Oleh pada 10 Jan 2022 kategori

Semua bersetuju bahawa tahun 2020 adalah tahun yang agak buruk bagi kebanyakan orang di seluruh dunia. Malah, keadaan buruk disebabkan wabak COVID-19 ini berterusan pada tahun 2021.

Walaupun tahun 2020-2021 merupakan tahun yang sukar bagi kebanyakan orang tetapi ia bukanlah tahun yang paling teruk dalam sejarah. Sebenarnya, ada lagi kejadian lain yang dianggap jauh lebih buruk daripada zaman wabak COVID-19.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anda mungkin bersyukur kerana tidak hidup pada tahun-tahun yang akan disenaraikan di bawah ini. Berikut adalah beberapa diantara tahun terburuk dalam sejarah.

1. Tahun 536

tahun 536

Abad ke-6 Masihi bukanlah waktu yang baik bagi peradaban manusia atas beberapa sebab. Tahun 536 Masihi merupakan salah satu tahun terburuk dalam sejarah di mana pada tahun itu juga, berlaku satu "kegelapan" selama sedekad.

Kegelapan yang dimaksudkan berpunca daripada letusan gunung berapi di Iceland yang mengakibatkan sebahagian besar Eropah diliputi kabus tebal yang gelap. Malah, letusan kuat itu turut mengubah iklim dunia sehingga menyebabkan kejadian seperti kebuluran, kematian dan wabak yang meluas.

Suhu ketika musim panas pada tahun itu menurun sebanyak 1.6-2.7°C sehingga menyebabkan turunnya salji pada musim panas di China. Tahun 536 Masihi juga menjadi permulaan kepada dekad paling sejuk sepanjang 2,300 tahun yang lalu.

2. Tahun 1918

spanish flu 892

Pada tahun terakhir Perang Dunia Pertama, orang ramai menyangka zaman kegelapan manusia akan berakhir. Malangnya, tahun 1918 bukanlah penamat kepada penderitaan apabila timbul pula sejenis penyakit yang tersebar hampir ke seluruh dunia.

Pada tahun itu, munculnya wabak yang dikenali sebagai Spanish Flu yang disebabkan oleh virus Influenza A H1N1. Kes pertama dikesan pada anggota tentera yang kembali ke pangkalan di Kansas, Amerika Syarikat, pada 1918. 

Dalam hanya dua tahun sahaja, hampir 500 juta orang atau kira-kira satu pertiga populasi dunia pada waktu itu telah dijangkiti virus ini. Spanish Flu dianggap sebagai wabak selsema paling membunuh setakat ini.

Sebenarnya, Spanish Flu tidaklah begitu bahaya tetapi apabila digabungkan dengan kesan Perang Dunia Pertama seperti kekurangan zat makanan, kebersihan yang teruk dan banyak lagi faktor lain, ia memberi kesan yang sangat teruk.

Spanish Flu ini dipercayai telah menyebabkan kematian sebanyak 25 hingga 50 juta orang di seluruh dunia.

3. Tahun 1945

ww2

Tidak dinafikan bahawa Perang Dunia Kedua (1939-1945) merupakan konflik paling teruk dalam sejarah dunia. Jumlah kematian di seluruh dunia akibat konflik ini adalah paling tinggi dalam mana-mana peperangan. Namun, tahun 1945 adalah yang terburuk.

Walaupun Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945 tetapi ia dibayar dengan harga yang tinggi. Pada tahun itu, dua bom atom dijatuhkan di Jepun mengakibatkan sehingga 400,000 kematian. Serangan bom sebanyak 2000 tan di Tokyo pula telah menyebabkan sehingga 130,000 melayang.

Pada tahun yang sama juga, regim Nazi Jerman menggandakan usaha mereka menghapuskan etnik Yahudi sebanyak yang mungkin bagi menutup jenayah perang mereka.

Perang Dunia Kedua telah mengakibatkan kematian di antara 70 hingga 85 juta orang di seluruh dunia. Walaupun perang tamat, kesan daripada perang menyebabkan kehidupan yang sukar di seluruh dunia.

4. Tahun 1347

black plague

Tidak dinafikan bahawa pandemik COVID-19 adalah teruk tetapi ia adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan Wabak Hitam atau Black Plague.

Pada permulaan 1346, wabak bubonic tersebar ke seluruh Eurasia dan Afrika Utara di mana ia membunuh lebih ramai orang dalam sejarah pandemik dunia. Wabak itu kali pertama dikenalpasti di Crimea pada 1347 dan dari situ, ia tersebar dengan pantas.

Wabak ini terbentuk disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Yersinia pestis yang dibawa oleh kutu. Malangnya, wabak itu juga tular melalui sentuhan dan menjadikannya berbahaya untuk menjaga atau menguruskan pesakit wabak itu.

Jumlah sebenar kematian sukar ditentukan kerana tiada data yang tepat pada waktu itu tetapi pakar berpendapat sebanyak 75 hingga 200 juta nyawa terkorban dalam tempoh lapan tahun. Ketika ia berakhir pada 1353, sebanyak 60% populasi Eropah terkorban akibat wabak ini.

5. Tahun 541

justinian plague

Ramai mengetahui mengenai wabak bubonic melalui Black Plague atau Black Death yang melanda Eropah pada kurun ke-14. Namun, ia bukanlah kali pertama wabak itu mengancam manusia.

Rekod pertama mengenai wabak itu adalah pada tahun 541 dan ia dikenali sebagai Wabak Justinian kerana ia berlaku pada pemerintahan Rom yang diterajui oleh Maharaja Justinian.

Wabak Justinian ini tersebar ke seluruh Eropah dan Asia. Gelombang pertama wabak ini berlangsung dari tahun 541 hingga 549 tetapi ia tidak berakhir begitu sahaja. Jangkitan wabak ini berlarutan sehingga ratusan tahun dan manusia terpaksa hidup dengannya sehinggala kurun ke-8.

Constantinople (kini Istanbul) adalah yang paling terjejas di mana sebanyak 60% populasinya maut. Setiap hari, Wabak Justinian ini mengorbankan sehingga 10,000 nyawa di seluruh dunia. Secara keseluruhannya, dianggarkan sehingga 50 juta orang terkorban akibat wabak ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)