Setiap kali berlaku krisis rumahtangga, pasti ada satu atau dua pihak yang mudah menyuarakan solusi - agar perceraian dipilih. Mungkin mereka melihat bercerai itu mudah agaknya, mampu mengeluarkan pihak-pihak yang terseksa daripada belenggu hidup.
Realitinya bagi mereka yang telah berkahwin serta masih menyimpan harapan perkahwinan mereka boleh diselamatkan sekiranya dalam konflik, perceraian hanya sesuatu yang mudah diucap pada bibir...secara praktikalnya membawa kesulitan.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebelum anda menasihati individu yang bermasalah rumahtangganya bercerai, fikirlah masak-masak dulu. Berikut adalah lima sisi gelap memutuskan pernikahan jarang dibicarakan masyarakat kita secara terbuka.
1. Beban kewangan bertambah
Sebagai sebuah keluarga, satu perkara jarang disyukuri adalah bagaimana beban kewangan sesebuah keluarga itu mampu disatukan, dikongsi bersama hasil titik peluh suami dan isteri.
Pasangan yang duduk serumah berkongsi dalam pelbagai aspek, membolehkan mereka menanggung dan menyelia perbelanjaan dengan lebih baik. Perceraian hanya akan mengakibatkan jalinan ini terlerai dan beban sesama mereka yang kini asing bertambah.
Jika sebelum itu duduk sebumbung, perceraian akan mengakibatkan suami isteri perlu membawa haluan masing-masing. Bil-bil utiliti yang dulu hanya satu, kini perlu ditanggung dua kerana melibatkan dua lokasi hidup berbeza.
Perbelanjaan barangan dapur juga sebenarnya akan bertambah, disebabkan oleh perpisahan kerana. Jika sebelum ini ada satu motorsikal dan satu kereta, kenderaan baru perlu dibeli bagi memastikan setiap seorang ada kereta sendiri.
Lebih menakutkan, ada kemungkinan pasangan yang menerima hak penjagaan anak tidak mampu mengeluarkan belanja untuk menyara hidup semua ahli keluarga. Nak mengharapkan bekas suami atau isteri membantu dengan pertambahan belanja hidup dia yang kini sendirian - sebuah keluarga yang bercerai akhirnya lebih berisiko untuk berhadapan masalah kewangan.
2. Perubahan gaya hidup yang mendadak
Disebabkan perubahan tahap kemampuan kewangan yang menghimpit, hendak tak hendak bekas suami isteri akan mula mengubah dan meminda banyak perkara tentang gaya hidup.
Kegagalan untuk mengekalkan perbelanjaan yang sama seperti sebelum perceraian, akan menyebabkan banyak perkara perlu dikorban atau diturun taraf. Rumah yang didiami perlu dikecilkan, kemudahan seperti langganan TV dan internet perlu dikurangkan. Kereta mungkin perlu dijual.
Nak melancong? Semuanya akan perlu ditangguhkan. Anak-anak yang sebelum itu mampu dihantar ke kelas tuisyen atau kelas muzik perlu mengorbankan pendidikan tambahan mereka.
Sebut pasal anak-anak...
3. Anak-anak berdepan kesan paling besar
Dalam setiap perceraian, kumpulan yang paling merasai impaknya sehingga mereka dewasa, adalah anak-anak. Dari aspek kebendaan dan psikologi, ada banyak perubahan akan dilalui anak-anak khasnya apabila melibatkan pendidikan mereka.
Ada bekas isteri yang selepas bercerai, memilih untuk pulang ke kampung duduk bersama ibu bapa mengangkut anak-anak demi memastikan kelangsungan hidup mereka berjalan.
Tak mudah untuk anak-anak tiba-tiba perlu belajar hidup baru dalam suasana berbeza, berdepan dengan persekitaran pendidikan lain serta membina rangkaian kawan baru seperti sebelumnya. Semuanya berlaku secara mendadak perubahannya.
Mentaliti mereka juga akan diganggu dengan pelbagai soalan yang mereka tak tahu apa jawapannya.
Kenapa kita kena pindah rumah? Kenapa aku ditukarkan sekolah? Kenapa mak dan ayah dah tak duduk bersama? Kenapa kami perlu pulang ke kampung?
