Sudah semestinya salah satu cara untuk meningkatkan jualan sesuatu perniagaan atau produk adalah melalui pengiklanan. Pengiklanan adalah cara yang paling efektif, lebih-lebih lagi jika diiklankan di TV.

Ini kerana secara semulajadinya kita akan membeli barangan yang biasa atau selalu dilihat. Hal ini membuatkan otak kita menjadi "familiar" dengan produk tersebut, berbanding produk lain yang sama fungsinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi sedarkah anda, terdapat banyak produk yang kita beli pada hari ini bukanlah kerana kita perlukannya tetapi disebabkan oleh dipengaruhi oleh iklan yang sangat menyakinkan?

iluminasi.com kongsikan 5 produk harian yang kita beli kerana terpengaruh dengan majoriti masyarakat dan teknik pengiklanan.

5. Bijirin sarapan

bijirian sarapan pagi

Pernah tak anda mendengar bahawa sarapan adalah makanan paling penting dan tidak mengambil sarapan boleh membahayakan kesihatan.

Ini semua hanyalah helah pengiklan. 2 abad yang lalu, tak semua orang makan sarapan dan apabila mereka makan sarapan, ia bukanlah bijirin.

Orang-orang di Amerika Syarikat pada abad ke-19 makan hampir apa saja untuk sarapan pagi, yang mana sering kali terdiri daripada telur dan baki makanan yang tidak dihabiskan.

Telur adalah sarapan yang sempurna kerana ia sangat mudah untuk disediakan.

Walau bagaimanapun, agama dan iklan berubah apabila Revolusi Perindustrian berlaku. Orang ketika itu meninggalkan ladang mereka untuk bekerja di kilang-kilang.

Kebanyakannya mula mengadu masalah pencernaan, yang mana makanan berat yang dimakan pada waktu pagi telah dipersalahkan.

Sebenarnya, masalah ini berpunca daripada makan terlalu banyak. Sebelum ini mereka bekerja di ladang dan memerlukan tenaga yang banyak. Jadi apabila mereka bekerja di kilang, makanan tersebut dianggap terlalu banyak untuk dicerna.

Walau bagaimanapun, beberapa ahli Seventh-day Adventist Church menyelamatkan situasi ini dengan mencipta empingan jagung yang "lebih sihat" untuk mengatasi masalah pencernaan dan masalah lain seperti onani.

Bijirin sarapan pagi mula diketahui ramai apabila vitamin ditemui pada tahun 1940-an.

Pembuat bijirin menambah vitamin ke dalam bijirin mereka dan mula mempromosikan produk mereka sebagai sarapan yang sempurna.

Dan untuk memastikan lebih banyak orang makan sarapan pagi, syarikat-syarikat ini mengiklankan sarapan pagi sebagai makanan yang paling penting dalam sehari.

4. Bertih jagung

bertih jagung diiklankan oleh panggung wayang

Bertih jagung atau popcorn mula popular pada tahun 1800-an di mana ia dijual di semua tempat kecuali panggung wayang.

Ya, popcorn satu ketika dahulu tidak terkenal di panggung wayang kerana panggung wayang pada mulanya hanya disasarkan untuk golongan kaya sahaja.

Disebabkan itu, pemilik panggung awayang tidak mahu popcorn merosakkan permaidani mereka yang mahal. Akan tetapi, segalanya berubah pada tahun 1927 apabila orang miskin semakin ramai mengunjungi panggung wayang. 

Mereka membawa masuk popcorn yang mana mungkin satu-satunya snek yang mampu dibeli. Penjual popcorn menyedari hal ini dan memindahkan perniagaan mereka berdekatan dengan panggung wayang.

Pemilik panggung wayang kemudiannya menyertai para peniaga dan mula mengenakan bayaran kerana menjual di luar premis mereka. Kemudian, panggung wayang mula menjual popcorn sendiri.

Malah, mereka memasang iklan di awal dan pertengahan filem untuk "mendesak" para penonton untuk berpusu-pusu membeli popcorn mereka.

Iklan-iklan yang ditayangkan berjaya meningkatkan penjualan popcorn.

3. Pemutih gigi

pemutih gigi diiklankan untuk pengaruh pengguna

Gigi yang putih biasanya dianggap sempurna walaupun ia tidaklah sempurna yang disangkakan. Ini kerana gigi semulajadi manusia adalah kuning cair dan tidak putih.

Gigi kuning adalah normal dan putih adalah tidak normal. Walaubagaimanapun, para pengiklan ketika ini meyakinkan kita bahawa gigi putih adalah normal dan kuning tidak normal.

Gigi kita berwarna kuning kerana dentin kita berwarna kuning. Dentin adalah tisu tebal yang membentuk sebahagian besar gigi dan terletak di bawah enamel, lapisan paling luar gigi.

