Oleh pada 03 Apr 2018 kategori

produk china kilang china timbang kilo

"Made in China."

Perkataan itu menjadi satu perkataan yang membawa persepsi buruk ekoran syarikat-syarikat besar dunia mula mengambil peluang tenaga buruh berkemahiran yang ada di China, dalam usaha merendahkan kos pengeluaran. Pada ketika ini majoriti peranti elektronik yang ada, dihasilkan di China.

Stigma terhadap produk China walaupun nampaknya semakin menghilang hari demi hari, tetap tidak luntur. Seperti sudah tersemat dalam minda ramai ahli masyarakat kita khasnya, produk China tidak elok. Ini membuatkan kita lebih selesa untuk tahu sesebuah produk yang bakal kita beli, lebih berkualiti sekiranya direka dan dibangunkan oleh syarikat bukan dari China, walaupun dibuat di China.

Samsung, Apple dan Nokia menjadi kegilaan ramai pembeli peranti telefon pintar kerana kita menilai pada kekuatan jenamanya dan negara asal jenama tersebut. Jenama China yang dibuat di China pula berdepan persepsi buruk sejak mula, walaupun besar kemungkinan kilang pembuatnya terletak di daerah sama, kilang sama serta dipasang oleh operator pengeluaran yang sama dengan jenama-jenama lain.

Bagaimana barangan 'Made in China' mendapat reputasi buruk?

supplier china import barang china

Pernahkah anda tonton drama barat yang memaparkan pengantin baru girang mahu membeli apa yang mereka gelarkan sebagai 'China pattern'? Frasa itu merujuk kepada set pinggan mangkuk yang hanya dihasilkan di China, menggunakan teknik lukisan tangan. Ini membuatkannya bersifat eksklusif serta mampu mencecah harga yang tinggi.

Ini membuktikan penerimaan masyarakat dunia terhadap produk China sebenarnya sangat baik. Produk seperti perabot , set pinggan mangkuk atau set minum teh bukan sekadar terkenal mempunyai nilai kualiti yang tinggi, malahan mempunyai elemen identiti budaya dan adat resam masyarakat China yang mampu diterima meluas banyak pihak luar. Bagaimanapun, China mula menjadi negara pengeluar kepada majoriti produk yang diguna pakai ketika ini - reputasi terhadap produk China mulai terhakis sedikit demi sedikit.

Khabar-khabar angin tentang penggunaan bahan yang berbahaya, sikap tidak mementingkan kualiti, pengeluaran produk yang tidak mengira tahap keselamatan pengguna serta desas-desus tentang kelonggaran kawalan ke atas produk-produk oleh kerajaan China sendiri, membawa reputasi buruk kepada produk China.

Ini diperkuatkan lagi dengan kisah pekerja-pekerja yang terpaksa bekerja dengan bayaran rendah dalam memastikan kos pengeluaran dapat diminimakan. Berita tentang kurangnya kesedaran syarikat-syarikat pengeluar terhadap hak pekerja sendiri, keselamatan fasiliti dan kepatuhan syarikat pengeluar dengan hak asasi manusia membuatkan reputasi produk negara itu, menurun lebih teruk.

Pengimport produk China ke negara mereka kerap berdepan masalah dengan barang yang tiba. Majoriti pengeluar dari China meletakkan syarat bayaran penuh sebelum produk di hantar. Terlalu banyak kes barangan yang tiba selepas pembayaran penuh dilakukan didapati bermasalah atau di bawah standard yang ditetapkan. Oleh kerana bayaran telah dilakukan, pengimport selalunya terpaksa menjual sahaja apa yang tiba serta menanggung kerugian kerana kos untuk menghantar semula dikatakan sukar.

Pembekal  dan pengeluar produk di China pula tidak ada insentif untuk meningkatkan kualiti, kerana mereka tahu pengimport tidak mahu memanjangkan masalah, asalkan produk sampai dan ada produk untuk dibuat jualan. Masalah mentaliti inilah yang dikatakan menyebabkan kualiti produk China menurun.

Meningkatkan nilai persepsi produk China

dunia sudah boleh terima produk made in china

Sejak bila persepsi pada produk China berubah? Agak baru sebenarnya. Di negara kita khasnya, walaupun penerimaan semakin lama semakin baik dalam beberapa industri dan jenama, industri kenderaan China masih lagi dipandang sinis masyarakat negara kita.

Individu yang membeli kereta jenama China pasti akan ditanya bermacam persoalan tentang keyakinan dia untuk membeli jenama tersebut, kerana masih wujud beberapa bidang yang stigma kita masih kuat.

Mengapa stigma ini wujud?

