkan telinga kanak-kanak berusia 3 tahun.
Sebaik sahaja bingkai tersebut dimasukkan ke bawah kulit tikus, tulang rawan dapat berkembang menjadi bentuk telinga menggunakan kondroit - sel rawan dari seekor lembu.
Ia dilakukan sebagai demonstrasi bagaimana untuk mengembangkan rawan yang dihasilkan oleh tisu.
Walau bagaimanapun, ia menjadi meme di era sebelum meme menjadi popular di mana ia diedarkan melalui e-mel rantaian dan perbualan ketika minum petang yang mana tidak dipercayai oleh orang pada ketika itu.
Eksperimen pelik ini sekali lagi dilakukan dalam kajian pada tahun 2013.
4. Program Holmesburg
Selama 20 tahun, seorang ahli dermatologi, Dr. Albert M. Kligman dari University of Pennsylvania menggunakan banduan penjara Philadelphia sebagai subjek ujian bagi pelbagai jenis produk.
Antara produk-produk tersebut termasuklah syampu, serbuk kaki, deodoran, dan kemudiannya, ubat yang mengubah minda, isotop radioaktif dan dioxin.
3. Projek QKHILLTOP
Pada tahun 1954, Projek CIA QKHILLTOP telah diwujudkan untuk mengkaji teknik brainwash Cina dan untuk membangunkan kaedah pemantauan yang berkesan.
Kebanyakan kajian awal dipercayai dilakukan oleh program pembelajaran ekologi manusia di Kolej Perubatan Cornell University, di bawah kendalian Dr. Harold Wolff.
Harold meminta agar CIA memberikan apa-apa sahaja maklumat yang mereka boleh perolehi mengenai ancaman, paksaan, pemenjaraan, penghinaan, penyeksaan, 'cuci otak,' 'psikiatri hitam,' dan hipnosis, atau mana-mana gabungannya, dengan atau tanpa agen kimia.
Menurut Wolff, pasukan penyelidikan akan memasang, menyusun, menganalisis dan mengasimilasikan maklumat ini dan kemudian akan menjalankan penyelidikan eksperimen yang direka untuk membangunkan teknik-teknik baru untuk penggunaan kecerdasan ofensif atau pertahanan.
Kemungkinan penggunaan dadah rahsia yang berguna dan pelbagai prosedur merosakkan otak akan sama-sama diuji mengikut urutan untuk menentukan kesan asas ke atas fungsi otak manusia dan pada suasana subjek.
Jika kajian melibatkan potensi bahaya kepada subjek, mereka mengharapkan CIA untuk menyediakan subjek yang sesuai dan tempat yang sepatutnya untuk melaksanakan eksperimen yang diperlukan.
2. Ujian renjatan elektrik Lauretta Bender terhadap kanak-kanak
Dr. Lauretta Bender yang bekerja di Hospital Creedmoor di New York menggunakan rawatan kejutan elektrik untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah sosial.
Kaedah Lauretta juga termasuk kanak-kanak ditemubual dan dianalisis di hadapan kumpulan yang ramai.
Walaupun kaedah Lauretta dihentikan apabila gejala schizophrenic mula muncul pada kanak-kanak yang telah menjalani rawatan kejutan elektrik ini, namun lebih daripada 100 kanak-kanak telah melalui dan mengalami penyeksaan dahsyat ini.
1. Project MKUltra
Projek MKUltra, kadang-kala disebut sebagai program kawalan minda CIA adalah nama kod yang diberikan kepada program percubaan mengenai subjek manusia yang kerap menyalahi undang-undang.
Ia direka dan dilaksanakan oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat. Eksperimen pada manusia ini bertujuan untuk mengenal pasti dan mengembangkan ubat-ubatan dan prosedur yang akan digunakan dalam soal siasat dan penyeksaan, bagi melemahkan individu untuk memaksa pengakuan melalui kawalan minda.
MKUltra menggunakan banyak metodologi untuk memanipulasi keadaan mental manusia dan mengubah fungsi otak, termasuk suntikan ubat-ubatan (terutama LSD) dan bahan kimia lain, hipnosis, kekurangan deria, pengasingan, penyalahgunaan lisan dan seksual, serta bentuk penyeksaan psikologi yang lain.
Skop Projek MKUltra adalah luas, dengan penyelidikan yang dijalankan di 80 institusi, termasuk 44 kolej dan universiti, serta hospital, penjara, dan syarikat farmaseutikal.
CIA mengendalikannya melalui institusi-institusi ini menggunakan organisasi-organisasi hadapan, walaupun kadang-kala pegawai tertinggi di institusi-institusi ini menyedari penglibatan oleh CIA.