Oleh pada 26 Oct 2021 kategori

Amat menyedihkan apabila kita mendengar atau terbaca berita mengenai kanak-kanak dan remaja diculik penjenayah. Mereka mungkin dijadikan tebusan, mangsa seksual atau dijual sebagai hamba.

Tidak semua mangsa culik bernasib baik dan berjaya ditemui semula. Ada sebahagian kes culik masih lagi belum selesai walaupun sudah berlaku puluhan tahun. Sebahagian lagi mangsa culik pula berjaya ditemui semula dan kembali ke pangkuan keluarga.

Walaupun mereka melalui kisah hitam dalam hidup, mereka bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk hidup bebas seperti insan biasa. Berikut adalah kes paling lama mangsanya ditahan penculik.

6. Colleen Stan (7 Tahun)

img 20211107 120431

Pada tahun 1977, Colleen yang berusia 20 tahun ketika itu meninggalkan rumahnya di Eugene, Oregon, untuk pergi ke California. Cara dia bergerak adalah dengan menumpang atau hitchhiking (perkara yang biasa di barat).

Dia telah menumpang dua kenderaan lain sebelum menumpang kereta ketiga yang dipandu oleh Cameron Hooker, isterinya Janice dan bayi mereka. Selepas beberapa jam perjalanan, Colleen diugut dengan pisau dan diikat oleh Cameron sebelum dibawa ke kediaman pasangan itu.

Selama tujuh tahun, Colleen ditempatkan di dalam sebuah kotak kayu seperti keranda di bawah katil pasangan itu. Colleen menghabiskan masa selama hampir 23 jam sehari di dalam kotak kayu itu dan hanya akan dikeluarkan untuk dirogol dan diseksa sahaja. 

Pada tahun 1984, Cameron yakin dia sudah mengawal minda Colleen sepenuhnya dan membenarkan wanita itu melakukan kerja sambilan di sebuah motel. Peluang ini diambil Collen untuk melarikan diri. Cameron akhirnya ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara 104 tahun.

5. Natascha Kampusch (8 Tahun)

natascha kampusch

Nastacha (kiri) dan Wolfgang Priklopil

Pada Mac 1998, Natascha Kampusch yang berusia 10 tahun telah diculik ketika sedang berjalan kaki ke sekolahnya di Vienna, Austria. Dia ditahan di loteng sebuah rumah di pekan kecil Strasshof.

Penculiknya, Wolfgang Priklopil, sering menyeksa, merogol dan memaksa Natascha melakukan kerja rumah secara berbogel. Natascha menyifatkan Wolfgang sebagai seorang yang paranoid, tidak menentu dan obses kepada kebersihan.

Wolfgang juga sangat menyanjungi Hitler dan menganggap dirinya sebagai tuhan Mesir. Dia juga sering membuatkan Natascha kebuluran supaya gadis itu tidak berdaya untuk melarikan diri.

Pada 23 Ogos 2006, Natascha berjaya melarikan diri ketika sedang membersihkan kenderaan Wolfgang di luar rumah. Beberapa jam kemudian, Wolfgang membunuh diri dengan melompat di hadapan kereta api yang sedang bergerak sebelum ditahan pihak berkuasa.

4. Fusako Sano (9 Tahun)

fusako sano

Fusako Sano dan penculiknya

Pada 13 November 1990, Fusako Sano yang berusia 10 tahun telah diculik selepas pulang daripada menyaksikan perlawanan bola lisut sekolahnya di Sanjo, Jepun. Dia diculik oleh Nabuyuki Sato, seorang penganggur berusia 28 tahun yang mengalami gangguan mental.

Fusako dikurung di bahagian tingkat atas rumah Nabuyuki yang hanya terletak 200 meter daripada balai polis. Ibu Nabuyuki tinggal di tingkat bawah rumah itu dan tidak menyedari Fusako dikurung kerana Nabuyuki akan mengamuk setiap kali ibunya cuba naik ke atas.

Ibu Nabuyuki yang risau dengan keadaan anaknya yang semakin ganas menghubungi pihak kesihatan tempatan untuk memeriksa keadaan anaknya. Pada Januari 2000, pihak kesihatan membuat lawatan dan Nabuyuki mula bertindak ganas sehingga memaksa pihak polis datang.