Walaupun kami sudah menyebutkan beberapa punca mengapa persepsi negatif wujud pada produk jenama China, penganalisa setuju sebab sebenar mengapa produk China menerima stigma itu adalah kerana harganya yang lebih murah berbanding jenama negara lain.

Apabila sesuatu produk itu terlalu sinonim dengan kategori 'produk murah', persepsi pembeli sukar untuk menerima produk murah mempunyai kualiti tinggi. Kita sudah dibiasakan dengan mentaliti 'if you paid peanuts, you get monkey' dan produk China adalah 'monkey' yang boleh dibeli dengan 'peanuts.' Harga rendah, kualiti rendah. Namun untuk terus menaikkan harga tanpa membina keyakinan pada produk terlebih dahulu adalah satu tindakan yang bodoh.

Bagi membantu meredakan stigma ini serta mendedahkan jenama China di mata dunia, semenjak tahun 2011 kerajaan China telah pun menyewa ruang iklan di Times Square di New York sehingga ke hari ini, untuk membantu mempromosikan apa saja tentang China termasuklah produk mereka. Kita juga boleh mendapati syarikat-syarikat China sudah mula membina jenama mereka dalam ruang pengiklanan besar seperti siaran langsung perlawanan bola sepak di England, misalnya.

Dasar pensyarikatan baru

chinese bikes pekerja berbasikal

Perubahan paling besar yang dilakukan oleh China pada peringkat nasional, adalah dengan mengubah dasar pemilikan syarikat mereka. 30 tahun dulu, lebih separuh syarikat di China adalah hak milik kerajaan. Kerajaan China sejak tahun 80-an menggalakkan warga China untuk berani membuka perniagaan sendiri dengan membanyakkan lagi kewujudan syarikat swasta.

Kewujudan syarikat-syarikat ini diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak inovasi. Ekoran status sebagai sebuah syarikat swasta yang perlu berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan, mereka bekerja keras untuk membentuk identiti sendiri agar dapat lari daripada stigma 'Made in China' sedia ada.

Kesannya dapat dilihat sekarang dengan munculnya banyak jenama dari China yang mempunyai identiti dan kualiti setanding dengan produk negara lain.

Kepentingan penjenamaan yang seiring dengan permintaan antarabangsa juga meningkat di kalangan pengeluar produk China. Semakin banyak syarikat mengubah jenama mereka yang sebelum ini hanya sesuai untuk pasaran China kepada nama lain.

Sebagai contoh jenama Lenovo, pembuat komputer terkenal sebelum ini sebenarnya menggunakan nama 'Lianxiang' untuk pasaran lokal dan 'Legend' untuk pasaran antarabangsa. Penggunaan nama Lenovo membantu penerimaan masyarakat dunia dibantu lagi dengan status Lenovo menjadi pemilik baru IBM pada tahun 2005 serta Motorola pada tahun 2014. Rekaan produk Lenovo juga menggunakan nama yang lebih komersial, seperti ThinkPad, IdeaPad dan IdeaCentre seiring dengan apa yang menjadi trend dunia.

Perubahan dasar kerajaan

industri cina berkembang maju

Dalam pasaran tempatan, kerajaan China memperkenalkan beberapa dasar dan langkah yang mengubah mentaliti bagaimana masyarakat China melihat diri mereka sendiri. Penjenamaan semula produk China, seperti Lenovo yang disebutkan sebenarnya bermula daripada penjenamaan semula masyarakat China.

Dengan peningkatan penglibatan syarikat swasta, dasar kerajaan China mula lebih berpandu kepada kepentingan melakukan inovasi berbanding hanya sekadar menjadi pengeluar produk secara pukal. Dana kerajaan disalurkan untuk membantu syarikat-syarikat yang dikenali untuk berpotensi dengan maju dan beberapa keistimewaan eksklusif diberikan dalam memastikan syarikat tersebut mempunyai ruang untuk bergerak dalam pasaran mereka. Inovasi diterapkan sebagai asas pembentukan industri moden di China.

Langkah paling penting yang diambil kerajaan China adalah dengan menjadikan negara mereka bukan lagi negara pengeksport produk, tetapi mula menggunakan jumlah penduduk negara mereka yang cukup tinggi sebagai sasaran pasaran.

Permintaan warganegara China terhadap produk yang menepati citarasa mereka yang semakin seiring dengan dunia luar dijadikan 'acceleator' ekonomi mereka. Kerajaan China menghadkan kemasukan produk import secara maya dan juga fizikal, lalu menggalakkan pembelian barangan tempatan dan servis tempatan pada peringkat pengguna domestik.

