Oleh pada 23 Jan 2018 kategori

Memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia merupakan satu penghormatan yang cukup besar untuk dipikul seseorang individu, dengan 6 individu sehingga kini telah terpilih untuk menjadi pemimpin kepada masyarakat Malaysia, semenjak penubuhan negara kita.

Kita mungkin sudah sedia maklum berkenaan kisah-kisah sejarah yang kerap kali diceritakan berkenaan era pemerintahan mereka, namun ada ketikanya kisah-kisah sejarah terpaksa meninggalkan beberapa perkara penting yang mampu menjadi anekdot, membuatkan kita lebih mudah mengenangkan setiap zaman.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kompilasi anekdot-anekdot menarik tentang PM-PM Malaysia daripada yang pertama sehinggalah yang ke enam, yang kami rasakan menarik untuk dikongsikan bersama.

1. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

tunku abdul rahman 4kl84

Tunku Abdul Rahman merupakan PM Malaysia (atau Persekutuan Tanah Melayu) yang pertama. Orang jati Kedah, Tunku merupakan anak ke-20 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku sebenarnya gagal dalam peperiksaan undang-undangnya buat kali pertama pada tahun 1930 dan dia hanya mengambil peperiksaan itu kali kedua dan lulus, sembilan tahun selepas itu.

Tunku Abdul Rahman berkahwin dengan tiga orang wanita. Isteri yang pertama adalah seorang perempuan Cina bernama Chong Ah Yong atau Meriam Chong, yang kedua seorang wanita Inggeris bernama Violet Coulson dan yang ketiga, seorang gadis Melayu bernama Sharifah Rodziah Saitid Alwi.

Ekoran perkahwinannya dengan Violet yang dilakukan tanpa keizinan Sultan Kedah, Tunku Abdul Rahman terpaksa berjauhan dengan isterinya yang tinggal di Pulau Pinang dengan Tunku berkhidmat di Kuala Nerang sebagai Pegawai Daerah.

2. Tun Abdul Razak

keluarga tun razak

PM kedua Malaysia dan bapa kepada PM ke 6, Tun Abdul Razak adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Barisan Nasional, yang sebelum itu dikenali dengan nama parti Perikatan. Bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar, hidup Tun Razak yang lahir dalam keluarga berada ekoran ayahnya Datuk Hussein adalah Orang Kaya Indera Shah Bandar tidak mudah. Dia tetap berjalan kaki ayam ke sekolah rendah.

Tun Abdul Razak dilantik menjadi Menteri Pahang ketika baru berusia 33 tahun dan seterusnya menjadi Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab memperkenalkan penyata Razak pada sistem negara kita.

Tahukah anda Tun Abdul Razak tidak membenarkan mana-mana anaknya menceburi politik kerana dia beranggapan politik merupakan jalan yang sukar? Anak sulungnya Najib sebenarnya dalam perancangan untuk menjadi seorang akauntan, sebelum Najib terpaksa memasuki kerjaya politik ekoran kematian Tun Abdul Razak ketika baru berusia 55 tahun.

3. Tun Hussein Onn

dato hussein onn dan isteri

Warga kelahiran Johor dan juga anak kepada pengasas parti UMNO, Dato' Onn Jaafar, Tun Hussein Onn membesar dalam keadaan sukar ekoran ayahnya yang dibuang negeri selepas mengkritik kepimpinan Sultan Johor secara terbuka. Ayah mertuanya pula, Tan Sri Noah Omar pula adalah speaker pertama Dewan Rakyat.

Tun Hussein tidak gemar mengamalkan berpuak-puak dalam politik dan lebih gemar menyendiri, bagi mengelakkan pengaruh serta gangguan berlaku dalam dia membuat keputusan.

Walaupun berpewatakan serius, apabila perlu, Tun Hussein akan menghulurkan bantuan. Dalam satu majlis amal pementasan drama bagi mengutip dana pergerakan UMNO, Tun Hussein Onn pernah menjadi salah seorang pelakonnya.

