vitruvian man

Tubuh manusia adalah sebuah "mesin" yang sangat menakjubkan.

Anatomi manusia adalah hasil daripada penyesuaian kita terhadap persekitaran bumi yang berubah-ubah selama ribuan tahun, yang menjadikan kita menjadi salah satu bentuk kehidupan yang paling kompleks.

Disebabkan wujudnya teknologi yang semakin canggih, kita sentiasa dapat meneroka tubuh manusia dengan lebih mendalam.

Dan hasilnya, kita menemui bermacam-macam perkara di sebalik semua elemen yang terkandung dalam badan manusia.

iluminasi.com kongsikan 6 perkara wujud dalam manusia yang anda tak pernah tahu.

1. Alkohol

terdapat alkohol dalam badan manusia

Sekitar 36 bilion liter alkohol diminum setiap tahun di seluruh dunia, jumlah yang cukup untuk mengisi lebih daripada 14,000 kolam Olimpik.

Oleh itu, sangat jelas bahawa alkohol dan manusia berkait rapat dengan satu sama lain. Malah, terdapat kaitan bahawa tubuh manusia menghasilkan alkohol nya sendiri sepanjang masa.

Etanol adalah sejenis alkohol yang dihasilkan secara semulajadi, yang dihasilkan selepas penapaian bahan organik dan merupakan alkohol yang terkandung dalam minuman keras.

Dalam tubuh manusia, populasi bakteria di dalam mulut dan usus mampu menghasilkan etanol secara biologi.

Untuk berbuat demikian, bakteria dan yis menyebabkan penapaian karbohidrat seperti gula dalam saluran perut dan usus.

Proses ini menghasilkan sejumlah kecil etanol, yang kemudiannya masuk ke dalam aliran darah. Menurut beberapa kajian, orang yang sihat dan tidak mabuk umumnya mempunyai 0.8 miligram etanol endogen bagi setiap liter darah.

Metanol, sejenis alkohol lain, juga dikesan dalam darah manusia dalam kepekatan 0.6 miligram seliter. Nasib baik jumlah ini adalah terlalu kecil untuk dikesan di dalam darah yang boleh menyebabkan masalah undang-undang.

2. Ozon

terdapat ozon dalam badan manusia

Ozon adalah bahan yang tidak stabil. Terdiri daripada tiga atom oksigen, ozon cenderung untuk hancur menjadi molekul yang lebih halus dalam beberapa minit.

Oleh itu, gas ozon di atmosfera mesti diisi semula secara berterusan dan akan berkurang sehingga hampir lenyap jika tidak dihasilkan oleh sumber penghasil ozon tertentu.

Sinaran ultraviolet, ribut petir dan aktiviti manusia menghasilkan sebahagian besar ozon di Bumi.

Malah, badan kita juga menyumbang kepada penghasilan ozon ini. 

Hampir dua dekad yang lalu, saintis mendapati bahawa sistem imun badan manusia menghasilkan ozon sebagai cara untuk melawan ancaman biologi.

Tubuh kita mengandungi sejenis sel yang dipanggil neutrofil iaitu sel darah putih yang disalut dengan antibodi, yang bergerak melalui badan untuk menghapuskan bakteria dan kulat.

Untuk melakukan tugas ini, neutrofil memberikan antibodinya molekul oksigen bertenaga tinggi. Antibodi ini kemudiannya mengubah molekul tersebut menjadi ozon, yang berguna untuk menghapuskan bakteria yang menceroboh sistem badan manusia.

3. Sianida

terdapat sianida dalam badan manusia

Bagi manusia, sianida adalah sebatian kimia yang sangat toksik. Ia mampu membunuh dalam masa yang singkat dengan menghalang pernafasan sel dalam organisma.

Tahap toksik sianida sangat terbukti dan digunakan sebagai senjata kimia untuk membunuh secara senyap.

Oleh sebab itu, adalah mengejutkan untuk kita mengetahui bahawa sianida wujud secara semulajadi dalam badan manusia.

Setiap hari, sianida memasuki badan kita dalam kepekatan yang berbeza. Ini kerana bahan kimia ini hadir dalam udara, air dan makanan yang kita makan.

Malah, makanan seperti epal dan bayam adalah pembawa sianida. Tetapi anda tak perlu panik, kerana kepekatan sedemikian adalah sangat kecil, sekitar beberapa mikrogram (1 mikrogram bersamaan dengan satu persejuta gram).

Sebaliknya, 0.1 gram sianida diperlukan untuk membunuh seseorang yang mempunyai berat 70 kilogram. 

Selain itu, sianida juga dihasilkan oleh badan kita. Sebagai contoh, proses kimia dalam air liur membawa kepada penciptaan gas sianida di dalam tekak kita, yang kemudiannya dikeluarkan melalui pernafasan.

Dianggarkan bahawa, tubuh seseorang yang sihat boleh mengandungi sehingga 50 mikrogram sianida setiap 100 gram tisu dalam masa-masa tertentu.

Akan tetapi, sebatian ini tidak terkumpul di dalam badan kita dan kebanyakannya diproses di hati lalu dikeluarkan melalui air kencing. 

Sebahagian yang lain ditukarkan kepada karbon dioksida oleh paru-paru kita, dan seperti gas sianida yang dinyatakan di atas, ia dikeluarkan dengan setiap proses pernafasan.

