Oleh pada 18 Mar 2023 kategori

Rangkaian restoran McDonald's atau lebih dikenali sebagai 'McD' atau 'Mekdi' di Malaysia, merupakan pemandangan biasa di negara kita.

Terkenal sebagai pendahulu dalam inovasi perkhidmatan restoran makanan segera, McD bukan saja terkenal dengan menunya bahkan turut dikenali sebagai syarikat yang cukup mementingkan kebajikan pekerjanya.

Corak pengiklanannya juga kreatif serta menarik. Siapa boleh lupa fenomena iklan ayam goreng McD yang mengakibatkan jualan ayam goreng restoran itu meningkat mendadak?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu bentuk promosi McD yang diamalkan khususnya di Amerika Syarikat belum pernah didengari lagi berlaku di Malaysia, adalah penganugerahan kad emas McD kepada pelanggan.

Apa untungnya memiliki kad tersebut? Jom kita sama-sama baca. 

Kad yang menghadiahkan hidangan percuma

kad emas mcd warren buffett

Bukan mudah untuk jenama menjalankan kempen promosi yang layak bergelar efektif dalam menarik pelanggan.

Mengetahui kekangan ini pengasas McD, mendiang Ray Kroc telah memulakan pemberian kad berwarna merah jambu yang dinamakan sebagai 'Be Our Guest Card', menghadiahkan pelanggan terpilih peluang menikmati hidangan percuma sepanjang hayat.

Kad eksklusif ini hanya dikeluarkan oleh Kroc kepada mana-mana individu yang pernah terlibat sama-sama membantu beliau, sebagai membalas jasa dan bantuan mereka membangunkan restoran McDonald's semasa era awal penubuhannya.

Kad itu membolehkan pemegangnya berkunjung ke mana-mana cawangan McD yang ada, memesan apa saja yang mereka mahukan tanpa had. 

kad be our guest mcdonalds

Salah seorang penerima kad ini adalah ayah kepada calon bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney yang tewas kepada Presiden Barrack Obama dalam pemilihan tahun 2012. 

Ayah beliau George Romney merupakan pegawai pelatih kumpulan awal pekerja restoran McDonald's. Jasa beliau membantu melancarkan sistem pengendalian dan pengurusan kru restoran ketika mereka baru bertatih hendak bergerak, sangat dihargai Kroc.

Lucunya setiap kali George Romney cuba menggunakan kad itu, dia akan berhadapan situasi awkward dek rasa sangsi pekerja yang menguruskan pesanan.

Bagaimanapun setakat apa yang diceritakan anaknya, belum pernah pesanannya ditolak dan George Romney menggunakan manfaat itu sekerap mungkin menjamah burger kegemarannya.

Pengenalan kad yang lebih jitu

hidangan standard mcd

Menyedari ada kesan positif timbul akibat kemurahan hati Kroc, pengurusan McD mula memperbaiki sistem ini agar lebih berkesan.

Hasil populariti McD bukan saja sebagai sebuah restoran makanan bahkan sebagai identiti budaya ala Amerika, menarik lebih ramai individu berpengaruh dan ternama menjadi pelanggan setia mereka.

Tahu reaksi positif sekiranya sistem kad sama dianugerahkan kepada individu penting dalam masyarakat, McD mula memberikan kad yang dikenali sebagai kad McDonald's Gold Card atau kad emas McDonald's kepada individu terkenal yang juga peminat setia menu mereka.

Ada beberapa individu pengurusan atasan ditauliahkan layak mengeluarkan kad emas McD, yang kini digubah menjadi kad berwarna emas; membenarkan mana-mana pemegangnya makan di McD secara percuma. 

Setakat apa yang dilaporkan, hanya dua individu mempunyai kuasa sebegini iaitu mendiang Ray Kroc sendiri serta seorang lagi pengurus bernama Herb Peterson, eksekutif pemasaran dan saintis makanan yang mencipta burger telur Egg McMuffin pada tahun 1972. 

Mereka yang ditauliahkan berhak menghadiahkan kad emas McD kepada mana-mana individu yang dirasakan telah menyumbang jasa kepada masyarakat. 

Dua pemegang kad emas McD yang paling berprofil tinggi adalah hartawan terkenal Warren Buffet serta pengasas syarikat Microsoft dan juga bekas orang paling kaya dunia, Bill Gates.

Walaupun demikian ada perbezaan ketara antara manfaat kad emas McD milik Buffet dan kad milik Gates yang perlu kita ceritakan.

