Oleh pada 24 Apr 2018 kategori

Dalam dunia yang serba moden dan canggih ini, keupayaan seseorang untuk membuang atau menghindarkan semua rasa jahat termasuk rasa cemburu, pentingkan diri, tabiat buruk, ego dan keinginan mengawal orang lain adalah tersangat jarang berlaku.

Individu berhati suci sangatlah sukar ditemui tak kiralah dalam khayalan atau realiti. Namun, disebalik semua ini, terdapat satu karekter komik yang mana boleh menjadi teladan kepada manusia zaman ini. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun ia hanyalah watak sebuah komik, namun kita boleh mengambil teladan yang ditunjukkan sebagai pedoman dalam menjadi orang yang lebih baik. Dan watak itu tak lain tak bukan adalah Goku dari Dragon Ball.

goku macho

Bagi yang mengikuti siri ini, personaliti Goku membuatkannya mudah didekati dan memiliki ramai kawan, malah menukarkan musuhnya kepada teman. Hatinya yang suci membolehkan Goku mempunyai kebolehan unik seperti menaiki awan guling yang dihadiahkan oleh Datuk Kame.

Walhal Datuk Kame sendiri tak boleh menaiki awan guling kerana hatinya kotor dan dipenuhi nafsu seks yang tinggi. iluminasi.com ingin kongsikan dengan anda 7 cara-cara untuk menjadi seorang yang lebih baik akhlak dan bersih hati mengikut cara Goku.

1 . Hapuskan segala kejahatan dan perbuatan mementingkan diri dalam hidup

nilai kasih sayang keluarga dalam dragon ball

Penaklukan kuasa atas sebab yang salah, wang atau ketagihan duniawi hanya akan merosakkan diri anda secara langsung atau tidak langsung. Butiran-butiran mengenai perkara yang anda perlu hapuskan tidak perlu disenaraikan di sini kerana ia tertulis dalam hati masing-masing.

Elakkan apa yang anda tahu anda wajib jauhi. Seperti Goku, dia tak perlukan wang untuk menjadi seorang yang bahagia dan gembira. Segala keperluan Goku ditambah kepadanya selagi dia masih menjadi dirinya sendiri.

Dalam erti kata lain, Goku mengajar kita supaya menjadi seorang yang bersyukur dengan apa yang ada, dan dengan itu kita akan berasa cukup, dan ditambahkan lagi rezeki.

2 . Sentiasa mendahulukan orang lain

nilai persahabatan dalam dragon ball

Hargai semua orang yang berada di sekeliling anda dan tolong mereka yang anda temui di setiap perjalan hidup anda yang memerlukan bantuan. Jangan ragu-ragu untuk membantu, seperti Goku.

Ini yang membuatkan Goku memiliki ramai kawan dan banyak pengetahuan daripada orang kaya yang tidak dikenali sehinggalah kepada orang yang miskin dan bijak. Ketika berlawan dengan Cell, Goku sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan makhluk bumi. Dia tidak pernah mengabaikan keselamatan orang lain berbanding dirinya sendiri.

3 . Sentiasa senyum dan tak kisah apa pendapat orang

goku mendidik hati yang bersih

Dalam Islam, senyum itu adalah satu bentuk sedekah. Adalah satu yang memalukan apabila Goku yang tidak mempunyai agama mempraktikkan perkara ini lebih daripada kita. Ramai di antara kita yang lupa untuk senyum disebabkan harta dan pangkat yang dimiliki, membuatkan kita berasa hebat dan sombong.

Sentiasa senyum seperti Goku, melainkan anda melihat orang yang tertekan kemurungan dan mereka yang memerlukan bantuan. Jangan pula senyum bila ada orang ditimpa musibah ya.

