Antartika merujuk kepada sebuah kawasan yang sangat sejuk yang terletak di Kutub Selatan. Ianya merupakan sebuah kawasan dataran yang sangat luas yang dikelilingi oleh lautan. Dari segi geografi, ia adalah benua ke 5 terbesar di dunia.

Antartika merupakan kawasan yang asing bagi manusia. Dengan suhu purata tahunan serendah -49˚ Celsius, tiada siapapun yang mengimpikan untuk hidup disini. Walau bagaimanapun, ianya menjadi kawasan tumpuan penyelidik daripada seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan suhu yang sangat ekstrim dan banyak lagi kawasan disini yang belum diterokai sepenuhnya, maka tidak hairan banyak teori konsprasi yang cuba dikaitkan dengan kawasan ini sejak sekian lamanya. Ada antaranya yang sudah dibuktikan kesalahannya dan ada antaranya yang masih tidak dapat dibuktikan dengan fakta.

1. Kewujudan piramid yang dibina tamadun terdahulu

Pada tahun 2016, terdapat sebuah video di Youtube yang tular yang mendakwa terdapat binaan piramid yang wujud di Antartika. Dengan ketinggian 1,220 meter, ianya adalah 100 kali ganda lebih tinggi daripada piramid Giza di Mesir. Ini merupakan satu penemuan pelik memandangkan tiada rekod kewujudan tamadun lama di kawasan ini.

Walau bagaimanapun, peminat teori konspirasi mendakwa piramid tersebut telah dibina oleh sebuah tamadun kuno yang belum dikenalpasti yang tinggal di Antartika kira-kira 100 juta tahun lalu. Mereka mendakwa Antartika pada ketika itu berada di titik Khatulistiwa, jadi ianya mempunyai suhu yang sesuai untuk diduki oleh manusia.

Para saintis walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa piramid yang didakwa itu berkemungkinan hanyalah sebuah gunung. Walau bagaimanapun, kerana diliputi salji yang tebal, bentuk sebenarnya tidak begitu jelas.

2. Kewujudan pangkalan rahsia Nazi

pangkalan rahsia nazi

Teori konspirasi ini wujud setelah pihak Nazi melancarkan sebuah ekspedisi rahsia ke Antartika pada tahun 1938 dengan membawa kelengkapan ketenteraan. Peminat teori konspirasi berpendapat bahawa pihak Nazi sedang meneroka kawasan baru untuk dijadikan pangkalan rahsia mereka disini.

Selain pangkalan rahsia bagi tenteranya, sesetengah pihak juga mendakwa bahawa ianya bakal menjadi tempat persembunyian Hitler sekiranya pihak Nazi kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Dakwaan ini walau bagaimanapun tiada asasnya. Malah, pihak Nazi juga didakwa hanya menghantar sebuah kapal ke kawasan ini untuk mencari tempat bagi memburu ikan paus. Malah mereka membatalkan ekspedisi ini apabila Perang Dunia meletus. Untuk jawapan panjang lebar mengenai teori ini, sila baca artikel kami "Pangkalan Rahsia Nazi di Antartika - Fiksyen atau Fakta?"

3. Tamadun Atlantis yang hilang terletak di bawah lautan Antartika

tamadun atlantis

Terdapat juga sebahagian peminat teori konspirasi yang mendakwa tamadun kuno Atlantis yang sudah lenyap sebenarnya terletak di bawah Antarika. Teori ini tercetus pada tahun 1950-an apabila seorang sejarawan Professor Charles Hapgood mendakwa Antartika pernah menjadi tempat tinggal sebuah tamadun kuno yang belum dikenalpasti.

Beliau percaya bahawa kawasan Antartika tidak diliputi dengan salji kira-kira 11,600 tahun lalu, menjadikannya sesuai untuk didiami satu ketika dahulu. Peminat teori konspirasi mendakwa Professor Charles Hapgood benar, tetapi mengatakan bahawa tamadun kuno yang tidak dikenalpasti itulah sebenarnya Atlantis.

Pada tahun 1995, Graham Hancock dalam kajiannya bertajuk Fingerprints of the Gods mengatakan orang-orang Atlantis inilah yang telah berhijrah dari Antartika ke seluruh dunia dan mewujudkan kerajaan Aztec, Mayan dan Mesir Purba. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang dapat membuktikan kesahihan kajian ini. 

4. Tempat pendaratan UFO

kesan alien terhempas

Sekumpulan peminat teori konspirasi yang juga merupakan penjejak alien mendakwa mereka telah menemui bukti pendaratan UFO di Antartika. Kumpulan ini membuat konklusi ini setelah membuat kajian terhadap satu kesan terhempas yang mereka temui melalui laman Google Earth.

Menurut mereka, kesan hempasan ini dapat dilihat pada garisan panjang daripada puncak gunung dan jatuh ke bawah. Mereka mendakwa UFO mungkin melanggar puncak gunung dan terhempas sebelum jatuh ke bawah. Ahli geologi walau bagaimanapun tidak bersetuju dan mengatakan garisan tersebut dihasilkan oleh avalanche, iaitu fenomena salji runtuh di kawasan pergunungan.

5. Antartika tidak wujud

tembok besar antartika

Ini mungkin teori konsprasi yang paling pelik dalam senarai ini. Teori ini diutarakan oleh golongan "flat earther" yang mempercayai bahawa bumi berbentuk rata. Golongan ini percaya bahawa Kutub Utara terletak di tengah bumi manakala Kutub Selatan pula terletak di bahagian tepi yang mengelilingi bumi.

Mengikut kepercayaan mereka, Antartika adalah tembok tebal setelah 30 - 60 meter yang mengelilingi bumi. Dinding inilah yang menghalang segala yang ada dimuka bumi ini daripada terjatuh daripada sudut atau tepi bumi. Mereka turut mendakwa tidak boleh membuktikan perkara ini kerana United Nation telah mengisytiharkan kawasan Antartika sebagai kawasan larangan membuat penerbangan (no-fly zone).

Golongan ini mengatakan bahawa selain beberapa agensi kerajaan, pelayar British Kapten Cook merupakan antara hanya beberapa manusia yang pernah melihat tembok besar ini dalam pelayarannya ke Antartika. Beliau mengatakan Kapten Cook pernah melihat kewujudan tembok ais besar di lautan Antartika dan tidak berupaya untuk memanjatnya kerana ianya begitu tinggi.

Kredit:

  1. Thought Catalog
  2. The Ohio State University
  3. Unilad
  4. Newshub



Hakcipta iluminasi.com (2017)