4. Unsur radioaktif

terdapat uranium dalam tubuh manusia

Apa-apa jenis radiasi yang berlebihan adalah berbahaya kepada manusia. Sebagai contoh, walaupun radiasi ultraviolet tidak membakar kulit kita, namun radiasi yang terdapat di sekeliling kita mendorong kita untuk mengalami kanser.

Tetapi tahukah anda bahawa beberapa bahan radioaktif terkandung dalam tubuh badan kita?

Unsur radioaktif yang terdapat di dalam badan kita adalah torium, logam berat yang digunakan dalam alat elektronik.

Walaupun kita menelan sejumlah kecil torium setiap hari melalui makanan dan air, ia biasanya meninggalkan tubuh kita dalam masa beberapa hari.

Satu lagi bahan yang paling terkenal yang terkandung dalam badan kita adalah uranium. Uranium adalah unsur yang sangat berat dan sangat radioaktif yang wujud secara semulajadi di seluruh dunia.

Dan seperti yang anda tahu, penggunaannya yang terbesar adalah dalam reaktor nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran.

Kajian menunjukkan bahawa purata orang dewasa mengandungi 22 mikrogram uranium dalam badan mereka dan boleh menelan sekitar 5 mikrogram setiap hari.

Sumber terbesar pengambilan uranium ialah makanan, terutamanya sayur-sayuran yang tidak dicuci dan air. Sebaik sahaja memasuki tubuh manusia, uranium dapat memasuki aliran darah dan tersimpan dalam pelbagai organ.

Ia akan tinggal di situ selama beberapa bulan sehingga dikeluarkan dari tubuh. Dua pertiga daripada uranium yang dimakan disimpan di tulang kita.

Potassium-40, isotop radioaktif unsur kalium juga memasuki badan melalui banyak jenis makanan, namun bermanfaat untuk tubuh kita.

5. Logam berharga

terdapat emas dalam badan manusia

Tidak semua benda dalam badan kita adalah berbahaya atau radioaktif. Terdapat juga unsur-unsur yang sangat berharga terkandung dalam tubuh manusia yang membuat kita sangat berharga dari segi ekonomi.

Walaupun begitu, anda tidak digalakkan untuk cuba mengeluarkannya dan menjualnya.

Yang pertama, tubuh manusia mengandungi emas.

Kebanyakan emas dalam kebanyakan orang berada dalam darah mereka, dengan emas merangkumi 0.02% daripadanya.

Secara keseluruhannya, tubuh manusia mengandungi 0.2 miligram emas, cukup untuk menghasilkan satu kubus emas tulen dengan saiz 0.22 milimeter.

Tubuh kita juga mengandungi perak, satu lagi logam berharga yang mempunyai tahap toksik yang rendah bagi manusia.

Malah, para penyelidik mendapati bahawa najis manusia juga mengandungi zarah emas dan logam mahal lain.

Satu kilogram tahi manusia boleh mengandungi maksimum 4 gram tembaga, perak, vanadium dan emas.

Dengan ini, dianggarkan bahawa tahi sejuta orang boleh mencecah nilai RM53 juta. 

6. Cahaya

badan manusia hasilkan cahaya

Manusia telah lama tahu bahawa tubuh kita mengeluarkan sinaran cahaya.

Sebagai contoh, haba tubuh kita menghasilkan cahaya inframerah, sejenis radiasi elektormagnetik yang kita tak dapat lihat namun mampu dilihat oleh haiwan.

Namun apabila ia melibatkan penghasilan cahaya yang dapat dilihat, anda mungkin beranggapan bahawa ia adalah mustahil. 

Seperti hampir semua perkara dalam alam semesta, kita memantulkan cahaya, tetapi kita tidak memancarkannya, kan? Sebenarnya, ini adalah tidak benar. 

Pada tahun 2009, seorang saintis dari Institut Teknologi Tohoku Jepun bernama Masaki Kobayashi memutuskan untuk menyiasat bioluminescence manusia, sejenis keupayaan kita untuk memancarkan cahaya.

Untuk melakukannya, Masaki merekrut 5 individu dan mengambil gambar mereka dalam keadaan bogel telanjang selama 20 minit setiap 3 jam, selama 3 hari.

tubuh manusia hasilkan cahaya

Gambar-gambar itu diambil dengan kamera sangat sensitif terhadap cahaya.

Hasilnya menunjukkan bahawa beberapa bahagian subjek-subjek ini seperti leher dan kepala mereka memancarkan cahaya secara berterusan, mencapai kecerahan maksimum sekitar jam 4 petang.

Ini mungkin akibat jam biologi tubuh kita, yang mana manusia menghabiskan lebih banyak tenaga pada waktu petang.

Para saintis percaya bahawa bioluminescence kita dihasilkan oleh molekul kecil yang dipanggil fluorophores, yang mengeluarkan foton selepas berinteraksi dengan elektron yang dikeluarkan oleh pernafasan selular.

Namun, cahaya boleh dilihat yang dihasilkan oleh badan kita adalah terlalu lemah untuk dilihat. Malah, cahaya ini adalah beribu-ribu kali lemah daripada cahaya yang biasa dikesan oleh mata kita.

Walaupun begitu, cahaya ini tetap keluar dari badan kita setiap saat. 

Rujukan:

1. NCBI

2. The Globe and Mail

3. Health NY



Hakcipta iluminasi.com (2017)