Polis kemudian menemui Fusako yang dikurung selama 9 tahun 2 bulan oleh Nabuyuki dan ditemukan semula dengan keluarganya yang tinggal sekitar 60km daripada rumah penculik.

3. Amanda Berry, Michelle Knight dan Gina DeJesus (9-11 Tahun)

cleveland kidnapping

Antara Ogos 2002 hingga April 2004, tiga wanita dilaporkan hilang di Cleveland, Ohio. Mereka ialah Amanda Berry, 17, Michelle Knight, 21, dan Gina DeJesus, 14.

Ketiga-tiga mangsa itu diculik dan dikurung oleh Ariel Castro. Lelaki itu merogol dan menyeksa mangsa-mangsanya selama sedekad. Amanda melahirkan seorang bayi perempuan manakala Michelle pula mendakwa dia mengandung sebanyak lima kali tetapi semuanya keguguran akibat dipukul teruk oleh Castro.

Pada 2013, Amanda berjaya diselamatkan oleh jiran Castro yang kemudian menghubungi pihak polis. Polis juga menemui Michelle dan Gina di kediaman penjenayah itu.

Castro telah dihukum penjara selama 1,000 tahun tetapi membunuh diri pada bulan pertama dia menjalani hukuman. Ketiga-tiga wanita itu kembali ke pangkuan keluarga dan kini aktif memberi kesedaran tentang usaha mencari individu yang dilaporkan hilang.

2. Jaycee Dugard (18 Tahun)

jaycee dugard

Dari kiri: Nancy Garrido, Jaycee Dugard dan Phillip Garrido

Pada 1991, Jaycee Dugard yang berusia 11 tahun telah diculik ketika berjalan ke hentian bas sekolah di rumahnya di South Lake Tahoe, California. Dia telah ditembak menggunakan stun gun dan diculik oleh Phillip Garrido dan isterinya, Nancy.

Pasangan penculik itu telah mengurung Jaycee selama 18 tahun. Selama ditahan, Jaycee sering dirogol oleh Garrido yang merupakan pesalah seks dan penagih dadah.

Pada August 2009, Garrido bersama dua orang kanak-kanak perempuan pergi ke balai polis di University of California bagi meminta kebenaran untuk menyampaikan ceramah mengenai agama dan seksual. Garrido mendakwa dia mempunyai penyelesaian kepada individu yang mengalami masalah seksual.

Pegawai yang curiga mula membuat pemeriksaan latar belakang. Dia mendapati Garrido mempunyai rekod rogol dan culik. Garrido disiasat sehingga segalanya terbongkar. Dua kanak-kanak perempuan yang dibawanya adalah hasil hubungannya dengan Jaycee Dugard yang diculiknya.

Garrido telah dijatuhkan hukuman penjara selama 431 tahun manakala isterinya Nancy pula dihukum penjara selama 36 tahun.

1. Elisabeth Fritzl (24 Tahun)

elisabeth fritzl 185

Elisabeth dan bapanya, Josef Fritzl

Kisah wanita malang ini telah menggemparkan seluruh dunia apabila dia ditemui pada 2008. Elisabeth Fritzl telah dipenjara selama 24 tahun di ruang bawah tanah di rumah ibu bapanya sendiri di Austria.

Lebih menyedihkan, Elisabeth dipenjarakan oleh bapanya sendiri iaitu Josef Fritzl. Bapanya telah merogol Elisabeth sehingga dia melahirkan tujuh orang anak di mana seorang daripadanya meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.

Tiga anak Elisabeth hidup secara normal bersama Josef dan isterinya, Rosemarie yang juga ibu kandung Elisabeth. Rosemarie dan tiga kanak-kanak itu ditipu Josef bahawa Elisabeth tidak mahu menjaga anak-anaknya dan mengikut kumpulan ajaran sesat.

Pada April 2008, segala-galanya terbongkar apabila Josef terpaksa membawa anak sulung Elisabeth yang dikurung ke hospital kerana masalah buah pinggang. Elisabeth dan anak-anaknya diselamatkan manakala Josef dipenjara seumur hidup.



Hakcipta iluminasi.com (2017)