Oleh pada 29 Nov 2022 kategori

Pengaruh ibu bapa kepada pilihan kerjaya anak adalah besar, sehinggakan ada ketikanya anak menuruti langkah si ibu atau bapa; mencorak kerjaya dalam bidang sama.

Situasi sebegini turut dilihat dalam sukan bola sepak, wujud susur galur pertalian keluarga yang membuatkan jutaan peminat di seluruh dunia mampu menyaksikan generasi muda meneruskan legasi keluarga yang dibentuk ayah mereka.

Berikut adalah 5 pasangan bapa dan anak, yang pernah melakukan penampilan Piala Dunia sebagai tulang belakang pasukan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

1. Mazinho dan Thiago Alcantara

mazinho thiago alcantara

Nama ayah kepada pemain tengah kelab Liverpool, Thiago Alcantara iaitu Mazinho Alcantara jarang menjadi bualan.

Mazinho seorang pemain pertahanan tengah dan sisi merupakan antara pemain dalam pasukan Brazil yang memenangi kejuaraan Copa America edisi 1989 serta bergelar juara Piala Dunia 1994 yang dianjurkan di Amerika Syarikat.

Anaknya Thiago memilih untuk bermain dengan negara kelahirannya Sepanyol, merupakan tulang belakang kelab Barcelona dan Bayern Munich, menjuarai kejohanan Piala Eropah bawah usia 17 dan 21 tahun tetapi belum dapat merasai sebarang kejuaraan bersama skuad kebangsaan utama Sepanyol.

Dia yang menyertai skuad senior sejak tahun 2011, gagal menamatkan badi memenangi sebarang kejuaraan biarpun menjadi antara kesebelasan utama dalam kejohanan Piala Dunia edisi 2018 di Russia dan Piala Eropah edisi 2020.

2. Peter dan Kasper Schmeichel

peter kasper scmeichel denmark piala dunia

Menuruti jejak langkah ayahnya, Kasper Schmeichel malangnya berdepan jalan sukar memecahkan bayang-bayang ayahnya Peter, antara penjaga gol berstatus legenda dalam sukan bola sepak antarabangsa.

Peter Schmeichel merupakan penjaga gawang utama Manchester United dan Denmark semasa era kegemilangan kelab dan negara itu dalam dekad 1990-an, bergelar juara Liga Juara-Juara Eropah dalam tahun 1999 dan melindungi gol Denmark sehingga bergelar juara Piala Eropah tahun 1992.

Kasper ketika ini sedang mengambil alih tugas ayahnya sebagai penjaga gawang utama Denmark, juga pernah bergelar juara liga perdana Inggeris bersama kelab Leicester City dalam tahun 2016. 

3. Miguel dan Pepe Reina

miguel pepe reina sepanyol piala dunia

Jika anak beranak Schmeichel menyaksikan pencapaian ayah jauh mengatasi anak; bagi anak beranak Reina pula, anaknya bukan saja memperbaiki kegagalan ayah, malahan menjadi antara pemain terpenting pasukan kebangsaan Sepanyol dalam era kegemilangan bola sepak negara itu.

Jose Manuel Reina atau lebih terkenal dengan gelaran 'Pepe' seperti ramai pemain muda terbaik di Sepanyol, memulakan karier bersama pasukan Barcelona. Penghijrahan beliau ke England bersama kelab Liverpool mengubah karier beliau.

Sepanjang karier yang cukup cemerlang, Pepe bersama Sepanyol telah bergelar juara Piala Dunia edisi 2010 serta memenangi Piala Eropah dua kali dalam tahun 2008 dan 2012. Belum diambil kira kejuaraan domestik liga yang beliau disertai.

Ayahnya Manuel tidak berhijrah jauh, memilih kekal dalam liga Sepanyol selama 16 tahun bersama tiga kelab, Cordoba, Barcelona dan Athletico Madrid. Dia terpilih untuk menyertai kejohanan Piala Dunia 1966 bersama pasukan kebangsaan Sepanyol, tetapi tidak melakukan sebarang penampilan.

Manuel hanya diberikan caps pertama dalam penampilan antarabangsa 3 tahun kemudian, dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia yang berlangsung dalam tahun 1969.

4. Cesare dan Paolo Maldini

cesare paolo maldini

Nama Maldini merupakan nama besar yang dihormati peminat bola sepak Itali, kerana sumbangan anak beranak Cesare dan Paolo Maldini besar nilainya.

Sebagai pemain pertahanan kental, Cesare merupakan tulang belakang kelab AC Milan selama lebih 12 tahun, memenangi kejuaraan Liga Itali sebanyak 4 kali serta sekali bergelar juara Liga-Liga Eropah.

Dia mula mewakili pasukan kebangsaan pada tahun 1960, terpilih untuk menjadi pemain Itali dalam Piala Dunia 1962 tetapi berakhir dengan penyingkiran awal dalam peringkat kumpulan.

Anaknya Paolo, merupakan antara pemain unik yang hanya beraksi dengan satu kelab sahaja sepanjang karier. Seorang legenda kelab AC Milan, Paolo mula diberikan peluang menyertai pasukan kebangsaan semasa ayahnya bergelar pengurus pasukan bawah 21 tahun.

Walaupun mencipta rekod bersama rakan-rakan pertahanan yang lain, selepas tidak pernah bolos dalam lima perlawanan Piala Dunia - Maldini dan Itali terpaksa pulang hampa hanya mendapat pencapaian tempat ketiga edisi 1990.

Itali cuba menebus kehampaan dalam Piala Dunia 1994 dengan Maldini yang bertindak sebagai kapten pasukan, membawa Itali ke pentas akhir bertemu Brazil. Malang bagi Itali, mereka terpaksa pulang hampa tewas 3-2 dalam penentuan sepakan penalti.

5. Jean dan Youri Djorkaeff

jean youri djorkaeff france piala dunia

Jean Djorkaeff adalah ayah kepada penyerang legenda Perancis yang 'under-rated' profil beliau, Youri Djorkaeff.

Sepanjang kerier selama 8 tahun, Jean terpilih untuk mewakili Perancis sebanyak 48 kali serta menjadi antara kesebelasan utama Perancis dalam kejohanan Piala Dunia 1966. Bagaimanapun, Perancis tersingkir awal dalam pusingan peringkat kumpulan.

Memikul kekecewaan ayahnya, Youri nekad memperbaiki reputasi keluarga.

Dia menjadi antara pemain terpenting dalam kesebelasan utama Perancis sejak tahun 1996, sehingga dia dan pemain segenerasinya seperti Zinedine Zidane, Marcell Desailly dan Lilian Thuram merangkul kejohanan berganda Piala Dunia 1998 dan Piala Eropah 2000.

Selepas menamatkan karier sebagai pemain, kini Youri menjawat jawatan ketua eksekutif Yayasan FIFA selepas lantikan tahun 2018. Beliau bertanggungjawab merangka strategi untuk menggunakan bola sepak sebagai kaedah dalam pembangunan sosial masyarakat antarabangsa.

Sehingga kini pasukan Perancis era tersebut dilihat sebagai salah satu pasukan terbaik, yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)