4. Tun Mahathir Mohamad

mahathir dan siti hasmah

Bergelar PM Malaysia paling lama berkhidmat setakat ini, Tun Mahathir adalah anak kepada seorang pekerja hospital dan seorang guru. Beliau adalah anak paling muda di kalangan 10 adik beradik serta mempunyai beberapa orang adik beradik tiri.

Semasa penjajahan Jepun, Tun Mahathir mula berjinak dengan perniagaan menjual kopi dan pisang goreng, namun meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. Tamat pengajian, Tun Mahathir pulang ke Alor Setar dan menjadi Doktor Melayu pertama di situ dengan pembukaan klinik pertama milik Melayu, Klinik Maha.

Selepas dibuang daripada UMNO, Tun Mahathir menulis buku DIlema Melayu ekoran ketidak puas hatian beliau tentang tindakan Tunku Abdul Rahman membenarkan penindasan terhadap orang Melayu dilakukan secara bersistem. Pada ketika era beliau memegang kuasa, beliau adalah antara individu paling lama berkuasa yang dilantik secara demokrasi dalam dunia.

5. Tun Abdullah Ahmad Badawi

pak lah kahwin

Dalam bukunya yang diterbitkan, Tun Abdullah yang kerap dikritik selalu tidur sewaktu kerja menjelaskan yang beliau mengidap penyakit apnea tidur yang mengganggu tidur beliau di waktu malam. Ekoran serangan Tun Mahathir yang mengkritik beliau sebagai suka tidur, Tun Abdullah menjelaskan yang kondisi beliau telah pun diketahui oleh Tun Mahathir sendiri. Tun Abdullah menjalani pembedahan membuang polyps dalam hidung dan ini membantu beliau menjalani hidup dengan lebih selesa.

Di bawah pentadbiran beliau, Barisan Nasional berjaya mencapai kemenangan terbesar dalam sejarah mereka pada tahun 2004, dengan kemenangan 198 kerusi daripada 220 kerusi kesemuanya. Memperkenalkan beberapa konsep baru seperti Islam Hadhari, Tun Abdullah mempunyai kelulusan dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1964.

Tun Abdullah mempunyai teman baik bernama Fatah Abdullah sejak kecil yang sama-sama menjual rambutan serta diberikan jawatan ketua Patrol pasukan pengakap sekolahnya. Semasa zaman Universiti, beliau memegang jawatan presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung selama 4 tahun. Kini Tun Abdullah meneruskan khidmatnya selepas bersara dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

6. Datuk Seri Najib Tun Razak

najib razak rosmah mansor merdeka

Datuk Seri Najib memulakan kerjaya politik tidak sengaja, selepas kematian ayahnya Tun Abdul Razak. Dalam pilihanraya yang diadakan bagi memilih pengganti ayahnya, DS Najib menang tanpa bertanding ekoran tidak ada calon cuba merebut kerusi Parlimen tersebut. Memegang rekod menjadi ahli Parlimen termuda pada usia 23 tahun, DS Najib meneruskan lonjakannya dengan dilantik Timbalan Menteri paling muda pada usia 25 tahun sebelumĀ  menjadi Menteri Besar paling muda pernah dilantik pada usia 29 tahun, di Pahang.

Seorang penyokong pasukan Manchester United tegar, DS Najib mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi industri daripada Malvern College di England. Meminati penyanyi Ronan Keating dan filem-filem lakonan Denzel Washington, DS Najib gemar menghabiskan masanya membaca.

Pernah bekerja dengan Bank Negara dan Petronas sebelum terpaksa terjun dalam bidang politik, DS Najib berdepan laluan sukar selepas hampir tewas dalam pilihanraya umum 1999 selepas hanya memenangi kerusi tersebut dengan 241 undi ketika kemuncak gerakan reformasi, sebelum kembali mendapat mandat besar dalam pilihanraya tahun 2004.

gambar dato seri najib razak dan tun mahathir




Hakcipta iluminasi.com (2017)