Beg tangan dan kasut tumit tinggi merupakan dua barangan yang sangat sinonim dengan golongan wanita. Namun, tahukah anda bahawa kedua barangan ini serta beberapa lagi barangan wanita pada masa kini asalnya dicipta untuk golongan lelaki?

TIdak dapat dipastikan dengan jelas bagaimanakah pertukaran ini boleh berlaku tetapi adakalanya ia terjadi kerana barangan yang dicipta itu lebih sesuai digunakan orang wanita berbanding lelaki. Selain itu, ada juga barangan yang lebih mendapat permintaan daripada golongan wanita menyebabkan penjual lebih memfokuskan pemasaran terhadap golongan wanita sahaja.

1. Cangkuk bra

cangkuk bra

Mark Twain, seorang penulis terkenal tidak gemar memakai "suspenders". Suspender merupakan tali yang akan digantung pada bahu bagi memastikan seluar tidak terlondeh atau terlucut ke bawah. Maka, beliau telah mencipta pencangkuk besi yang boleh mengetatkan seluar di bahagian pinggang.

Pencangkuk besi yang diciptanya itu sama dengan apa yang biasa terdapat pada bra wanita. Ciptaannya ini juga telah dipatenkan pada tahun December 19, 1871. Pencangkuk ini asalnya digunakan untuk baju, seluar, seluar dalam dan korset sebelum akhirnya menjadi elemen wajib yang ada pada setiap bra.

2. Kasut tumit tinggi

sejarah kasut tumit tinggi

Pernah tengok orang lelaki berkasut tumit tinggi seperti wanita? Tahukah anda rekaan kasut tumit tinggi yang sinonim dengan wanita ini asalnya dicipta untuk lelaki. Hanyalah pada abad ke 17 golongan wanita mula menggunakan kasut tumit tinggi ini.

Rekaan kasut sebegini pertama kali dicipta untuk askar Parsi pada abad ke 10. Rekaan sebegini membolehkan kasut mereka memijak tempat pemijak (yang dipasang pada kuda) dengan lebih kukuh, seterusnya membolehkan mereka memanah ataupun melakukan serangan terhadap musuh ketika menunggang kuda.

Golongan wanita mula memakai kasut bertumit tinggi kerana rekaan kasut sebegini akan menjadikan kaki mereka kelihatan lebih kecil. Pada waktu tersebut, kebanyakan wanita memakai skirt panjang yang sampai ke pergelangan kaki mereka. Oleh itu, memakai kasut bertumit tinggi akan menjadikan bahagian kaki hadapan mereka tersorok daripada pandangan ketika berdiri berhadapan dengan orang lain.

3. Beg tangan

sejarah beg tangan

Wanita dan beg tangan sememangnya tidak boleh dipisahkan. Ianya umpama talian hayat bagi seseorang wanita yang mengandungi segala macam barangan keperluan mereka. Namun, jangan terkejut kerana asalnya beg tangan dicipta untuk orang lelaki zaman dahulu memandangkan pakaian mereka tidak mempunyai poket untuk meletakkan wang.

Konsep beg tangan moden yang dilihat pada masa kini wujud pada awal 1900-an. Pereka fesyen pada waktu itu menggunakan rekabentuk beg tangan lelaki tetapi diubah suai sedikit seperti penambahan tali dan beberapa  poket dalaman bagi menjadikannya lebih praktikal.

Namun, pada masa kini kita boleh lihat semakin ramai golongan lelaki mula menggunakan kembali beg tangan bagi meletakkan gajet seperti telefon pintar dan tablet. Malah, penggunaan beg tangan bagi orang lelaki juga diterima luas sebagai fesyen pada masa kini.

4. Pad pakai buang

sejarah kotex

Pad haid yang boleh didapati secara meluas pada masa kini hanyalah dicipta semasa Perang Dunia Pertama. Salah seorang pekerja syarikat Kimberly-Clark Corporation menemui sejenis kapas (kemudiannya diberi nama Cellucotton) yang mempunyai kadar resapan 5 kali ganda lebih baik daripada kain kapas biasa dan jauh lebih murah.