Cerdiknya langkah ini, secara automatik rakyat mereka menjadi 'pemeriksa kualiti' untuk produk-produk dan servis , dengan syarikat yang kurang mendapat sambutan baik dapat belajar untuk mempertingkatkan kualiti mereka, dalam memenuhi permintaan bakal pelanggan.

Bagi syarikat yang dikenalpasti mampu menghasilkan produk yang mencapai standard diharapkan, mereka kini mempunyai dana yang besar atas jualan yang tinggi didorong oleh tekanan kerajaan China ke atas rakyat mereka dalam memastikan pembelian produk tempatan berlaku. Ini menjadi asas dan modal syarikat-syarikat ini untuk terus melakukan teras inovasi dan penciptaan yang diharapkan berlaku.

Peranan gajet dalam menjadikan China kuasa ekonomi dunia

make america proud but made in china

Walaupun produk China masih lagi turun naik kualitinya bergantung kepada jenama - penerimaan terhadap produk 'Made in China Using China Brand' kini semakin meningkat, semuanya dipacu oleh peranan China sebagai pengeluar gajet terbesar di dunia.

Kemahiran pengeluaran di China juga semakin baik berikutan teknologi yang mereka miliki mampu menghasilkan produk gajet dalam kualiti yang baik, pada harga yang rendah. Amat berbeza dengan beberapa belas tahun lalu di mana produk China hanya dikenali dengan harganya murah dan kualitinya yang rendah.

Jenama seperti Xiaomi misalnya, bukan sekadar membuktikan mereka mampu menghasilkan produk berkualiti pada harga rendah malahan Xiaomi juga membuktikan semakin ramai pelanggan mampu menerima nama berunsurkan China sebagai jenama popular.

Inovasi 'skrin tanpa sempadan' yang dilakukan oleh Xiaomi dalam telefon konsep mereka iaitu Mi Mix kini menjadi ikutan pengeluar lain yang lebih terkenal seperti Samsung dan Apple, sehingga menjadi de facto standard pada telefon-telefon bertaraf 'flagship' jenama lain pada masa kini.

Xiaomi adalah satu contoh bagaimana China kini semakin berubah peranannya, bukan hanya sekadar pengeluar malahan berjaya menempatkan jenama mereka sebagai 'trendsetter' atau pemula trend. Semakin banyak kilang di China mula menggunakan khidmat pasukan penyelidikan dan pembangunan, membina prototaip produk secara sendiri dengan peranan jurutera kini semakin mendapat tempat di kilang-kilang sana.

sphero bb8 hasil teknologi baru china

Salah satu kilang rekaan yang semakin terkenal adalah Jetta Company Ltd. Anda mungkin tidak pernah mendengar tentang syarikat ini, tetapi mereka adalah syarikat yang dilantik oleh syarikat Amerika Syarikat, Sphero untuk mencari jalan bagaimana hendak mencipta sistem yang mampu membuatkan sebuah bebola bergerak dengan kawalan aplikasi telefon pintar ciptaan Sphero.

Dengan menggunakan hampir 600 orang jurutera dalam proses penyelidikan dan pembangunan, Jetta akhirnya berjaya menjumpai solusi terhadap idea Sphero dan seterusnya menggunakan teknologi mereka, untuk digunakan dalam penciptaan permainan berteknologi tinggi. BB-8, robot berbentuk sfera dalam siri trilogi baru Star Wars, menjadi contoh gajet moden yang dicipta hasil pembangunan inovasi di China.

Gesaan Presiden Donald Trump yang mahu syarikat-syarikat luar kembali membuka kilang di Amerika Syarikat serta kos tenaga buruh yang lebih murah di negara-negara Asia Tenggara memaksa China berubah, namun realitinya China sudah bersiap sedia untuk berubah tiga dekad lebih awal.

China semakin selesa menjadi pencipta teknologi baru, bukan lagi sebagai sebuah negara pengeluar produk semata-mata. Tempoh selama lebih tiga dekad digunakan sebaik mungkin kerajaan dan masyarakat China, untuk mengubah persepsi dunia terhadap produk 'Made in China' serta berjaya mengubah dasar negara mereka, menjadikan inovasi sebagai kepentingan utama dalam membentuk ekonomi mereka.

Walaupun stigma terhadap cop 'Made in China' masih lagi wujud, sudah pastilah cubaan China meletakkan 'kualiti melebihi kuantiti' ketika ini, akan berjaya mengubah persepsi kita - mungkin bukan sekarang atau esok, tapi satu hari nanti.

Rujukan

Iowa State University

Wharton University of Pennsylvania


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)