Oleh pada 09 Jul 2021 kategori

Untuk setiap seorang Perdana Menteri, akan ada seorang individu yang akan memikul tanggungjawab besar membantunya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri atau TPM mungkin bukanlah impian mutlak setiap ahli politik, namun jawatan itu menjadi batu loncatan paling jelas seseorang dilihat berkelayakan mampu menjadi pemimpin nombor 1 negara. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau demikian sejarah kita telah menunjukkan memegang kerusi nombor 2 ini tak menjanjikan apa-apa - kerana peluang seorang TPM dapat naik memegang tampuk pemerintahan ekoran berlakunya peralihan kuasa hanyalah 50-50 kemungkinannya.

Berikut adalah lima TPM yang terus diingati tak merasa jadi PM dalam sejarah negara kita, ekoran krisis, konflik atau perebutan kuasa yang berlaku sesama ahli politik kita.

1. Musa Hitam

mahathir musa hitam

Pertembungan dua gergasi politik iaitu '2M' - Dr. Mahathir Mohamad ketika itu PM dan TPM beliau Dato' Musa Hitam mencetuskan krisis politik yang benar-benar menggoncang arena politik negara.

Ekoran diserang bertubi-tubi gila kuasa kerana dituduh ingin mengambil alih kerajaan serta tindakan terbuka menyatakan rasa kurang senang dengan tindakan kerajaan melibatkan pinjaman tertunggak Bank Bumiputera Malaysia, mengakibatkan Musa meletak jawatan pada 16 Mac 1986; menamatkan konflik setengah dekad mereka.

Musa bukan saja meletak jawatan sebagai TPM malah terus melepaskan semua jawatan dalam kabinet serta parti UMNO, di mana dia menjawat jawatan naib presiden ketika itu.

Apa yang menarik, sengketa kedua-duanya belum berakhir sehingga kini. Musa Hitam terus menyerang (kini Tun) Mahathir dengan bermacam dakwaan dan Tun M sendiri tidak pernah berhenti menyalahkan Musa Hitam terlalu bercita-cita besar dan tidak sabar menggantikannya.

Sehingga kini Tun M kekal menyifatkan Musa Hitam adalah antara kegagalannya paling besar.

2. Ghafar Baba

mahathir ghafar baba

Selepas pergolakan 2M mewarnai dunia politik Malaysia, Allahyarham Tun Ghafar Baba anak kelahiran Kuala Pilah naik menggantikan Musa Hitam menjawat jawatan TPM.

Terkenal dengan sifat setia dengan ketuanya Dr. Mahathir Mohamad, malangnya tempoh Tun Ghafar menjawat jawatan itu - dia berhadapan cabaran besar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dijulang berpotensi besar mengetuai negara.

Walaupun Tun Ghafar mendapat sokongan Dr. Mahathir dalam pemilihan UMNO tahun 1993, pengaruh Anwar yang telah dibentuk sejak beberapa tahun sudah mula meresapi peringkat dalaman parti.

Sehinggakan pemimpin yang setia dengan Dr. Mahathir pun berjaya disingkirkan satu per satu; Anwar dilihat semakin kuat mengukuhkan cengkamannya.

Tun Ghafar tampak kurang berminat untuk bermain politik sedemikian rupa, lebih gemar menumpukan kepada gerak kerja bawahan serta berpegang kepada prinsip hormatkan ketua.

Selepas melayan desakan pelbagai peringkat, Tun Ghafar memilih untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO tahun 1993 memberikan laluan mudah kepada Anwar seterusnya menghalang pencalonannya sebagai pengganti PM.

Meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan parti, Tun Ghafar menyifatkan dunia politik negara ketika itu sudah berubah. Orang-orang politik lama seperti beliau sudah tidak lagi mampu untuk terus bersaing dalam arena yang semakin lama semakin berorientasikan wang ringgit, berbanding pencapaian dalam karier.

3. Wan Azizah Wan Ismail

azizah mahathir pakatan harapan

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mencatat sejarah negara menjadi wanita pertama menjawat jawatan TPM dalam kabinet Pakatan Harapan di bawah Tun Mahathir Mohamad.

Apa yang menarik, desas-desus mengatakan dalam tempoh singkat Pakatan Harapan menguasai kerajaan - beliau sebenarnya telah ditawarkan dua kali peluang untuk menjadi pemimpin nombor 1 negara tetapi memilih menolaknya.

