Oleh pada 20 Apr 2018 kategori

as theloaf 1304

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penutupan kedai roti, The Loaf kononnya dimiliki oleh Tun Mahathir. Tun Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan perniagaan tersebut.

Selain The Loaf, terdapat beberapa lagi perniagaan di negara ini yang terpaksa menerima nasib sama. Iluminasi.com memberikan senarai tersebut yang sesetengahnya masih menjadi tanda tanya akan punca mereka terpaksa menghentikan operasi.

1. Mega TV

mega tv

Kredit foto: Youtube Wan Ammar Wan Chek

Mega TV merupakan stesen televisyen berbayar pertama negara ini. Cableview Services Sdn Bhd ditubuhkan pada 18 Oktober 1994 dan dioperasikan oleh TV3. Pemancaran bermula pada 1 November 1995 melalui sistem penyiaran berdasarkan gelombang mikro dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Cableview Services Sdn. Bhd. dimiliki oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebanyak 40 peratus, Kementerian Kewangan (30 peratus), manakala Ibex TV (12.5 peratus), Eurocrest (12.5 peratus) dan Sri Utara sebanyak 5 peratus. Stesen itu mempunyai sembilan saluran iaitu CNN, Discovery, ESPN, AXN, Cartoon Network, CNNfn, Power TV, Arirang TV dan Vijay TV.

Mega TV dipancarkan dari ibu pejabatnya di Bandar Utama, di pinggir utara Petaling Jaya, Selangor. Pada peringkat awal siaran, Mega TV hanya tertumpu di sekitar Lembah Kelang. Mega TV merupakan satu-satunya sumber informasi yang menyeluruh pada ketika itu, sama ada dalam bidang sukan, hiburan, politik dan informasi luar negara.

Ia mula menghadapi persaingan sengit daripada pesaing utamanya, rangkaian televisyen satelit Astro yang dilancarkan 7 bulan kemudian. Kegagalan untuk memperluas kandungannya turut menjadi punca Mega TV terpaksa dibubarkan pada tahun 2001. Kegagalannya memecah pasaran televisyen berbayar menjadi bualan ramai.

Antara faktor kemerosotan stesen tersebut ialah masalah kutipan bayaran perkhidmatan, persaingan dengan stesen lain yang lebih kukuh, stesen tv percuma yang menyajikan rancangan terkini, perubahan nilai mata wang dollar Amerika dan krisis ekonomi yang teruk pada tahun 1998. Sejak itu, Mega TV terpaksa mengecilkan operasinya dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang diyakini mempunyai pelanggan sahaja.

Pada zaman kegemilangannya, pelanggan Mega TV dianggarkan berjumlah 166,000 orang. Pada tempoh akhir operasinya, jumlah itu menurun kepada hanya seramai sekitar 7,557 pelanggan. Kini, Astro dan HyppTV merupakan penyedia perkhidmatan TV berbayar di Malaysia.

2. Rayani Air

rayani air

Kredit foto: Facebook Rayani Air

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan keempat di dunia, selepas Royal Brunei Airlines (RBA), Saudi Arabian Airlines dan Iran Air. Tiada minuman beralkohol atau daging babi dihidangkan dan doa akan dibacakan setiap kali sebelum penerbangan.

Pengasasnya ialah pasangan suami isteri Ravi Alagendrran dan Karthiyani Govindan, iaitu rakyat Malaysia berketurunan India. Nama Rayani merupakan gabungan nama pertama kedua-dua mereka.

Pada 20 Disember 2015, penerbangan sulungnya ke Langkawi (RN600) membawa agensi media dan seramai 18 orang anak yatim berjalan dengan lancar. Pangkalannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk menarik pelancong ke pulau peranginan itu.

Rayani Air merancang untuk bekerjasama dengan Royal Brunei Airlines bagi mengukuhkan konsep syarikat penerbangan patuh syariah dalam industri penerbangan. Destinasi penerbangan Rayani Air ialah Kuala Lumpur (pusat utama), Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu. 

Pada Mac 2016, Rayani Air menghadapi beberapa isu dan banyak aduan yang menjadi tumpuan di beberapa saluran media. Penumpang mengadu bahawa syarikat penerbangan itu sering menjadualkan semula penerbangan sehingga tempoh 13 jam. Rayani Air juga didakwa sering membatalkan penerbangan tanpa notis awal dan pampasan atau bantuan kepada penumpang yang terjejas.

