Sejak tahun 1994 lagi kerajaan Malaysia telah melancarkan kempen tandas bersih. Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, masih terdapat banyak tandas awam yang belum mencapai tahap kebersihan yang memuaskan.
Dari tahun 2014 - 2016, kerajaan telahpun membelanjakan hampir RM60 juta untuk membaikpulih dan membina tandas baru di seluruh negara. Namun, apa yang menyedihkan, sikap segelintir masyarakat masih lagi sama walaupun kebanyakan tandas sudah dinaiktaraf.
Sekiranya negara kita berhasrat memacu ke hadapan untuk menjadi sebuah negara maju, sikap dan tabiat lama yang sudah sebati dalam jiwa masyarakat perlu diubah dan perlu mula membentuk satu masyarakat yang lebih bertamadun. Ingat ya, sekecil-kecil perubahan seperti penggunaan tandas dengan baik mampu membawa impak yang besar pada generasi akan datang.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami percaya, tiada siapa pun yang suka dan berasa selesa apabila memasuki sebuah tandas yang kotor. Lebih menjijikkan sekiranya bau yang kurang disenangi diiringi dengan visual yang boleh menyesakkan dada. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk tidak melakukan perkara-perkara berikut apabila menggunakan tandas awam:
Mencangkung di tandas duduk
Seandainya anda berasa geli untuk duduk bersentuhan di tandas tersebut, ketahuilah bahawa orang lain juga berasa lebih geli apabila melihat tapak kasut anda di permukaan tandas itu. Tambahan pula, mencangkung di tandas duduk sebenarnya adalah berbahaya dan jisim badan anda pula boleh merosakkan tandas.
Solusi : Anda boleh menyembur air terlebih dahulu dan gunakan tisu tandas untuk melapik punggung anda daripada terkena penutup tandas. Pastikan anda buang tisu itu sebelum meninggalkan tandas.
Tidak pam tandas
Perkara ini adalah yang paling asas dalam etika penggunaan tandas. Kata orang,'pandai makan, pandailah simpan.' Konsep yang sama perlulah dipraktikkan semasa menggunakan tandas. Pandai 'buang', pandai-pandailah pam.
Pernahkah anda masuk ke dalam tandas yang ditutup begini? Selalunya tandas tertutup ini merupakan jerangkap samar yang boleh membuatkan sesiapa sahaja mengalami gangguan emosi sehingga keesokan hari.
Apalah salahnya anda flush dulu sebelum keluar? Jika pam tandas rosak, sembur atau tadahlah air di dalam baldi/botol air dan tuang ke dalam mangkuk tandas sehingga air jernih. Kesian dengan cleaner dan tukang repair yang terpaksa berhadapan dengan najis anda.
Solusi : Jadikan amalan untuk mengepam tandas setiap kali selesai menggunakan tandas. Anggaplah tandas awam itu seperti tandas anda sendiri di rumah. Adakah anda akan biarkan tandas tidak dipam di rumah? Sudah semestinya tidak, kan? Anda sendiri pun tak tahan dengan bau 'peninggalan' anda, apatah lagi orang lain. Oleh itu, mari cuba untuk jadi lebih bertimbangrasa, ya?
Membiarkan hos air di lantai / lubang tandas
Adakah anda akan memilih untuk menggunakan tandas dengan keadaan hos seperti ini atau sanggup menunggu tandas di sebelah selesai? Ketahuilah bahawa sikap suka membiarkan hos bergelimpangan ini adalah suatu perbuatan yang tidak patut dan sangat tidak bertamadun.
Solusi : Gantung hos kembali ke tempat asal. Sekiranya cangkuk pemegang telah rosak atau patah, anda boleh lilitkan hos tersebut di kepala paip. Jangan sesekali meninggalkan hos terbiar di atas lantai atau lebih teruk lagi di dalam lubang seperti di atas.
Buang sampah merata-rata
Ini merupakan satu lagi tabiat ramai rakyat Malaysia yang perlu dikikis. Orang kata alah bisa, tegal biasa. Adakah anda memang bersikap begini sekiranya di rumah? Biarkan saja pampers busuk anak di tepi sink. Dan sumbat tuala wanita ke dalam tong sampah selagi boleh. Kalau dah tak muat, campakkan saja di atas lantai. Begitu?
Adakah anda tahu bahawa sikap anda di tempat awam mencerminkan peribadi sebenar anda?
Adakah anda suka dilabel pengotor?
Adakah ini yang agama anda anjurkan?
Solusi : Belajarlah buang pampers anak ke dalam tong sampah yang disediakan. Tidak susah dan tidak perlu keluarkan duit pun. Jika tong sampah penuh, keluarlah dan cari tong sampah lain. Ataupun anda boleh bungkus dulu sampah tersebut dalam plastik kecil, balik rumah boleh dibuang.
Sumbat Sampah ke dalam Lubang Tandas
Adakah anda tahu bahawa tandas dan sistem septik tidak boleh memproses bahan lain selain bahan 'buangan' anda? Semua bahan yang tidak boleh terurai akhirnya perlu diasingkan semasa proses rawatan dan ini memerlukan kos yang tinggi untuk penyenggaraan.
Selain itu, tabiat membuang sampah ke dalam lubang tandas juga boleh menyebabkan tandas tersumbat.
Walaupun anda fikir material seperti kapas pengorek telinga (cotton buds), flos gigi, tisu basah (wet wipes) dan tisu muka senang dipam, tetapi sebenarnya bahan-bahan ini tidak boleh terurai dengan sendiri. Ia akan berkumpul dan akhirnya menyebabkan tandas dan sistem perpaipan tersumbat.
Hmm. Puntung rokok pun tak boleh diurai, apatah lagi kotak rokok!
Solusi : Jangan sesekali buang apa-apa sampah sekalipun ke dalam lubang tandas. Gunakanlah tong sampah yang disediakan. Anda mampu mengubahnya!
Akhir kata, sayangilah tandas awam sebagaimana anda sayang tandas di rumah. Rakyat Malaysia rata-rata inginkan servis dan kemudahan yang tip top dan first class, tapi adakah mentaliti dan sikap kita berada paras yang sama? Fikir-fikirkanlah.