Kali pertama selepas Pakatan memenangi pilihanraya seterusnya mengambil alih kerajaan dan yang kedua, semasa YDP Agong mencari calon PM sementara ekoran krisis perletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad yang membubarkan terus kabinet ketika itu.

Berbanding dengan nama-nama lain dalam senarai ini termasuklah suaminya sendiri, Datuk Seri Wan Azizah tidak mempunyai pengalaman politik panjang, memulakan karier politik selepas penangkapan suaminya yang terjadi atas beberapa dakwaan.

Namun beliau membuktikan kemampuannya menjadi antara pimpinan penggerak reformasi serta berjaya mengendalikan dengan baik perjalanan partinya dari awal sehinggalah berjaya mengambil alih kuasa kerajaan.

Sama ada Datuk Seri Wan Azizah akan mempunyai peluang ketiga belum kita ketahui, tetapi besar kemungkinan sukar untuk beliau kembali ekoran kembalinya suami beliau ke dalam arena politik semula.

4. Zahid Hamidi

najib zahid umno

Datuk Seri Zahid Hamidi sukar dibaca gerakan politiknya.

Sejak dahulu lagi semasa dia mula naik, dia sebenarnya banyak dibantu pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun sering didakwa sebagai 'sahabat' karib Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid sudah beberapa kali bertukar-tukar pesona politik. Namanya mula disebut-sebut sebagai salah seorang tunjang utama gerakan reformasi sehinggakan dia ditahan di bawah akta ISA ekoran kritikan kerasnya terhadap kerajaan.

Menurut beliau kerajaan menjatuhkan Datuk Seri Anwar dengan tuduhan jahat pada tahun 1998. Walau bagaimanapun setahun kemudian, Zahid mula pro kerajaan, kembali menjadi ahli UMNO yang setia serta mula membenarkan semua tindakan Perdana Menteri ketika itu ke atas Anwar.

Dia kekal setia dengan parti dan kerajaan sehingga ditawarkan jawatan TPM bagi menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin. yang dipecat ekoran rasa berani menimbulkan rasa kurang senang dengan cara kerajaan mengendali skandal 1MDB semasa era Datuk Seri Najib.

Walau bagaimanapun, kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya tahun 2018 menyebabkan berlakunya peralihan kerajaan menoktahkan jawatan beliau sebagai pemimpin nombor 2 negara.

Kini berdepan skandal salah guna kuasa dan tekanan dari parti, tidak diketahui apakah hala tuju karier politik beliau setakat ini, kerana seperti yang penulis katakan - langkahnya memang sukar diduga.

5. Anwar Ibrahim

anwar tak sabar jadi pm kata mahathir

Jika mahu ditulis buku tentang perjalanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang cukup panjang kisahnya.

Bergelar 'bakal pemimpin nombor 1 negara' sekian lama tidak menjamin masa depan cemerlang buat beliau, selepas tindakannya cuba 'mempercepatkan' peralihan kuasa kurang disenangi ketuanya sendiri.

Krisis antara kerajaan Malaysia dan gerakan reformasi yang diketuai dirinya tidak dapat dinafikan mengubah dunia politik kita. Pergerakan itu membawa kepada perubahan besar dalam ideologi politik pembangkang yang mula berani merencanakan perubahan demi perubahan, sehinggalah membawa kepada kejayaan Pakatan Harapan dalam pilihanraya - ketika itu beliau masih dalam penjara.

Walaupun dilihat sebagai wira, bagi mereka yang pernah berseteru dengan beliau agak sukar untuk menerima kaedah Anwar berpolitik.

Allahyarham Tun Ghafar Baba misalnya secara terbuka mendedahkan dakwaan bagaimana tanggapan beliau bahawa Anwar merupakan ejen kuasa asing yang dilatih untuk menyusup dan mengambil alih pentadbiran negara.

Walaupun sudah beberapa kali hampir berjaya memegang tampuk atau merampas kerajaan, langkah Anwar entah kenapa tidak pernah sempurna.

Beliau menjawat jawatan TPM dari tahun 1993 dan sebenarnya sangat hampir untuk naik, sehinggalah dijatuhkan pada tahun 1998.

Harapan Anwar kembali bersinar selepas digembar-gemburkan bakal dilantik sebagai TPM dalam kabinet Pakatan Harapan tahun 2018, sekiranya dibebaskan dari penjara sebagai bakal persediaan untuk menjawat jawatan PM.

Peralihan kuasa pula dijadualkan akan berlaku selepas persidangan APEC 2020 pada bulan November. Kita semua dah tahu apa berlaku selepas itu. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)