peralatan zaman perang dunia pertama

Perang Dunia Pertama telah berlaku antara Julai 1914 dan November 1918. Perang yang berlaku dalam tempoh 4 tahun 3 bulan ini melibatkan berbelas buah negara yang terdiri daripada 2 kumpulan utama iaitu Kuasa Bersekutu dan Kuasa Tengah.

Pada artikel ini, kami bukanlah hendak menulis secara panjang lebar mengenai peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam Perang Dunia Pertama ini. Sebaliknya, kami ingin berkongsi ciptaan-ciptaan menarik yang tercetus dalam tempoh peperangan ini.

Lebih menarik, kesemua ciptaan ini masih wujud pada hari ini dan memberi manfaat kepada jutaan manusia di seluruh dunia. Mungkin anda sendiri juga tidak sedar barangan yang sedang anda guna atau pakai sebenarnya telah dicipta lebih 100 tahun lalu sewaktu era Perang Dunia Pertama.

1. Pad sanitari pakai buang

sejarah kotex

Semasa membuat lawatan ke Eropah pada tahun 1914, pihak Kimberly-Clark telah menemui bahan yang diperbuat dari pulpa kayu yang diproses yang lima kali lebih menyerap daripada kapas dan hanya memerlukan kos separuh daripadanya untuk dihasilkan. Akibat kekurangan bekalan kapas sewaktu Perang Dunia Pertama, syarikat itu memasarkan kapas baru ini yang dikenali sebagai "Cellucotton" dan menjualnya kepada tentera Amerika sebagai "dressing" untuk rawatan kecederaan. 

Menariknya, para jururawat yang bertugas pada waktu tersebut telah menggunakan Cellucotton ini sebagai pad sanitari. Selepas tamatnya perang, pihak Kimberly-Clark membeli kembali lebihan Cellucotton daripada pihak tentera dan mula melancarkan produk pad sanitari komersial yang diberi nama Kotex.

2. Uncang teh

sejarah uncang teh

Beg teh secara tidak sengaja dicipta pada tahun 1908 oleh pedagang New York, Thomas Sullivan. Sebagai gimik jualan, dia menghantar sampel daun tehnya dalam beg sutera kecil kepada pelanggan yang tersalah anggap ianya perlu dimasukkan ke dalam secangkir air panas.

Ianya berhasil. Orang ramai menyukai idea itu tetapi ada yang mengadu sutera menjadikan teh lambat direnyeh. Semasa peperangan, firma teh Dresden Teekanne menggunapakai idea itu dan mula menghasilkan uncang teh daripada kain untuk kegunaan askar di medan perang.

Pengeluaran komersil telah bermula di Jerman dan Amerika Syarikat pada tahun 1920-an dan penggunaan kain telah digantikan oleh kertas berlubang yang lebih murah dan efektif.

3. Bank darah

bank darah pertama

Sebelum Perang Dunia Pertama, para doktor jarang melakukan operasi pemindahan darah terhadap pesakit. Walau bagaimanapun, berikutan penemuan jenis darah yang berlainan dan keupayaan penyejukan untuk memanjangkan jangka hayat darah, Kapten Oswald Robertson, doktor Angkatan Tentera A.S. telah berunding dengan Tentera British untuk menubuhkan bank darah pertama pada tahun 1917

Pengwujudan bank darah ini adalah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mudah diperolehi untuk kegunaan anggota tentera yang tercedera. Untuk memudahkan penyimpanan, darah disimpan di ais sehingga 28 hari dan sodium sitrat ditambah untuk mengelakkan pembekuan.

4. Tisu Kleenex

sejarah kleenex

Kotex bukanlah satu-satunya produk ikonik yang dikembangkan oleh Kimberly-Clark dari Cellucotton. Selepas bereksperimen dengan versinya yang lebih nipis, syarikat itu melancarkannya pada tahun 1924 sebagai pembersih alat solek pakai buang di bawah jenama "Kleenex."

Lama kelamaan, Kimberly-Clark telah memasarkan pula Kleenex ini sebagai alternatif kepada sapu tangan untuk mengelakkan penyebaran bakteria. Sapu tangan pakai buang ini juga boleh dikenali sebagai tisu.

5. Keluli tahan karat

harry brearley

Keluli tahan karat (stainless steel) banyak digunakan pada masa kini pada bekas makanan, minuman dan sebagainya. Semasa perang, tentera British telah mencari aloi yang lebih baik untuk senjata mereka supaya kurang terdedah kepada gangguan dari haba dan geseran tembakan.

Seorang ahli metalurgi Inggeris Harry Brearley mendapati bahawa menambah kromium kepada besi lebur akan menghasilkan keluli yang tidak akan berkarat. Walaupun keluli tahan karat tidak digunakan untuk senjata api, penggunaannya semasa Perang Dunia Pertama untuk menghasilkan enjin pesawat terbang, pinggan, cawan dan instrumen perubatan telah meningkatkan popularitinya.

6. Zip

paten zip

Perkataan zip hanya wujud pada tahun 1923 dan diperkenalkan oleh B.F. Goodrich Company. Pada awalnya, ia dikenali sebagai "hookless fastener" dan ianya dicipta oleh Gideon Sundback semasa Perang Dunia Pertama.

Penghasilan zip secara besar-besaran bermula apabila terdapat permintaan untuk menggunakannya pada tali pinggang khas yang dipakai oleh tentera dan pelayar di laut yang mempunyai poket khas untuk menyimpan wang.

7. Jam tangan

sejarah jam tangan

Sebelum Perang Dunia Pertama, jam tangan hanya digunakan secara eksklusif oleh wanita sebagai aksesori fesyen. Kebanyakan lelaki menggunakan jam poket yang mempunyai rantai sebagai penjaga masa mereka. Namun, ia didapati tidak praktikal dalam peperangan.

Selepas membuktikan kepentingan memakai jam di pergelangan tangan dalam peperangan, jam tangan mendapat penerimaan secara umum sebagai aksesori fesyen lelaki.

Kredit:

  1. History.com
  2. The Sun


Hakcipta iluminasi.com (2017)