Malah, para juruterbang dikhabarkan enggan terbang kerana keadaan pesawat yang kurang baik. Tindakan syarikat penerbangan itu menggunakan pas masuk menggunakan tulisan tangan turut dikritik hebat kerana menimbulkan ancaman keselamatan kepada industri penerbangan. Gaji kakitangan juga gagal dibayar dan tertunggak.

Pada 13 Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan bahawa lesen Rayani Air dibatalkan kerana melanggar syarat dan kekurangan kemampuan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Rayani Air juga tidak mampu untuk membuat pembayaran balik bagi tiket penerbangan. Penarikan balik lesen Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) menyebabkan tiada pelabur yang mahu bekerjasama dengan mereka. Pihak pelabur yang telah memberikan komitmen memasukkan dana bagi menyelesaikan masalah itu telah menarik diri di luar jangkaan.

Disebalik semua ini, pemilik dan CEO Rayani Air, Ravi Alegandrran optimistik bahawa syarikat penerbangannya itu akan membuat kemunculan semula pada tahun 2017. Beliau mendakwa telah memperoleh pelabur baru untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi. Namun, sehingga kini, tiada maklumat terbaru dari syarikat penerbangan itu untuk menyambung semula operasi.

3. Paris Hilton Handbags and Accessories

paris hilton handbags and accessories

Kredit foto: Instagram @parishiltonhandbags

Francais tempatan butik dari Amerika Syarikat ini milik selebriti antarabangsa, Paris Hilton ini muncul pada tahun 2008. Paris Hilton merupakan cicit perempuan kepada pengasas Hilton Hotels, Conrad Hilton. Pada tahun itu, beliau telah mula meluaskan perniagaannya dengan melancarkan jenama aksesorinya sendiri. 

Jenama itu juga membuka beberapa kedai yang terletak di pusat membeli-belah Pavilion dan pusat membeli-belah 1 Utama. Namun, kedai-kedai terkenal butik itu telah ditutup sebaik populariti selebriti itu semakin pudar.

Walaupun pernah menjadi antara selebriti berprofil tinggi di dunia, jenama beg tangan dan aksesorinya gagal menarik minat rakyat Malaysia.

Beg tangan ini mula dijual secara murah di gedung seperti Parkson dan Sogo. Pada tahun 2014, laman Facebook rasmi berhenti menerbitkan sebarang kemas kini terbaru. 

Ditubuhkan pada tahun 2005 oleh sosialit itu, jenama itu masih dijual di tempat lain di seluruh dunia. Ia masih boleh dibeli di sini melalui pusat membeli-belah dalam talian, Lazada.

4. Gorgeous Fitness Gym

gorgeous fitness gym

Kredit foto: Facebook Jason Kee

Dilabel sebagai pusat kecergasan konsep gaya hidup yang pertama, Gorgeous Fitness mendapat reputasi buruk setelah membuat penutupan secara tiba-tiba tanpa memberikan sebarang notis awal. Mereka hanya menampal sebuah notis tulisan tangan di depan pusat kecergasan mereka di 1shamelin Mall.

Gimnasium ini dilaporkan berhutang mencecah RM700,000 bagi sewa kedai mereka. Sebuah kumpulan Facebook yang dipanggil "Permintaan Bayaran Balik dari Gorgeous Fitness 1 Shamelin" telah ditubuhkan oleh pelanggan yang tidak berpuas hati.

5. Western Digital Penang (WDLabs)

western digital

Kredit foto: Facebook Western Digital

Pada tahun 2016, Western Digital menutup menutup operasi kilangnya (WDLabs) di Pulau Pinang yang telah menyebabkan 1,200 orang yang terdiri dari rakyat tempatan dan pekerja asing hilang pekerjaan.

Syarikat penyimpanan data komputer ini menutup kilangnya di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memindahkan sebahagian besar operasinya ke negara jiran, Thailand.

Walaupun WD tidaklah gulung tikar sepenuhnya, namun penulis tetap masukkan dalam senarai kerana penutupan WDLabs menyebabkan hampir 2000 pekerja hilang pekerjaan.

Pada Februari 2017, Western Digital juga telah menjual tanah kilang tersebut dan tanah kosong yang terletak bersebelahan di Zon Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kini pengeluaran produk WDLabs yang terkenal seperti Raspberry Pi environment tidak lagi dikeluarkan namun masih ada dijual dalam kuantiti yang terhad. 

Rujukan:

1. Compare Hero

2. Wikipedia

3. Utusan Online [1,2]

4. Facebook Rayani Air

5. Malay Mail Online [1,2]

6. Says

7. Free Malaysia Today

8. Malaysia Kini

9. Edge Prop


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)