undang undang kahwin pelik

Bukan semua pihak setuju berlakunya perceraian namun dalam sesetengah situasi, hanya perpisahan adalah jalan terbaik kepada satu pasangan suami isteri.

Jika anda dapat hadir ke mahkamah syariah bagi mendengar kisah-kisah tuntutan cerai baik dari pihak suami mahupun isteri, kami yakin anda pasti akan merasa sukar mempercayai apa yang boleh berlaku antara dua kekasih.

Di negara kita konflik yang tidak lagi boleh diubati memaksa cerai atau talak dilafaz. Ada juga negara berbeza yang membenarkan kaedah perceraian dan perkahwinan berlaku secara unik - berlandaskan pegangan masyarakat mereka.

1. Jepun amalkan 'tempoh iddah' untuk wanita

jepun tunggu 100 hari perkahwinan

Tahukah anda dalam undang-undang rasmi negara Jepun, wujud peraturan yang menghalang seseorang wanita daripada berkahwin (dengan lelaki lain) sehingga 6 bulan tarikh perceraiannya?

Agak mirip dengan tempoh iddah yang diamalkan oleh wanita Muslim khasnya di Malaysia, tujuan diperkenalkan peraturan ini sejak 1890 adalah untuk memastikan status bapa kepada seorang bayi mudah dikenalpasti.

Selepas seorang wanita bertindak mencabar undang-undang ini di mahkamah tinggi Jepun pada tahun 2015 - tempoh menunggu ini ditarik balik, membolehkan seorang wanita terus berkahwin terus selepas bercerai.

Bagaimanapun, seorang wanita yang mengandung ketika perceraian masih perlu menunggu tempoh 100 hari sebelum berkahwin semula. Lelaki Jepun pula tidak tertakluk kepada apa-apa sekatan selepas bercerai.

2. Pasangan perlu membayar semula kos pengajian selepas perceraian

peraturan bayar balik yuran pengajian

Bayangkan anda bersusah payah bekerja mencari rezeki, sementara pasangan anda pula memilih untuk melanjutkan pendidikan. Bagi membantu beliau, anda pun turut sama menyumbang pendapatan anda dalam memastikan pengajian pasangan anda berjalan lancar.

Apa berlaku kepada kos itu, sekiranya anda dan pasangan anda bercerai?

Itulah persoalan yang cuba dirungkaikan kerajaan tempatan California, meluluskan undang-undang membenarkan individu menebus semula semua kos yang dikeluarkan untuk tujuan pendidikan pasangan mereka selepas berlaku perceraian. Dengan syarat kelulusan pendidikan yang lebih tinggi itu membawa pendapatan lebih besar, kepada bekas pasangan mereka.

Semua wang yang dikeluarkan untuk membayar yuran pendidikan, buku dan belanja harian boleh dituntut semula pasangan, berdasarkan kepada sebuah kes yang berlaku pada tahun 1982.

Dalam kes tersebut, seorang wanita melakukan tuntutan mahkamah ke atas potensi pendapatan suaminya yang (pada waktu itu) telah bergelar seorang doktor, hasil sambung belajar semasa pasangan itu masih berkahwin.

Bagaimanapun mahkamah menolak tuntutan tersebut, tetapi melakukan pindaan undang-undang membenarkan wanita tersebut menuntut semua kos yang telah dikeluarkan untuk membantu pengajian bekas suaminya.

3. Berapa kali anda boleh mengahwini seseorang semula?

peraturan cerai kentucky amerika syarikat

Jika Jepun mempunyai undang-undang mirip tempoh iddah, negeri Kentucky di Amerika Syarikat pula mempunyai peraturan yang mirip dengan perceraian talak ketiga dalam Islam.

Semua pasangan di Kentucky hanya dibenarkan mengahwini individu yang sama, sebanyak 3 kali. Tidak ada kali keempat! Walaupun kes sebegini jarang sekali berlaku, negeri tersebut menjadi satu-satunya negeri di Amerika Syarikat yang mempunyai undang-undang sebegini.