4. Cuba tenangkan fikiran dan berfikiran positif

son goku mengajar saya erti persahabatan

Tumpukan perhatian kepada apa yang anda lakukan ketika ini dan cuba untuk jangan fikirkan apa-apa yang negatif mengenainya. Dengan cara ini, ia membolehkan anda untuk tidak risaukan mengenai hari esok, masa sekarang dan juga masa lalu.

Seperti Goku, dia mempunyai fikiran yang tenang dan tenteram, melainkan apabila rakan-rakannya dibunuh. Apabila musuh yang jahat cuba untuk mencari pemikiran yang negatif dalam otak Goku, dia tidak berjaya kerana ia tidak berlaku dalam otak Goku.

Kali pertama Goku tidak dapat mengawal nafsu amarahnya adalah apabila rakan baik beliau iaitu Kurin dibunuh oleh Fliza. Pada waktu ini jugalah Goku bertukar menjadi Super Saiya yang tiada belas ihsan. 

5 . Tunjukan rasa sayang walaupun terhadap musuh ketat dan sentiasa berikan peluang

apa yang saya belajar dari goku

Ini adalah salah satu sunah Rasulullah S.A.W yang dipraktikkan oleh Goku sendiri. Rasulullah S.A.W adalah seorang yang berjiwa bersih dan sentiasa memaafkan walaupun ramai orang yang cuba menganiaya baginda.

Kebanyakan daripada karekter siri Dragon Ball adalah musuh kepada Goku pada satu ketika dahulu seperti Pikor dan Bezita.

Namun, akhirnya Goku dan mereka ini menjadi rakan karib dan sebagai balasan, musuh-musuh Goku telah membuatkan hidupnya lebih gembira dan bermakna sehingga sampai satu tahap di mana mereka sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan Goku.

6 . Merendah diri tanpa mengira status

tauladan yang baik son goku

Ini adalah antara masalah yang paling kritkal dalam masyarakat moden ketika ini di mana rasa rendah diri itu hampir pupus hanya disebabkan oleh status dan kedudukan seseorang.

Yang sebenarnya kita harus tidak membezakan antara satu sama lain kerana status. Kita harus mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh sesiapa sahaja tak kisah sama ada siapa individu itu atau apa yang ingin diperkatakan. Anda mungkin mempelajari sesuatu atau anda mungkin terlepas sesuatu yang penting.

Goku sentiasa merendah diri kepada semua orang walaupun dia adalah individu yang paling kuat dalam alam semesta. Personaliti ini sekali lagi membolehkan Goku mempunyai ramai kawan di seluruh dunia.

Walaupun Goku mengalahkan Majin Buu, namun beliau telah membantu Mr. Satan melonjakkan namanya dalam bidang politik dengan mengatakan bahawa Mr. Satan adalah penyelamat bumi.

7 . Sentiasa berniat baik

pengajaran dari karakter son goku

Dan akhir sekali, tak kisahlah apa pun tujuan dan sasaran anda dalam hidup, pastikan ia tidak dicemari oleh kehendak untuk melakukan kejahatan atau menggunakan orang lain untuk kepentingan sendiri.

Sebagai contoh, untuk menjadi kaya, anda menyalahgunakan status anda, dan sebagainya. Jangan biasakan diri anda dengan motif yang jahat dan ia seharusnya dihapuskan. Bagi Goku, motifnya yang sentiasa suci serta personalitinya yang baik membolehkannya mendapatkan apa sahaja yang diperlukan termasuklah kasih sayang, wang dan kesihatan.

Walaupun Goku adalah pahlawan yang paling kuat di alam semesta (dalam komiklah), dia tidak menggunakan kelebihan itu untuk kepentingan diri tetapi menggunakan kuasanya hanya untuk melindungi orang lain.

Goku sentiasa berusaha untuk menjadi lebih kuat walaupun dia sudah tergolong diantara yang terkuat kerana masih menganggap dirinya lemah dan beliau tahu masih ada yang lebih kuat di seluruh pelusuk alam semesta ini.

Jadilah seperti Goku!




Hakcipta iluminasi.com (2017)