Oleh pada 11 Jun 2017 kategori

Dalam banyak-banyak masyarakat dalam Malaysia ni, yang selalu jadi sasaran adalah orang Kelantan.

Semua benda yang buruk akan dikaitkan dengan Kelantan daripada lelakinya yang dikatakan buruk perangai sehinggalah kepada wanitanya yang dikata hanya mampu menerima lelaki senegerinya.

Adakah benar dakwaan itu? Adakah patut orang Kelantan dilabelkan sedemikian rupa atau ini hanyalah satu persepsi yang ramai orang ambil kerana terpengaruh dengan aliran pemikiran yang tak sepatutnya wujud?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah senarai beberapa stigma yang diperkatakan tentang orang Kelantan yang tersebar ke seluruh pelusuk negara kita.

1. Orang Kelantan hanya berkawan dengan orang Kelantan

iluminasi orang kelantan stigma7

Ini yang paling banyak tersebar dan rasanya ramai antara kita memiliki persepsi ini. Masalahnya, jika difikirkan, anda ada tak kawan orang Kelantan yang rapat dengan anda? Mesti ada. Pernah tak anda terfikir kenapa dia berkawan dengan anda pula? Bagaimana seseorang yang mempunyai rakan dari Kelantan boleh percaya orang Kelantan hanya berkawan dengan orang Kelantan?

Tak dinafikan di antara orang Kelantan memang rapat hubungan mereka, tetapi tidak adillah kalau kita kata saing (kawan) dia sahaja. Sama saja kalau orang Kedah jumpa orang Kedah baru cakap Kedah atau orang Negeri girang orang Negeri, semua rumpun masyarakat kita sebenarnya memang akan merasakan hubungan apabila dilahirkan di negeri yang sama.

2. Orang Kelantan pengotor

iluminasi orang kelantan stigma6

Sedih gila kalau saya orang Kelantan. Dah la dikata sombong, pengotor pulak tu. Seolah-olah digambarkan yang Kota Bharu tu berlonggok sampah merata-rata. Kika anda pergi ke bahagian pedalaman Kelantan, khasnya bahagian pantai, memang la nampak macam kotor. Kampung nelayan memang la sebegitu.

Saya akui Kelantan tidaklah 'semoden' Pahang atau mana-mana negeri di pantai barat Malaysia tetapi semua negeri ada masalah kekotoran ni. Pada hemat saya, negeri yang paling suka meludah merata-rata rasanya datang dari sebuah negeri di selatan Malaysia Adilkah saya kata semua orang negeri itu pengotor?

Ini masalah persepsi yang tidak adil diletakkan kepada mereka.

3. Orang Kelantan ganas dan suka bergaduh

iluminasi orang kelantan stigma8

Sehingga sekarang sentimen ini dipegang terutamanya apabila berlaku perlawanan bola sepak di antara Kelantan dan mana-mana negeri lain dalam negara. Penyokong Kelantan dikhabarkan ganas, suka cari gaduh dan kurang bertamadun dalam stadium. Pemain Kelantan pula walaupun dilahirkan di negeri lain, asal main Kelantan, dia akan jadi ganas dan nak sepak orang saja atas padang.

Persoalannya, adakah penyokong dan pemain negeri lain tidak ada melakukan perkara yang sama? Ada saja. Stigma ini juga terbawa di kalangan pelajar universiti sehinggakan ada wujudnya kumpulan-kumpulan pelajar yang enggan menerima pelajar Kelantan dalam kumpulan mereka, kerana orang Kelantan ini dianggap keras kepala.

4. Lelaki Kelantan pervert

iluminasi orang kelantan stigma3

Setiap kali ada laporan berkenaan perkara lucah pasti akan ada saja laporan yang mengatakan Kelantan sebagai negeri paling ramai mencari benda tersebut. Selain itu lambakan video lucah Melayu juga banyak nampaknya datang dari Kelantan. Kenapa ini berlaku?

Jawapannya cukup mudah. Orang Kelantan mudah dikenal pasti melalui dialeknya yang cukup pekat. Jika pelaku video lucah itu menggunakan dialek Kelantan, amat mudah untuk kita mengenalpasti dari mana asal video itu. Tapi kalau dia orang Selangor macam mana? Orang KL? Orang Johor? Negeri-negeri di mana dialeknya tidak begitu pekat. Masalah ini juga dihadapi oleh orang-orang Kedah, kerana berpunca daripada legenda video Kompleks Peruda satu masa dulu, Kedah juga kini diberikan stigma yang sama juga.

5. Lelaki Kelantan malas, Perempuan Kelantan rajin

iluminasi orang kelantan stigma2

Aduhai, mudahnya kita meletakkan stigma dan stereotaip kepada lelaki dan wanita Kelantan sedangkan masalah ini berlaku di mana-mana negeri. Yang uniknya mengenai Kelantan adalah memang kebanyakan tokoh usahawan adalah wanita, ditambah lagi dengan salah satu lokasi ikonik Kelantan iaitu Pasar Besar Siti Khadijah, peniaganya majoriti datang dari golongan wanita.

Lihatlah sekeliling anda, adakah segala stereotaip yang berlegar-legar ini benar? Lihat rakan anda. Lihat ahli keluarga anda kalau ada.Kita semua tahu perkara ini tak betul tapi 'seronok' sebenarnya mengeji orang Kelantan sehinggakan ada lah gadis-gadis yang mati-mati tak nak kahwin dengan orang Kelantan.


Jika anda tanya saya apa solusinya, saya tak nak bagi solusi. Benda ini stigma. Nak melawan stigma, satu-satunya cara adalah dengan membuang persepsi yang kita ada itu dengan melihat sendiri apa yang benar-benar berlaku.

Semua orang sama saja, tak kiralah dari negeri mana dia datang. Ada yang bai, buruk, pengotor, pembersih, pervert, suka bergaduh, ganas, panas baran, memilih, bajet lawa, bajet orang tergilakan dia dan bermacam lagi sifat normal yang ada pada kita. Perkara begini tak ada solusinya, jadi kita sendiri kena usahakan supaya tidak mudah mempercayai sesuatu yang kita sendiri sangsi, kerana amat mudah untuk kita terkeliru perbezaan antara fitnah dan fakta.

Kebanyakan stigma berkenaan orang Kelantan adalah perkara-perkara yang tidak dapat dibuktikan jadi, saya harap kita dapat berhentilah memfitnah dan mula menilai setiap individu sebagai individu yang berlainan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)