Cellucotton kemudiannya dijadikan bahan utama membuat kain pembalut luka (dressing) bagi askar yang tercedera. Walau bagaimanapun, para jururawat wanita kemudiannya mula merasakan bahawa bahan Cellucotton ini sangat sesuai sebagai pelapik bagi meresap darah haid mereka.

Namun, pihak Kimberly-Clark tidak pernah menghiraukan akan perkara ini sehinggalah permintaan terhadap Cellucotton turun mendadak selepas perang. Dengan melakukan sedikit perubahan pada rekabentuknya, maka pada tahun 1920, pad pakai buang pertama dunia telah dijual dengan menggunakan nama Kotex.

5. Stocking

sejarah stocking 116

Jangan keliru antara stocking dan stokin (yang biasa dipakai sebelum memakai kasut). Stocking adalah sejenis pakai ketat (seluar) yang menutupi sebahagian besar bahagian kaki tetapi tidak bercantum dengan seluar dalam. Walaupun ia lebih sinonim dengan wanita, stocking hanya mula dipakai wanita pada abad ke 18.

Kaum lelaki sebenarnya sudah menggunakan stocking seawal abad ke 9 lagi. Golongan atasan atau bangsawan biasanya memakai stocking putih atau berwarna manakala rakyat biasa hanya memakai stocking yang berwarna hitam. Abad ke 19 menyaksikan orang lelaki tidak lagi menggunakannya dan hanya digunakan oleh golongan wanita.

6. Skinny jeans

sejarah jeans

Sejarah skinny jeans amat berkait rapat dengan sejarah seluar jeans itu sendiri. Seluar jeans pertama dipercayai dicipta oleh Jacob Davis. Beliau merupakan seorang tukang jahit. Pada ketika itu merupakan zaman "Gold Rush" di California dimana ramai lelaki bekerja sebagai pelombong.

Terdapat permintaan tinggi terhadap seluar tahan lasak dan beliau telah membeli kain tahan lasak (kini dikenali sebagai jeans) daripada Levi Strauss (pengasas jenama Levi's) dan mula menjual seluar tersebut. Ternyata ia mendapat permintaan yang sangat banyak dan kedua individu ini telah bekerjasama mempatenkan dan menjual seluar ini secara besar-besaran.

Jeans pada awalnya hanya dipakai orang lelaki sehinggalah pada tahun 1930 apabila syarikat Levi Strauss & Co mencipta jenama "Lady Levi’s® Lot 701", sebuah jenama jeans yang dipasarkan untuk golongan wanita. Potongan seluar ini juga berlainan, mengikut bentuk potongan kaki wanita.

7. Warna merah jambu

lelaki dan merah jambu

Yang ini bukanlah sejenis barangan, tetapi sekadar warna. Secara umumnya, warna merah jambu pada masa kini dikaitkan dengan wanita. Disebabkan itulah, bayi perempuan biasanya dipakai dengan pakaian berwarna merah jambu. Namun, tahukah anda warna merah jambu dahulu sebenarnya lebih sinonim dengan orang lelaki?

Pertukaran sebenar berlaku pada tahun 1960-an ketika penyokong pergerakan pembebasan perempuan mula memakaikan anak-anak perempuan mereka dengan pakaian merah jambu atas kepercayaan yang sifat anak perempuan mereka boleh dipengaruhi oleh jenis (warna) pakaian yang mereka pakai.

Sementara itu, lelaki perlahan-lahan beralih dari merah jambu ke biru. Bermula sekitar tahun 1985, industri pakaian mula memasarkan pakaian merah jambu kepada perempuan dan biru untuk lelaki. Tidak ada sebab yang khusus mengenai perkara ini tetapi mereka hanya mahu memaksa ibu bapa membeli pakaian baru dan bukannya berkongsi pakaian antara bayi dengan jantina yang berbeza.

Kredit:

  1. Snopes
  2. The Atlantic
  3. The Guardian
  4. Smithsonian Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)