Oleh pada 02 Apr 2017 kategori

iluminasi mati ajal takaful 247Kita semua sedang mati.

Tak kiralah kita sakit atau sihat walafiat, kita semua sedang menuju mati. Ini kerana kematian itu tidak boleh dijangka bila akan berlaku. Mungkin kita kemalangan kereta, mungkin sedang berkebun di depan rumah ada lipan gigit kaki membuatkan kita sakit lalu meninggal. Mungkin juga ketika sedang minum kopi di kedai, kita rasa semput lalu jatuh terkulai atas lantai.

Salah satu budaya masyarakat kita yang tak berapa aku gemari adalah takut nak bercakap soal kematian, kerana risau itu akan mengundang benda buruk. Tolonglah buang stigma tersebut dan lontarkan jauh-jauh. Mulalah ingatkan diri kita berkaitan kematian kerana sebagai umat Islam (khasnya) kita sepatutnya selalu memperingatkan diri kita berkenaan kematian kerana kematian adalah pengakhiran kepada segala-galanya yang mampu kita buat di dunia.

Walaupun begitu, ini tidak bermaksud yang kita patut membiarkan sahaja kematian datang tanpa perlu bersedia. Jadi ini adalah tips-tips yang boleh membantu kita semua supaya lebih bersedia untuk menghadapi kematian diri kita sendiri dari segi benda-benda praktikal yang perlu kita lakukan.

1. Simpankan duit belanja urus jenazah

Pertama sekali, apa yang kita perlu buat adalah sediakan wang untuk uruskan jenazah kita. Amaun yang diperlukan sekitar RM1200-RM3000. Tahukah anda berapa belanja untuk kain kafan sahaja? Mencecah ratusan ringgit. Untuk sediakan lubang pusara berapa upah penggali? Sekitar RM200-RM400. Itu belum masuk belanja untuk kenduri dan upah-upah lain yang besar kemungkinan diperlukan.

Seeloknya, kumpul amaun yang dinyatakan di atas dan kemudian berikan pada pasangan jika anda sudah berkahwin atau ibu bapa anda. Katakan pada mereka, ini duit untuk belanja uruskan jenazah kita. Gunakan supaya kita tak terbeban dengan tuntutan upah selepas kita selamat dikebumikan.

2. Beritahu orang yang anda percaya mengenai akaun bank dan akaun pelaburan anda

Kedua, pastikan anda beritahu kepada pasangan atau ibu bapa anda, mungkin juga saudara atau rakan anda apa akaun bank yang anda ada dan juga pelaburan anda. Ada berbilion-bilion ringgit aset tidak bertuntut setiap tahun oleh kerana tuan punya meninggal dan tiada waris datang menuntut. Untuk mengelakkan masalah ini, mungkin lebih baik jika anda kongsikan nombor pin anda bersama dengan mereka yang boleh dipercayai.

Ini bagus untuk membantu jika mereka memerlukan wang tunai untuk tujuan nombor 1 di atas atau untuk pengurusan kenduri kematian anda. Itupun, kalau anda ada duit dalam bank.

3. Buat wasiat secara professional

Zaman sekarang, dah banyak perkhidmatan pembuat wasiat secara professional. Lantik seorang, yurannya sekitar RM400 ke RM500 untuk pemprosesan satu wasiat. Nyatakan wasiat anda yang anda mahu buatkan. Senaraikan kesemua aset anda, akaun anda, harta anda di dalamnya.

iluminasi mati ajal takaful ptptn3

4. Sertai takaful

Takaful adalah satu cara baik untuk meninggalkan aset kepada waris jika berlaku kematian kepada anda. Ada banyak pilihan untuk anda meninggalkan aset menerusi pampasan kematian jadi sebaiknya cuba sertai skim takaful dan lantik seorang ejen yang berkebolehan dalam menguruskan hal pampasan anda. Perbelanjaan yang diperlukan tidak banyak, hanya menerusi caruman RM100 sebulan anda boleh meninggalkan pampasan sekitar RM200 ribu untuk waris anda.

5. Kongsi kata laluan komputer dan telefon

Zaman sekarang, semua rahsia kita ada dalam telefon ataupun komputer. Memang berat hati kita jika perlu berkongsi apatah lagi kalau ada perkara yang kita hendak sembunyikan. Walaupun begitu, agak sukar untuk waris atau keluarga mengakses peranti anda jika mereka sendiri tidak mengetahui apa kata laluan anda. Apa yang mampu dibuat? Sudah ada banyak kes dilaporkan di dalam internet yang pihak waris cuba mendapatkan data yang mereka perlukan seperti imej percutian keluarga, tetapi gagal kerana wujudnya kata laluan. Kata laluan pula, memerlukan akses kepada emel atau telefon untuk ditukar.

Adakah lebih baik untuk waris padamkan saja komputer dan telefon yang terkandung semua data yang besar kemungkinan, mahu disimpan untuk dijadikan peringatan?

6. Pesan pada rakan berkenaan media sosial kita

"Jika aku mati, tolong inform semua akaun media sosial aku yang aku dah mati." Perkara ini memang boleh dilakukan jika anda adalah pengguna kepada akaun-akaun media sosial yang banyak. Tidak elok rasanya jika akaun kita terus aktif tetapi apa yang kita tinggalkan mungkin perkara-perkara yang tidak berapa baik tentang kita seperti gambar kita sebelum kita 'berhijrah' atau mungkin juga bukti pergaduhan kita dengan pihak-pihak tertentu.

iluminasi mati ajal takaful ptptn2

7. Terangkan kepada waris mengenai aset anda

Ini adalah satu perkara sukar sebenarnya. Hendak memaklumkan kepada waris anda siapa yang akan dapat aset anda nanti jika anda meninggal dunia. Pasti akan ada yang mencebik muka, bermasam muka, minta lebih dan bertanya kenapa pula pilihan bukan dia.

Tetapi ini sesuatu yang perlu dilakukan dan sebenarnya lebih baik dilakukan (pada saya) selepas anda menyiapkan wasiat kerana kita mahu berlaku tegas dalam hal seperti ini. Jika wasiat belum ditetapkan, besar kemungkinan agak sukar untuk kita membuat keputusan. Dengan menyiapkan wasiat terlebih dahulu, anda akan dapat menerangkan yang semua ini sudah didokumenkan secara rasmi, penerangan itu hanya untuk menerangkan perkara yang rasmi.

8. Senaraikan hutang anda

Anda pasti ada hutang. Jika tiada, tahniah!

Kepada yang ada berhutang dengan pihak bank, pihak PTPTN, pihak koperasi atau mungkin juga meminjam dengan along, beritahu kepada waris dan senaraikan. Kita tidak mahu kejadian buruk berlaku seperti waris terkejut mendapat surat kutipan yang dia tak pernah ketahui ada atau lebih teruk, along mula mengganggu waris kita selepas kematian kita.

Begitulah serba sedikit tips dan peringatan mengenai beberapa perkara yang melibatkan kematian kita. Diharap tips ini dapat membantu mempersiapkan diri kita untuk waris menghadapi kematian kita. Apa yang jelas, jika kita terlalu banyak perkara yang kita sembunyikan, agak sukar untuk kita melaksanakan tips-tips yang diberikan ini. Jika sesetengah tips yang diberikan ini membuatkan anda takut, itu mungkin menunjukkan anda menyimpan terlalu banyak rahsia yang anda tidak mahu diketahui oleh orang lain, malahan waris anda juga. Itu pasti akan menyukarkan mereka yang telah anda tinggalkan.


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)