Bukan semua kad emas sama

kad emas milik rob lowe

Pada awalnya kewujudan kad ini hanyalah antara khabar angin yang sering berlegar diceritakan orang ramai. Hanya selepas Warren Buffet mengesahkan kewujudannya - ketulenannya tidak lagi diragui.

Walaupun demikian kad emas milik Buffett hanya membenarkan Buffett menuntut hidangan percuma di mana-mana cawangan restoran McD yang terletak dalam Omaha, Nebraska - negeri kelahirannya.

Jika dia cuba makan di McD yang terletak di daerah berbeza, dia perlu membayar harga hidangannya.

Kad emas McD milik Bill Gates istimewa, kerana memberikan Gates kelebihan makan di mana-mana saja cawangan McDonald's di seluruh dunia secara percuma.

Setakat apa yang kita tahu hanya Bill Gates disahkan memegang kad emas yang memberikan faedah sebegini, tetapi ada kemungkinan wujud ramai lagi individu lain yang belum memunculkan diri mereka.

jimmy kimmel rob lowe mdconald kad emas

Aktor Hollywood, Rob Lowe juga merupakan pemegang kad emas McD, kerana keluarga beliau mengenali anak kepada Herb Peterson, David Peterson yang mewarisi rangkaian restoran McD daripada ayahnya di Santa Barbara, California.

Peterson menghadiahkan Lowe sekeping kad emas yang membolehkan Lowe menuntut makanan secara percuma dari mana-mana McD di Santa Barbara selama setahun. Sebarang tuntutan selepas itu tidak akan dilayan.

Anda nak makan percuma selama-lamanya?

charles ramsey mcdonalds selamatkan mangsa culik

Anda mungkin bertanya - orang biasa tak ada peluang ke mendapatkan kad serupa? Boleh! Ada satu kisah menjadi bukti dunia nyata.

Tindakan berani seorang lelaki bernama Charles Ramsey (gambar atas) menyelamatkan mangsa culik yang telah hilang akibat dikurung di dalam satu rumah berdekatan kediamannya pada tahun 2013 menjadikan Ramsey wira segera.

Lucunya pada hari kejadian Ramsey baru pulang ke rumah dari McDonald's sedang cuba menjamah Big Mac, sebelum dia mendengar jeritan meminta tolong. Ramsey berlari keluar sambil tangannya terus memegang Big Mac yang sedang dimakan untuk meninjau apa yang berlaku.

Tindakan Ramsey dengan bantuan seorang lagi jirannya pada tarikh 6 Mei tahun 2013 berjaya menyelamatkan mangsa yang telah dilaporkan hilang sejak 23 Ogos 2002. 11 tahun dua orang wanita mangsa kes ini diculik!

Dalam setiap temuramah Ramsey bersama wartawan selepas penjenayah berjaya ditahan, dia akan menceritakan tentang apa yang dia lakukan sebelum menemui mangsa; memetik bagaimana dia sedang makan Big Mac dan baru pulang dari McDonald's.

Atas jasa baik Ramsey memecahkan pintu besi yang mengurung mereka, McDonald's menghadiahkan Ramsey kad yang membolehkan beliau makan di mana-mana restoran McD percuma selama setahun.

Legasi kad emas diteruskan

kad emas mcgold card em370

Pada tahun 2022 pengurusan McDonald's di Amerika Syarikat memulakan kempen promosi kad emas secara rasmi.

Mereka membuka peluang kepada 3 orang peminat setia menu McD memenangi kad emas McD dengan melakukan pesanan melalui aplikasi, yang akan membolehkan pemenangnya memesan hidangan percuma dua kali seminggu sehinggalah usia kad itu mencapai 50 tahun, tidak melebihi $10 (RM44.80) sekali pesanan.

Lebih menarik, 3 pemenang yang terpilih akan turut diberikan 3 lagi kad tambahan membolehkan dia berkongsi tawaran itu dengan 3 lagi individu lain. Sayangnya tawaran ini hanya dibuat di Amerika Syarikat sahaja.

Kami rasakan dengan menulis artikel yang best ini, kami sekurang-kurangnya berhak mendapat kad emas khusus untuk kami. Dapat tebus makanan free sebulan sekali pun cukuplah.

Boleh tak bagi kami kad emas McDonald's Malaysia, sekeping pun cukuplah. Kalau nak bagi 3 pun, apa salahnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)