Seandainya perkahwinan tetap dijalankan, perkahwinan itu dianggap tidak sah oleh negeri tersebut dan tidak akan didaftarkan. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh mendaftarakan perkahwinan mereka di negeri-negeri yang tidak melaksanakan undang-undang ini.

4. China wajibkan tempoh bertenang sebelum isytiharkan cerai

china marriage law 1950

Dalam pengisytiharan yang dibuat pada bulan Mei tahun 2020, kerajaan China mewajibkan semua pasangan yang melakukan tuntutan cerai menunggu selama 30 hari sebelum rekod perceraian mereka dimaktubkan.

Tempoh tersebut dipercayai diperkenalkan, bagi membolehkan pasangan-pasangan di China yang ingin bercerai agar dapat memikirkan semula kesan dan risiko tindakan mereka. Selain itu, ada juga pihak mengatakan langkah itu diperkenalkan bagi mengawal kadar perceraian di China yang terlalu tinggi.

Tidak dinafikan pengenalan tempoh bertenang itu ada baiknya daripada beberapa perspektif. Bagaimanapun, apa berlaku selepas itu sedikit sebanyak akan menyulitkan individu yang terlibat.

Seandainya hanya salah seorang daripada pasangan menarik balik tuntutan cerai ekoran perubahan fikiran, satu lagi pihak yang tetap mahu perceraian berlaku haruslah mengemukakan tuntutan baru atau dalam kes lebih ekstrim, memfailkan tuntutan saman ke atas pasangan.

Proses ini dilihat tidak adil khasnya apabila melibatkan golongan wanita, yang merasakan tempoh tersebut hanya menyukar dan melengahkan proses. Apatah lagi jumlah kes tuntutan cerai di China setiap tahun, biasanya 70% daripada jumlah kes dimulakan oleh pihak isteri yang sudah tidak tahan dengan suami.

5. Perancis masih benarkan perkahwinan selepas seseorang mati

perancis perkahwinan selepas kematian

Pada tahun 2009, seorang wanita bernama Magali Jaskiewicz berjaya mendapatkan kebenaran untuk melangsungkan perkahwinan, dengan teman lelakinya selama 6 tahun bernama Jonathan George.

Hasil hubungan itu, kedua-duanya mempunyai dua orang anak. Malang bagi mereka belum sempat berkahwin, satu kemalangan jalan raya mengorbankan George - dua hari selepas kedua-duanya hadir ke pejabat pendaftaran untuk mengumumkan rancangan perkahwinan mereka.

Jackiewicz menggunakan undang-undang lama yang masih wujud di Perancis sejak awal abad ke 19, membenarkan apa yang dinamakan 'necrogamy' - perkahwinan seseorang dengan seorang yang telah meninggal dunia, terkandung dalam Artikel 171 Kod Sivil Perancis.

Diamalkan bagi melindungi kedudukan dan hak wanita khasnya serta kanak-kanak yang lahir di luar pernikahan bagi mengesahkan status bapa sebenar mereka, undang-undang ini mengiktiraf semua hak yang ada pada seorang isteri yang sah dalam bidang pewarisan harta, penamaan waris dan sebagainya - walaupun perkahwinan hanya dibuat selepas meninggal dunia.

Bagaimanapun tuntutan perkahwinan jenis ini hanya akan diterima sekiranya ada alasan kukuh kenapa perlu diterima.

Pemohon juga perlu membuktikan wujud niat jelas si mati ingin mengahwini pemohon melalui permohonan pendaftaran seperti kes Jaskiewicz, pembelian cincin atau baju pengantin, pengedaran kad jemputan majlis dan juga pengakuan bersumpah pihak ibu bapa pemohon/si mati yang terlibat.

Begitulah keanehan dan keunikan undang-undang Perancis yang masih membenarkan seseorang mengahwini si mati, membolehkan seorang individu terus bergelar balu atau duda tanpa sempat bergelar suami isteri yang sah.

Rujukan

Japan: New Instructions Allow Women to Remarry 100 Days After Divorce

California Divorce and Education Expenses

Why China’s divorce law is so controversial



Hakcipta iluminasi.com (2017)