Gangguan jalanan terhadap wanita bukanlah sesuatu yang baru. Sering kali kita melihat wanita-wanita yang berjalan seorang diri atau dengan pasangan, diganggu oleh mereka yang tidak beradab dan kurang moral. Sama ada hanya memanggil-manggil, mengikut ke mana wanita tersebut pergi atau sehingga melakukan sentuhan, kesemua ini tidak dapat diterima dan perlu dibanteras.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, antara salah satu sebab perkara ini berleluasa dan semakin menjadi-jadi adalah tiada bantuan dan sokongan daripada pihak lelaki itu sendiri. Kebanyakan lelaki yang terlihat situasi ini hanya mampu memandang dan menggelengkan kepala, tanpa berbuat apa-apa.
iluminasi.com ingin berkongsi 5 perkara yang golongan lelaki boleh lakukan jika terlihat atau berhadapan dengan gangguan jalanan.
1. Jangan diamkan diri
Ini kebanyakan lelaki selalu buat. Apabila pasangan mereka diganggu di jalanan, anda harus bertindak, jangan hanya berdiam. Kebanyakan lelaki hanya mendiamkan diri dan membiarkan si gadis berhadapan dengan gangguan tersebut seorang diri. Berpura-pura bahawa gangguan jalanan tidak berlaku atau berpura-pura tak dengar adalah sangat tidak patut. Dengan mendiamkan diri tak akan dapat menghentikan gangguan itu. Gangguan itu akan menjadi semakin kuat, mengikut si gadis dengan lebih berani. Sebagai lelaki, anda perlu lebih gentleman.
Jika anda sebagai lelaki pun takut dengan gangguan jalanan, apatah lagi si gadis. Pasti lelaki yang tidak berani berhadapan dengan gangguan ini takut jika apa-apa berlaku kepada mereka seperti dipukul atau sebagainya. Bagi wanita, lelaki bertanggungjawab menjaga keselamatan mereka.
2. Berkata sesuatu yang baik dan memberi kesan
Sekurang-kurangnya apabila berhadapan dengan gangguan jalanan, anda perlu berkata sesuatu. Ia tak semestinya perkataan yang kasar atau kurang ajar, dan tak perlu nak "menganjing" semula.
Wanita lebih suka jika anda yang bersuara menggunakan suara yang tegas dan sederhana, daripada kasar. Tapi jika anda tak berkata apa-apa seperti "Bro, tak lawak la kau buat macam ni," atau sebagainya, anda seperti bersetuju dengan si pelaku.
Berkata sesuatu kerana perkataan anda akan memberi impak kepada si pelaku dan mungkin akan membuatkan mereka berfikir banyak kali sebelum mengganggu lain kali, atau mungkin tidak. Tapi sekurang-kurangnya bersuara terhadap pengganggu jalanan adalah sesuatu yang berbaloi.
3. Jangan mengambil ucapannya sebagai pujian
Jika pengganggu jalanan ini memuji-muji si gadis dan anda mendengarnya, jangan sesekali menyuruh si gadis supaya anggap ia hanya satu pujian. Wanita tak akan dapat menterjemah sesuatu yang lucah atau jijik kepada sesuatu yang positif dan tak akan rasa ianya sebagai satu pujian.
4. Tanya jika si gadis okay dan bercakap dengan mereka
Mungkin ada di antara lelaki yang tak pernah mengalami situasi ini, tak mengapa. Mungkin anda takut nak tegur si pelaku kerana mereka ramai atau risaukan keselamatan anda.
Tapi sekurang-kurangnya cakap dengan si gadis dan tanya sama ada dia okay atau tak. Ia kelihatan seperti usaha yang kecil namun ia memberikan impak yang sangat besar dan sangat membantu si gadis daripada gangguan tersebut.
Jika wanita tersebut adalah rakan anda, berpura-pura anda adalah suaminya adalah sesuatu yang sangat membantu kerana bagi lelaki yang mengganggu, mereka tak akan menghormati wanita yang berkata "tidak" tetapi takut dan hormat jika wanita tersebut berkata beliau sudah mempunyai suami.
5. Tegur rakan lelaki anda yang berperangai seperti ini
Jika anda mempunyai rakan, dan rakan anda adalah salah seorang daripada mereka yang mempunyai kelakuan dan tabiat buruk seperti ini, tegur mereka. Anda sebagai rakan perlu melakukan sesuatu jika mempunyai rakan seperti ini kerana anda sendiri tidak mahu isteri atau adik-beradik perempuan anda diganggu seperti itu. Dan kerana lelaki biasanya akan lebih mendengar kata-kata dan nasihat daripada lelaki sendiri.
Jika anda hanya mendiamkan perbuatan rakan anda mengganggu wanita-wanita di jalanan, jangan salahkan wanita jika mereka mengatakan semua lelaki tak berguna, kerana anda sendiri tak membantu wanita.