Oleh pada 12 Jul 2021 kategori

Anda mungkin pernah terdengar atau terbaca kisah mengenai raja yang melakukan perkara ekstrem atau kerja gila ketika berkuasa. Malah, ramai sebenarnya raja atau pemerintah seperti ini dalam sejarah.

img 20210712 113345

Antara perkara ekstrem yang biasa dilakukan oleh seorang raja adalah seperti kekejaman terhadap rakyat atau musuh, memperkenalkan undang-undang tidak masuk akal atau terlalu mempercayai perkara tahyul. Bahkan, ada sebahagian daripada mereka digelar sebagai "Raja gila".

Namun, tahukah anda sebenarnya ada raja yang benar-benar gila dalam sejarah? Apa yang dimaksudkan adalah mereka tidak waras atau mempunyai masalah mental ketika berkuasa. Berikut adalah beberapa raja yang mengalami masalah atau sakit mental ketika berkuasa.

5. George III of England (1738-1820)

raja george iii

Raja George III mungkin paling diingati sebagai raja yang kalah kepada Amerika dalam Perang Kemerdekaan mereka. Walau bagaimanapun, banyak lagi kisah mengenai raja ini terutamanya mengenai kesihatan mentalnya.

Masalah mental Raja George III menjadi semakin teruk sehingga diisytiharkan tidak layak untuk memerintah. Anaknya, Raja George IV dinaikkan menjadi Pemangku Raja (pengganti sementara jika raja belum dewasa, tiada di dalam negeri atau tiada upaya) menggantikan bapanya.

Sejarawan berpendapat Raja George III mungkin mengalami bipolar. Dia ada kalanya menggigil dan bercakap terlalu laju serta berbuih di mulut. Ketika mengalami kemurungan, Raja George III akan menangis atau meratap selama berjam-jam atau berhari-hari lamanya.

Selain itu, dia juga dipercayai menderita paranoia dan halusinasi. Air kencingnya yang kadang kala berwarna biru, merah atau ungu menyebabkan pakar pada hari ini menganggapnya menderita acute porphyria (gangguan disebabkan kecacatan enzimatik)

4. Charles VI of France (1368-1442)

charles vi of france

Raja Charles VI mempunyai banyak persamaan dengan Raja George III. Di bawah pimpinannya, Perancis kalah dalam Peperangan Seratus Tahun menentang England. 

Ketika mula memerintah, dia dikenali sebagai Charles yang Disayangi oleh rakyatnya. Tidak lama kemudian, kesihatan mentalnya mulai merosot sehingga sanggup membunuh pengawal peribadi dan tetamu dirajanya.

Satu lagi masalah mental Raja Charles VI paling popular adalah Delusi Kaca. Dia yakin bahawa tubuhnya diperbuat daripada kaca. Dia enggan membenarkan sesiapa menyentuhnya, bahkan duduk diam selama berjam-jam bagi mengelak dirinya daripada pecah berkecai.

Sejarawan dan doktor moden berpendapat bahawa psikosis (gangguan mental yang teruk) Raja Charles VI itu sebagai skizofrenia. Penyakit mental itu dipercayai diwarisinya daripada keluarga ibunya, Joan of Bourbon. (sumber)

3. Nebuchadnezzar II (642 SM - 562 SM)  

nebuchanezzer ii

Raja Nebuchadnezzar II dianggap sebagai raja terhebat dalam sejarah Empayar Neo-Babylon (Babylon baru). Dia memerintah setelah bapanya, Nabopolassar, meninggal dunia pada 605 SM.

Selain hebat dalam pembinaan, Nebuchadnezzar II juga dianggap sebagai penjahat dalam Old Testiment kerana menyerang dan mengusir orang Yahudi keluar dari Jerusalem serta dijadikan tawanan di Babylon.

Suatu hari, raja itu mendapat mimpi pelik tetapi tiada seorang ahli nujum berjaya mentafsirkannya. Dia kemudian bertanya kepada tawanan Yahudi bernama Daniel (dipercayai oleh Yahudi dan Syiah sebagai Nabi Daniel) tentang mimpinya.

Menurut Daniel, jika raja itu tidak bertaubat maka dia akan menjadi gila dan berkeliaran seperti binatang buas. 12 bulan kemudian, Raja Nebuchadnezzer II benar-benar menjadi gila dan tinggal di hutan dan memakan rumput seperti seekor lembu selama tujuh tahun.

Istilah psikologi untuk penyakit ini adalah boanthropy di mana pesakit percaya bahawa dirinya adalah seekor lembu. Namun, sebahagian sejarawan berpendapat ia adalah kisah Raja Nabonidus, raja Babylon yang memerintah dua dekad selepas kematian Nebuchadnezzar II. (sumber)

2. Vlad the Impaler (1428 - 1476)

vlad dracula

Vlad the Impaler atau nama sebenarnya Vlad Dracula adalah salah seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah. Walaupun sebahagian menganggapnya sebagai wira Romania, kekejaman yang dilakukannya tidak berperikemanusiaan.

Dia terkenal sepanjang pemerintahannya kerana gemar kepada penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai. Dia sanggup melakukan apa sahaja agar musuh gerun terhadapnya.

Gelaran Vlad the Impaler diberikan kepadanya kerana dia sering menyula musuh di luar kubu bagi menakutkan pihak lawan. Malah, dia juga sering dikaitkan dengan mitos vampire (puntianak).

Sejarawan berpendapat bahawa Vlad mengalami porphyria, sejenis penyakit keturunan yang menyebabkan metabolisme tidak normal dalam pigmen darah. Gejala bagi penyakit ini termasuklah gangguan mental dan keadaan kulit sensitif terhadap cahaya.

1. Caligula (12M-41M)

caligula 978

Caligula atau nama sebenarnya Gaius Julius Caesar Augustus Germanicus merupakan maharaja Rom dari tahun 37M hingga 41M. Caligula adalah seorang raja yang kejam, sadis dan gila.

Apabila maharaja Tiberius yang dibenci meninggal dunia, penduduk Rom meraikan Caligula dengan mengorbankan kira-kira 160,000 haiwan dalam tempoh tiga bulan. Mereka berharap maharaja baru itu akan membawa perubahan. Namun, mereka silap.

Caligula tidak teragak-agak untuk membunuh atau mengarahkan hukuman mati sebagai hiburan. Dia juga amat boros membelanjakan wang kerajaan. Selain itu, dia juga menganggap dirinya sebagai tuhan yang harus disembah.

Selain sering mengadakan pesta seks, dia malah menukar istananya menjadi rumah pelacuran. Dia juga dikatakan mengadakan hubungan intim dengan saudara perempuannya sendiri.

Pada usia 28 tahun, Caligula akhirnya mati dibunuh. Sejarawan percaya bahawa Caligula menghidapi epilepsi, hipertiroidisme atau penyakit Wilson, gangguan yang boleh menyebabkan ketidakstabilan mental. (sumber)



Hakcipta iluminasi.com (2017)