Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) ialah sebuah badan berkanun yang diamanah untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang makanan dan pertanian dan industri asas tani di Malaysia.

Usaha penyelidikan MARDI selama hampir 40 tahun telah menghasilkan pelbagai varieti dan klon tanaman baru, baka ternakan baru dan kaedah pengurusannya. Antara tanaman klon yang dihasilkan MARDI adalah buah-buahan yang popular di Malaysia tetapi ramai yang masih tidak tahu. Berikut adalah beberapa jenis buah klon dan hibrid yang dihasilkan MARDI.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Rambutan - Mutiara Merah (AG28) dan Mutiara Wangi (GB44)

rambutan mutiara wangi

Sumber : animagrotech

Melalui penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 1981, MARDI telah berjaya menghasilkan dua jenis rambutan klon yang dinamakan sebagai Mutiara Merah (klon AG28) dan Mutiara Wangi (klon GB44).

Dua klon rambutan ini diyakini mampu menandingi klon rambutan lain yang berada di pasaran. Antara kelebihan pokok rambutan klon ini adalah ia berbuah lebih awal, berbuah lebat, saiz pokok yang rendang dan sederhana, mudah dibiakkan dan mempunyai musim yang lebih panjang.

rambutan mutiara merah

Sumber :animagrotech

Manakala dari segi buahnya pula, rambutan klon dari MARDI ini mempunyai isi yang lebih tebal, manis, mudah lekang, bersaiz besar, bertekstur rangup dan mempunyai aroma yang ketara.

Rambutan klon ini dihasilkan menggunakan teknik pendebungaan terbuka, diikuti dengan empat tahap cantasan berperingkat dan pembangunan Indeks Pemilihan Rambutan (IPR). (sumber)

2. Belimbing - Bintang Mas (MSTAR1)

belimbing bintang mas

Sumber :animhosnan

Bagi menghasilkan klon belimbing yang berkualiti, MARDI telah menjalankan aktiviti pembangunan pembaikbakaan sejak tahun 1986 lagi. MARDI mengambil inisiatif dengan menyediakan koleksi janaplasma yang mengumpulkan sebanyak 102 aksesi belimbing meliputi dalam dan luar negara.

MARDI telah menggunakan empat induk belimbing iaitu B10, B17, B11 dan B2 bagi menghasilkan hibrid belimbing baru yang dijalankan di MARDI Kluang. 12 Hibrid telah dipilih dari 6000 titisan hibrid F1 dan diuji di tiga lokasi berbeza iaitu MARDI Kluang, Sintok dan Jeram Pasu dari tahun 2007 sehingga 2015.

Melalui kaedah ini, mereka mengenalpasti satu hibrid berpotensi sebagai klon baru belimbing berkualiti yang sesuai untuk pasaran tempatan dan luar. Belimbing Bintang Mas ini sangat manis, tidak kelat, bertekstur rangup, matang lebih awal dan mempunyai warna yang lebih menarik. (sumber)

3. Betik - Eksotika 1 dan Eksotika 2

betik eksotika mardi

Betik adalah sejenis tanaman jenis buah-buahan tropika dari keluarga Caricaceae. Terdapat beberapa jenis betik yang ditanam di Malaysia iaitu benih tempatan dan beberapa jenis yang diimport dari luar negara.

Betik tempatan diperolehi dari pemilihan beberapa varieti seperti Betik Batu Arang, Morob, Subang 6, Taiping 3, Serdang 1 dan Sitiawan yang biasanya mempunyai isi berwarna merah. Manakala jenis betik import yang dibiak di Malaysia adalah seperti Sunrise Solo dan Honey Dew yang mempunyai isi berwarna kekuning-kuningan.

Hasil daripada kajian yang dilakukan MARDI, mereka telah mengeluarkan betik jenis Eksotika 1 dan Eksotika 2 yang merupakan jenis kacukan betik berkualiti tinggi. (sumber)

4. Ciku - Ciku Mega (C19)

ciku mega

Ciku atau nama saintifiknya Manilkara zapotaadalah sejenis buah-buahan dari keluarga Sapotaceae. Di Malaysia, terdapat kira-kira 16 jenis klon buah ciku yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia sejak tahun 1937.

