Pulau sentiasa menjadi salah satu bentuk muka bumi yang paling indah. Sebahagian daripada anda pasti pernah mengimpikan untuk menghabiskan sisa hidup tinggal di pulau.

Kini, teknologi dan kemahiran telah menjadikan impian itu satu kenyataan. Manusia kini mampu membina pulau tiruan yang sesuai untuk didiami.

Bukan itu sahaja, kita menjadi begitu kreatif sehingga membina kediaman, hotel, perindustrian, taman tema dan hampir apa sahaja yang boleh dibayangkan di pulau buatan ini. Berikut adalah beberapa pulau buatan yang menarik di serata dunia.

1. Pulau Treasure - Amerika Syarikat

treasure island

Pada asalnya, pulai ini dibina sebagai tapak Pameran Antarabangsa Golden Gate pada 1939-1940. Ketika Amerika sedang bersiap sedia untuk Perang Dunia II, Tentera Laut AS telah menduduki pulau ini pada tahun 1941.

Sebanyak 4.5 juta anggota tentera telah dibawa ke pulau ini untuk tujuan latihan dan pendidikan. Aktiviti latihan ketenteraan di pulau ini diteruskan walaupun Perang Dunia II telah tamat sehinggalah tamatnya Perang Dingin pada penghujung 80-an.

Pada tahun 1997, pulau ini akhirnya disewakan kepada bandar San Francisco. Pada masa ini, lebih daripada 2,000 orang tinggal di pulau ini yang mempunyai kemudahan seperti sekolah, restoran dan sebagainya. 

2. Pulau Amwaj

pulau amwaj

Pulau Amwaj di Muharraq, Bahrain ini adalah gabungan beberapa pulau buatan manusia yang mempunyai keluasan 2.8 juta meter persegi dan menelan belanja sekitar RM 6.3 bilion untuk dihasilkan. Projek menambak tanah bermula pada tahun 2002 dan siap pada 2003.

Fasa kedua pula ialah pembangunan infrastruktur yang siap pada awal tahun 2005. Pada suku pertama tahun 2006, penduduk pertama pulau itu sudah sedia berpindah masuk.

Kini, pulau itu dipenuhi dengan kediaman setinggi 40 tingkat, pasaraya, taman tema, panggung wayang dan pelbagai kemudahan lain. Bahkan, beberapa hotel ternama juga dibina di pulau ini dan menjadi salah satu tarikan utama di Bahrain.

3. Pulau Danube -  Austria

pulau danube

Pulau buatan manusia yang terletak di tengah Vienna ini dibina bagi mengukuhkan sistem perlindungan banjir bandar itu. Antara tujuan lain pulau ini dibina adalah sebagai tempat kemudahan aktiviti rekreasi dan sukan penduduk tempatan.

Pulau Danube ini dibina sepanjang 21 km tetapi hanya mempunyai keluasan antara 70 hingga 210 meter lebar sahaja. Pulau ini dipenuhi dengan kemudahan seperti tempat berlari, berbasikal, berkelah dan sebagainya.

Malah, pulau ini turut mempunyai padang dan dewan sukan profesional selain bar dan restoran. Antara tarikan utama di pulau ini adalah The Danube Jumping Center yang mempunyai trampolin terbesar dunia. Projek pembinaan pulau ini bermula pada 1972 dan siap pada 1988.

4. Pulau Palm - Dubai

palm jumeirah

Pulau Palm terdiri daripada tiga pulau buatan manusia. Pulau utama yang dikenali sebagai Palm Jumeirah berbentuk seperti pokok kelapa sawit jika dilihat dari udara. Pembinaan pulau ini bermula pada tahun 2001 dan sebahagian besarnya dibiayai oleh kekayaan minyak Dubai.

Pembinaan pulau ini siap pada tahun 2004 tetapi pemaju mengambil masa tiga tahun lagi untuk membina kediaman dan kemudahan di pulau itu. Tiada sebarang konkrit atau keluli digunakan dalam pembinaan di pulau itu atas arahan pemerintah Dubai sendiri.

Kini, lebih daripada 10,000 orang tinggal di pulau yang mewah itu. Dua lagi pulau buatan di Pulau Palm itu lebih besar daripada Palm Jumeirah tetapi tidak sepenuhnya siap. Pembinaannya terpaksa dihentikan akibat ketidakstabilan ekonomi. Jika siap, binaan dua pulau itu melambangkan peta dunia.

5. Pulau New Holland - Rusia

pulau new holland

Pulau buatan ini terletak di antara Terusan Kryuko, Terusan Admiralty dan Sungai Moyka di St. Petersburg, Rusia. Ia dibina pada tahun 1719 ketika kedua-dua terusan itu mula dibina. Pulau New Holland ini dibina menyerupai bandar Amsterdam di Netherlands.

Pulau ini pernah dijadikan pelabuhan tentera oleh Peter the Great, maharaja Empayar Rusia yang memerintah ketika itu. Dia juga membina sebuah istana kayu di pulau ini. Pulau ini juga pernah dijadikan sebagai gudang untuk armada Leningrad ketika Era Kesatuan Soviet.

Pada tahun 2004, satu kebakaran tidak sengaja telah memusnahkan beberapa bangunan bersejarah di pulau ini. Kini, ia dibuka kepada umum dan menjadi tapak kepada pelbagai acara.

6. Pulau Banana - Nigeria

pulau banana

Pulau buatan ini terletak di pesisir pantai Ikoyi, Lagos, Nigeria. Ia mendapat namanya kerana bentuk pulau yang melengkung seperti pisang. Pulau ini dibina dengan campuran kawasan kediaman, rekreasi dan bangunan komersial.

Pulau buatan ini juga merupakan bandar kedua terbesar di negara itu. Apa yang menariknya, pulau ini didiami oleh individu dan keluarga paling kaya dan berpengaruh di Nigeria.

Pulau ini menjadi pilihan kerana suasananya yang tenang dan jauh dari kesibukan serta kebisingan kota Lagos. Projek pembinaan pulau bersaiz 1.6 juta meter persegi ini siap pada tahun 2000 dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta kediaman mewah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)