Dengan kecanggihan teknologi, manusia pada zaman kini sudah mampu membina pulau tiruan untuk pelbagai tujuan tertentu. Kebanyakan pulau buatan manusia dibina untuk mewujudkan lokasi pelancongan dan untuk tujuan komersial.

Proses pembuatan pulau ini dilakukan melalui proses penambakan laut, iaitu sebuah proses menimbus kawasan laut dengan bahan seperti pasir, batu dan tanah untuk mewujudkan kawasan daratan yang baru. Kali ini, pihak iluminasi ingin berkongsi beberapa pulau menarik buatan manusia yang terdapat di seluruh dunia.

1. The World, Dubai

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pulau The World ini terletak di Dubai. Ianya adalah gugusan 300 pulau kecil yang membentuk peta dunia. Pulau ini terletak kira-kira 4 km daripada kawasan darat dan merupakan idea asal Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai pada ketika itu.

Projek pembinaan pulau ini bermula pada tahun 2003 dan kos pembinaannya dianggarkan mencecah RM55 bilion. Setiap pulau-pulau kecil ini mempunyai keluasan antara 14000 hingga 42000 meter persegi dan jaraknya antara satu sama lain kira-kira 100 meter. Setiap pulau ini kemudiannya akan dijual kepada syarikat-syarikat dan pihak individu untuk kegunaan tertentu seperti pusat peranginan dan percutian.

2. Palm Jumeirah

pulau palm jumeirah

Palm Jumeirah merupakan sebuah lagi projek mega pulau buatan manusia di Dubai. Pulau ini mendapat namanya kerana bentuknya yang menyerupai pokok kelapa sawit. Pulau ini terletak di kawasan pesisir laut Jumeirah, Dubai.

Projek pembinaannya bermula pada 2001 di mana rumah kediaman pertamanya berjaya disiapkan pada tahun 2006. Bagi kemudahan pengangkutan penduduk yang tinggal di pulau ini, terdapat monorail yang menghubungkan pulau ini dengan kawasan daratan besar dengan trek sepanjang 5.4 km.

3. Port Island, Jepun

port island jepun

Antara pulau buatan manusia yang terawal, pulau ini dibina antara tahun 1966 dan 1981 di kawasan perairan Kobe, Jepun. Kini, pulau ini menempatkan pelbagai insfrastruktur seperti pusat konvensyen, hotel, muzium, pusat membeli-belah dan lain-lain.

Bagi memudahkan perhubungan penduduk setempat, terdapat sebuah sistem transit kereta api yang menghubungkan kawasan darat besar dan juga lapangan terbang Kobe.

4. Chek Lap Kok, Hong Kong

chek lap kok

Pulau Chek Lap Kok ini terletak di Hong Kong dan pulau ini menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, iaitu lapangan terbang paling sibuk di dunia. Lapangan terbang ini telah dibuka secara rasminya pada tahun 1998, menggantikan lapangan terbang utama Hong Kong yang lama.

Pulau dengan keluasan 3.02 km persegi ini juga menempatkan bangunan Hong Kong SkyCity sebuah kompleks bisnes dan hiburan. Selain itu, sebuah pusat konvesyen dan pameran yang dikenali AsiaWorld-Expo juga terdapat di pulau ini.

5. Pulau Amwaj, Bahrain

amwaj islands

Pulau Amwaj adalah sebuah lagi pulau buatan manusia yang terletak di Teluk Gulf. Pulau ini terletak di timur laut Bahrain dan mempunyai keluasan daratan seluas 4.31 km persegi. Pulau Amwaj ini sebenarnya adalah gugusan 9 bulau kecil yang diberi nama Amwaj, Najmah, Tala, Wardeh, Hamama, Dalphene, Farasha, Dilmuniya, Qassar dan Jurdi.

Projek pembinaannya bermula pada 2002 dalam beberapa fasa sebelum siap sepenuhnya pada 2016. Pulau ini kini mempunyai populasi kira-kira 100,000 orang penduduk dan kini menempatkan kawasan kediaman, komersil dan hotel.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Wonderlist



Hakcipta iluminasi.com (2017)