Beberapa klon ciku popular yang ditanam di Malaysia adalah seperti Ciku Betawi (C61), Ciku Jantung (C62) dan Ciku Subang (C63). Terdapat juga beberapa jenis klon ciku yang masih belum didaftarkan tetapi semakin popular dan mendapat permintaan tinggi.

Antaranya adalah klon ciku yang dipopularkan oleh MARDI iaitu Ciku Mega (C19). Ciku Mega berpotensi menghasilkan buah ciku yang besar berbanding klon-klon ciku yang lain.

Purata berat Ciku Mega hampir tiga kali ganda berbanding Ciku Subang dan Ciku Jantung iaitu sekitar 400 gram sebiji. Namun, Ciku Mega masih belum ditanam secara meluas kerana kesukaran mendapatkan anak benih yang tulin dan memerlukan teknologi khusus untuk penanamannya. (sumber)

5. Pisang - Abu Baru, Embun Baru dan Gold Finger

pisang embun

Melalui penyelidikan yang dilakukan selama lapan tahun, MARDI akhirnya berjaya menghasilkan dua jenis pisang hibrid iaitu jenis MB1 dan MB2. Pisang biasanya sering diserang sejenis kulat iaitu Fusarium. Walau bagaimanapun, MARDI telah menghasilkan tiga jenis klon pisang daripada jenis biasa tetapi mempunyai ciri-ciri rintangan penyakit yang disebabkan oleh Fusarium.

Jenis-jenis klon pisang yang dihasilkan MARDI adalah Pisang Abu Baru, Pisang Embun Baru dan Pisang Gold Finger. Selain tahan penyakit, klon pisang MARDI juga berbuah dalam masa yang lebih singkat dan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding pisang biasa.

Pisang klon dan hibrid baru ini semakin mendapat permintaan pasaran. Cara yang mudah untuk mendapatkan anak benih dengan cepat dan berganda besar jumlahnya adalah melalui kaedah "kultur tisu".

Setakat ini, pisang hibrid baru yang dihasilkan MARDI adalah khusus untuk tujuan pemprosesan seperti membuat kerepek sahaja. Rasanya yang agak kemasaman kurang sesuai dimakan begitu sahaja. (Sumber)

6. Durian - MDUR 78, 79, 88

durian mardi

Durian adalah buah yang paling digemari di Malaysia kerana isinya yang enak, manis dan berlemak. Maka, tidak hairanlah jika negara China sahaja memesan sekitar 1,000 tan "Raja Buah" setiap bulan ketika tibanya musim durian.

Di Malaysia sahaja sudah mempunyai 204 varieti durian yang sudah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. 12 daripada varieti itu mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri.

Dalam persaingan untuk menghasilkan baka terbaik, MARDI juga turut mempunyai kualiti klon durian terbaik tempatan. Malah, klon durian MARDI iaitu MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 dilihat mempunyai nilai komersial setara dengan raja kunyit atau musang king.

Baka MDUR 78 dan MDUR 79 sudah ada sejak 1991 lagi dan MDUR 88 pula diperkenalkan pada 1992 menerusi kacukan induk D10 dan D24. Isi durian MDUR 88 yang berwarna kuning keemasan, bertekstur halus, pejal dan rasa lemak manis membuatkan ia disukai ramai. (sumber)

7. Jagung - Hibrimas

jagung hibrimas

Jagung manis merupakan tanaman daripada keluarga Gramineae yang berasal dari Amerika Tengah dan telah diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun 70-an. Secara umumnya, jagung mempunyai nilai potensi yang lebih tinggi berbanding tanaman kontan lain (kacang tanah, ubi kayu, ubi keladi dan tebu).

Di Malaysia, kebanyakan petani menggunakan benih jagung hibrid dari Taiwan dan Thailand. Walaupun kualitinya lebih baik berbanding jagung tempatan tetapi harganya mahal dan memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

Pada tahun 2008, MARDI bersama Green World Genetics (GWG) dan Tropical Fruit Network (TFNet) telah memulakan satu kajian untuk menghasilkan benih jagung manis tempatan berkualiti tinggi. Mereka telah menilai 26 hibrid jagung manis tempatan dan luar negara dan memilih lima yang terbaik.

Akhirnya, MARDI berjaya menghasilkan satu hibrid jagung baru iaitu Hibrimas yang mempunyai hasil lebih tinggi berbanding jagung manis tempatan. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)