larangan penyedut minuman wilayah persekutuan

Wilayah Persekutuan baharu saja mengumumkan bermula pada 1 Januari 2019, penggunaan penyedut minuman plastik sedia ada yang sangat popular digunakan akan dilarang penggunaannya.

Adakah anda salah seorang yang akan benar-benar terkesan dengan larangan ini? Kami pasti bagi mereka yang mengalami masalah ekoran larangan ini dan menetap atau berkhidmat di mana-mana Wilayah Persekutuan, besar kemungkinan anda akan menghadapi kesulitan.

Di sini kami senaraikan kepada anda lima alternatif lain yang mampu membantu anda menangani masalah tersebut, kerana siapa tak sayangkan alam sekitar daripada terus tercemar.

1. Penyedut kertas

penyedut minuman straw kertas

Faedah terbesar penggunaan penyedut kertas adalah ianya mudah dilupuskan. Selain itu rupanya juga mampu dihasilkan dengan lebih cantik, kerana kertas lebih mudah untuk dicetak corak yang diingini. Harganya juga berpatutanlah juga.

Dalam ujian yang dijalankan, penyedut kertas mampu bertahan lebih empat jam sekiranya direndamkan dalam air. Jadi besar kemungkinan, penyedut anda mampu kekal bentuknya bagi anda menghabiskan minuman kegemaran anda.

2. Penyedut besi

penyedut minuman straw besi

Bagi mereka yang benar-benar mengamalkan pengambilan air dengan penyedut, pastikan anda memiliki penyedut yang diperbuat daripada besi. Rekaannya walaupun terhad warnanya berbanding kertas, ketahanannya sudah pastilah tidak boleh dipertikaikan.

Disarankan untuk setiap individu memiliki sekurang-kurangnya satu penyedut besi yang mampu dibawa ke mana-mana. Walau demikian, ekoran bahan pembuatannya yang diperbuat daripada besi - memang mustahil anda mampu menduga sama ada terdapat kekotoran terlekat di dalamnya jadi pastikan anda rajin mencucinya.

3. Penyedut kaca

penyedut minuman straw kaca

Bagi mereka yang mahu mempunyai kelainan berbanding alternatif besi, kaca patut menjadi pilihan anda. Ini kerana penyedut kaca boleh datang dalam pelbagai warna dan lebih selesa digunakan berbanding besi - untuk sesetengah individu.

Walaupun begitu, bahannya tetap kaca jadi penjagaan semasa penggunaannya perlu diberikan perhatian lebih terutamanya semasa membawanya ke mana-mana.

4. Penyedut buluh

penyedut minuman straw buluh

Jika anda merasakan anda mahu kelihatan old-school, penyedut buluh patut menjadi pilihan anda. Memang dibuat daripada batang buluh yang berdiameter kecil jadi saiz penyedut di antara satu sama lain mungkin berlainan. Selain itu, bentuknya juga berbeza-beza.

Bagaimanapun, kelemahan ketara penyedut buluh adalah bentuknya tidak boleh diubah. Sekiranya anda suka penyedut yang melengkung di bahagian atas untuk memudahkan sedutan, mungkin penyedut buluh bukan untuk anda. Selain itu, penyedut buluh juga mampu membuatkan anda rasa seperti seekor beruang panda.

5. Penyedut tembaga

penyedut minuman straw tembaga

Dengan warna asli tembaga, sesiapa yang menggunakan penyedut ini sudah pastilah akan menarik perhatian ramai serta kelihatan cool. Bahan tembaga juga tahan lama selain daripada tahan lasak.

Namun bagi mereka yang meminati warna penyedut tembaga, anda perlu ingat tembaga merupakan pengalir haba yang sangat baik. Jadi pastikan anda berhati-hati semasa hendak minum kerana besar kemungkinan suhu minuman anda akan sangat terasa pada bibir, tak kiralah air panas atau sejuk. Kita tidak mahu ada kejadian bibir melecur kerana penyedut berlaku.

6. Penyedut silikon

penyedut minuman straw silikon

Salah satu alternatif baru yang semakin mendapat tempat adalah penyedut yang diperbuat daripada silikon. Penyedut silikon ini mempunyai beberapa faedah besar berbanding bahan penyedut lain dalam senarai ini.

Yang pertama, ia mudah dibentuk. Warnanya juga pelbagai. Faedah paling besar penyedut silikon? Oleh kerana diperbuat daripada silikon, penyedut itu akan kekal berada pada suhu bilik walaupun direndam dalam air panas atau sejuk jadi masalah bibir melecur tidak akan berlaku. Selain itu, bahannya yang lembut memudahkan sedutan berbanding alternatif lain dalam senarai ini yang keras serta tidak mudah lentur.

7. Guna semula penyedut plastik sedia ada

milo ais mamak kaw

Apakah kelemahan kesemua alternatif penyedut yang kami senaraikan di atas? Anda perlu mengeluarkan belanja untuk mendapatkannya.

Jadi apa kata anda ke kedai, beli sahaja sebungkus penyedut plastik yang masih dijual dan simpan buat stok. Gunakan satu batang selagi boleh diguna dan gantikannya dengan penyedut lain, seandainya rosak atau tercicir. Ini adalah alternatif terbaik kepada mereka yang tak mahu mengeluarkan belanja, macam penulis yang memang tinggal dalam kawasan Wilayah Persekutuan.

Penulis merasakan sekiranya penyedut plastik sedia ada mengambil masa beratus tahun untuk dilupuskan dengan sempurna, besar kemungkinan penyedut itu mampu tahan sekiranya dijaga dengan baik setiap masa.


tags : , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)