Soalan-soalan sebegini akan terus berlegar di dalam kotak fikiran mereka walaupun mereka meningkat dewasa - kerana pengalaman sebegini kesannya tidak mungkin meninggalkan mereka yang telah melaluinya.
4. Tak senang mulakan hidup baru sendirian
Bila dah berusia atas 30-an dan berhadapan perceraian, sukar sebenarnya untuk seseorang baik lelaki ataupun wanita perlu membiasakan diri hidup sendirian tanpa pasangan.
Lebih malang dalam usia lebih lanjut, tekanan untuk cuba memulakan hidup baru bersama keluarga baru memberikan satu ketakutan yang sebelum itu tidak pernah kita rasai. Hendak belajar bercinta semula, belajar mengorat kembali, belajar nak mengenali orang baru, semua itu akan memakan masa dan tenaga yang banyak.
Semakin lanjut usia, semakin terhad pilihan yang kita ada untuk mendapatkan pengganti yang boleh mengisi kekosongan hidup. Pada ketika inilah difikiran akan mula memikirkan adakah kita akan meninggal dunia sendirian?
Prospek gelap sebegitu memang sesuatu yang menakutkan untuk kita hadam.
5. Rindu belaian pasangan
Dalam banyak keburukan perceraian yang paling jarang orang cerita - inilah satu bab yang orang kita paling takut nak buka mulut; ketiadaan lagi hubungan intim antara suami dan isteri yang terpisah.
Untuk mereka yang pernah rasa bahagia, intim dan rapat dengan pasangan, mereka tahu bab-bab sentuhan, belaian dan kemesraan ini adalah satu perkara yang sangat-sangat-sangat penting dalam keharmonian rumahtangga.
Semua yang bernikah tahu keindahannya...tak payahlah nak bohong.
Bercerai mengakibatkan hak untuk bersama dan saling bersentuhan walaupun hanya berpegangan tangan hilang sekelip mata. Ketiadaan jalan keluar ini merupakan satu perkara yang sebenarnya sangat ditakuti semua baik si lelaki mahupun wanita.
Sebab itulah di kalangan ahli masyarakat kita, wujud terma popular seperti duda atau janda gersang, janda gatal dan bermacam lagi gelaran; menunjukkan perubahan yang akan berlaku kepada seseorang individu selepas mereka bercerai.
Tak dapat penuhi bab ni, memang akan menyebabkan seseorang rasa tertekan dan mula ingin mencari jalan keluar dalam apa saja bentuk sekalipun. Yang cukup kita khuatiri - jalan yang dipilih bergelumang dengan dosa.
6. Hilang hubungan dengan ipar dan menantu
Satu perkara yang jarang ditimbulkan berkenaan perceraian, adalah bagaimana sebuah perpisahan di antara satu pasangan sebenarnya akan turut sama memisahkan hubungan kekeluargaan yang dah wujud antara ipar.
Bagi sesetengah individu yang bertuah dapat abang ipar, kakak ipar dan adik ipar yang ngam dengan kita, mereka ini boleh jadi seperti adik-beradik sendiri. Namun konflik yang timbul antara pasangan akan mengakibatkan kerenggagan di antara individu dalam keluarga dengan ipar mereka.
Lebih malang, sekiranya rumahtangga yang dibina musnah akibat kecurangan atau campur tangan pihak ketiga, adik-beradik kandung sendiri akan merasai kesukaran untuk menerima apa yang telah berlaku - terpaksa menelan pahit ipar yang dirasakan seperti saudara kandung sendiri perlu berjauhan atau dijauhkan.
Nak kekal berbaik dengan bekas ipar walaupun sudah tidak lagi sekeluarga hanya menimbulkan dilema, kerana takut ada yang anggap adik beradik sendiri tak mahu menyokong keputusan mereka.
Itu baru adik-beradik dengan ipar. Tak bolehlah penulis bayangkan betapa susahnya kalau mak ayah mertua sendiri terpaksa berpisah dengan menantu kesayangan mereka, selepas cerai dilafazkan. Dah bertahun anggap menantu macam anak sendiri - tiba-tiba semuanya perlu ditamatkan.