Oleh pada 09 Apr 2023 kategori

Penulis memang cukup gemarkan masakan ikan sardin dalam tin. Dimakan sekali dengan nasi yang panas-panas, rasanya memang syahdu habis.

Kita semua tahu sardin dalam tin makanan yang popular di seluruh dunia, bukan saja sebagai lauk harian tetapi juga sebagai salah satu komponen penting wajib ada dalam persediaan untuk keperluan kecemasan dan darurat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Meskipun sardin dalam tin sering dikaitkan sebagai makanan bajet dan sederhana, terdapat  banyak variasi sardin yang dapat kita nikmati. Berikut adalah beberapa variasi sardin dalam tin yang paling popular di seluruh dunia.

1. Sardin dalam sos tomato

sardin malaysia vs sardin uk london

Sardin dalam sos tomata adalah varian sardin dalam tin paling popular di Malaysia.

Walaupun ada dua versi yang dibezakan mengikut jenis ikannya iaitu ikan sardin dan ikan kembung (mackerel), kedua-duanya biasanya dirujuk sebagai 'sardin.' Sardin yang diawetkan dalam sos tomato memberikan rasa masam manis, yang memberikan sentuhan unik pada sardin tersebut.

Jika dimasak dengan tumisan bawang merah dan cili yang menambahkan lagi rasa pedasnya, memang berpinggan-pinggan jugalah nasi mampu penulis habiskan.

2. Sardin dalam minyak zaitun

sardin dalam minyak zaitun

Walaupun kita lebih mengenali sardin dalam sos tomato, variasi ini sebenarnya adalah varian sardin dalam tin dianggap paling umum di seluruh dunia.

Mempunyai harga yang lebih tinggi, sardin dalam minyak zaitun memberikan rasa lazat dan aroma khas pada ikan tersebut.

Diawet menggunakan minyak zaitun dara, sardin dalam minyak zaitun biasanya disajikan sebagai hidangan pembuka atau dicampur dengan salad. Penulis jarang membeli varian ini, kerana rasanya tak kena dengan mulut. 

Sebab memang dari kecil dah biasa dengan sardin dalam sos.

3. Sardin pedas dalam campuran minyak zaitun dan sos

sardin pedas

Beberapa jenama sardin dalam tin menawarkan varian pedas yang terhasil daripada campuran cili dan minyak zaitun.

Ada juga jenama yang menambah rencah yang ada, mencampurkan bahan lain seperti bawang putih, daun salam, bunga cengkih dan sebagainya.

Sekiranya anda suka sardin dalam sos dan sardin dalam minyak zaitun, mungkin anda akan menyukai varian ini yang menggabungkan kedua-duanya dalam satu bentuk pakej yang lengkap. 

4. Sardin dalam air mineral

sardin dalam air

Sardin dalam air mineral adalah varian yang popular di Asia, terutamanya di Indonesia dan Malaysia.

Ini kerana bukan semua orang gemarkan rasa sos tomato atau minyak zaitun yang digunakan sebagai bahan pengawet ikan sardin. Jadi satu-satunya pilihan yang ada adalah dengan mendapatkan sardin dalam air mineral, yang biasanya ditambah dengan garam.

Variasi sardin ini sangat sesuai untuk anda olah kepada resipi-resipi berbeza. Nak goreng senang, nak kari-kan pun senang. Nak makan begitu saja? Penulis belum pernah cuba. Rasanya bagaimana ya kalau makan camtu je?

5. Sardin dalam minyak kelapa dan soya

sardin dalam minyak soya

Sardin dalam minyak kelapa merupakan varian yang dikatakan masih baru berbanding jenis-jenis sardin dalam tin lain. Oleh kerana itu usaha untuk mendapatkannya agak sukar kerana bukan semua jenama menawarkan produk ini.

Bagi mereka yang pernah merasainya, sardin yang diawetkan dalam minyak kelapa dikatakan memberikan rasa yang lazat dan aroma yang khas pada ikan tersebut, berbeza berbanding minyak zaitun.

Selain minyak kelapa, beberapa jenama juga memperkenalkan varian alternatif seperti sardin yang diawet dalam minyak sayuran dan juga minyak kekacang. 

Anda penggemar karipap sardin?

variasi sardin yang ada di seluruh dunia

Bagaimana? Anda dah cuba kelima-lima versi sardin dalam tin yang ada? Penulis setakat ni masih setia dengan sardin dalam sos tomato sahaja. Lagi empat, kalau ada rezeki nanti akan penulis cuba.

Sangat versatil untuk digunakan dalam pelbagai jenis resipi, salah satu menu berasaskan sardin yang sangat penulis gemari adalah karipap sardin. Tetapi tak tahulah kenapa isteri penulis pasti memandang jelik setiap kali penulis membelinya. 

Dia kata sardin dengan karipap, dua bahan yang tak serasi mesranya. Anda sependapat dengan isteri penulis atau sama macam penulis, masih gigih mencari karipap sardin terbaik di dunia?




Hakcipta iluminasi.com (2017)