Malah, enamel berwarna putih dengan sedikit bayangan biru. Namun disebabkan enamel adalah lutsinar, ia membolehkan kita melihat warna kuning yang dimiliki dentin.

Syarikat-syarikat ini mengiklankan perniagaan mereka di media sosial terutamanya Instagram di mana mereka membayar kepada "instafamous" untuk mempromosikan produk mereka.

Bahan utama dalam pemutih gigi adalah hidrogen peroksida, agen cecair yang melewati enamel dan ke dalam dentin.

Ia kemudiannya memecahkan sebatian yang memberikan warna kuning kepada dentin yang menjadikan gigi anda putih.

Terdapat kebimbangan bahawa hidrogen peroksida boleh merosakkan enamel dan menyebabkan masalah gigi yang kekal atau masalah sementara yang lain. 

2. Air botol

air botol pengiklanan pengaruhi kita beli produk

Penjualan air bikarbonat telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana orang ramai semakin sedar tentang kesihatan. Inilah sebabnya mengapa pembuat air bikarbonat berubah arah kepada minuman yang lebih sihat, iaitu air botol.

Air botol pada dasarnya adalah alternatif kepada air masak. Disebabkan para pengeluar tahu adalah hampir mustahil untuk bersaing dengan air masak, maka mereka memutuskan untuk bersaing dengan air bikarbonat.

Pada hari ini, air botol dipasarkan sebagai alternatif kepada air bikarbonat. Mereka juga telah meletakkan air botol sebagai "minuman yang menyegarkan".

Kegilaan air botol bermula pada tahun 1970-an apabila Gustave Leven, pengerusi syarikat Source Perrier yang berpangkalan di Perancis mahu mengembangkan produknya ke Amerika Syarikat.

Pada ketika itu, Gustave telah menjual produknya kepada restoran dan hotel terkemuka di AS. Walaubagaimanapun, dia menyedari bahawa keuntungan yang paling besar adalah dengan menjualnya kepada orang kebanyakan di negara tersebut.

Dia juga mengetahui bahawa mereka tidak akan mengeluarkan wang untuk membeli air botol kerana boleh meminum air terus daripada paip rumah.

Pada tahun 1977, dia membelanjakan RM10 juta hingga RM20 juta terhadap iklan TV untuk mempromosikan air botol sebagai air tidak beralkohol untuk mereka yang "cool".

Dia juga menghabiskan wang yang banyak dengan menaja beberapa acara sukan dan perlumbaan termasuklah marathon New York City 1977.

1. Deodoran

spray odorono

Seabad yang lalu, adalah menjadi perkara biasa untuk berpeluh dan berbau. Kemudian, Edna Murphey mengeluarkan Odorono, deodoran  pertama yang berjaya secara komersial.

Akan tetapi deodoran bukanlah hasil ciptaan Edna. Deodoran pertama yang dicipta dikenali sebagai Mum dan menerima sijil paten pada tahun 1888.

Odorono dicipta oleh bapa Edna, seorang doktor perubatan, untuk menghentikan tangannya daripada berpeluh ketika melakukan pembedahan.

Namun, Edna menemui kegunaan lain bagi Odorono apabila dia menyedari bahawa produk ini menghentikan peluh pada ketiaknya. Edna cuba untuk menjual Odorono tetapi gagal pada mulanya kerana ketika itu orang ramai tidak memerlukan deodoran.

Kedai ubat juga enggan mengambil produk ini kerana bimbang Odorona tidak dapat dijual. Banyak kedai memulangkan semula Odorono kerana jualan yang begitu teruk.

Akan tetapi, segalanya bermula ketika pameran perdagangan di New Jersey pada tahun 1912. Pada mulanya jualan Odorono sangat teruk dan Edna terpaksa menjual produk kosmetik lain untuk membayar yuran tapak.

Namun, haba musim panas ketika itu membuatkan ramai pelanggan memenuhi gerainya untuk mendapatkan Odorono. Edna memperoleh hasil jualan yang sangat lumayan senhingga mampu membelanjakan RM120,000 untuk pengiklanan.

Edna menggunakan khidmat J. Walter Thompson Company untuk mengiklankan produknya. Syarikat ini meyakinkan orang ramai bahawa peluh pada ketika merupakan satu masalah perubatan yang memalukan.

Malah, mereka mengatakan bahawa seorang doktor (bapa Edna) mencipta Odorono untuk mengatasi masalah ini. Iklan ini sangat berjaya dan ketiak berpeluh masih dianggap sebagai masalah yang memalukan pada hari ini.

Rujukan:

1. Smithsonian

2. Investopedia

3. Ask Smith




Hakcipta iluminasi.com (2017)