Albert Einstein merupakan salah seorang tokoh sains yang paling dikagumi sehingga kini. Sumbangannya pada dunia teramatlah besar, dengan pelbagai teori khasnya teori relativiti menjadi panduan para saintis dunia melakukan pelbagai penemuan baru.

Selain daripada sumbangannya pada dunia sains, Einstein juga merupakan seorang penulis yang berbakat. Bagaimanapun, berikutan kedudukannya yang popular - banyak pihak menggunakan nama serta wajah beliau untuk mempopularkan banyak perkara lain yang tak berkait dengan mendiang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

fake einstein quote

Salah satunya adalah petikan-petikan popular yang kerap kali dikongsikan oleh netizen setiap hari, sama ada sebagai pengukuh hujah ataupun sekadar satu sokongan motivasi. Pernahkah anda lihat petikan ayat 'Einsteini ini digunakan?

1. "Bukan semua perkara yang boleh dihitung penting dan bukan semua perkara penting, perlu dihitung."

einstein petikan palsu

Kerap kali dikongsikan bagi memperbetulkan perspektif kita tentang matlamat hidup - petikan ini sebenarnya tidak pernah diungkapkan oleh Einstein. Pemilik sebenar petikan ini adalah seorang professor bernama William Bruce Cameron, yang juga seorang penulis dan kolumnis yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk 'Informal Sociology: A Casual Introduction to Sociological Thinking.'

Di dalam buku tersebut yang diterbitkan pada tahun 1963, Cameron menulis petikan itu secara keseluruhan bagi menggambarkan sistem perkiraan yang diharapkan beliau dapat dilakukan oleh mesin komputer zaman tersebut, agar dapat memvisualkan kajian sosiologi beliau sama seperti kajian ekonomi.

Nama Einstein mula disebut sebagai pemilik petikan tersebut bermula sekitar tahun 80-an, hampir 30 tahun selepas beliau meninggal dunia. Tidak ada hubungkait di antara Einstein dan petikan itu.

2. "Dia yang tak pernah melakukan kesalahan, tidak pernah mencuba sesuatu yang baru"

quote palsu einstein

Salah satu petikan Einstein yang sangat popular berikutan keberkesanan ayat ini menyampaikan sesuatu yang mendalam, dengan cara yang sangat minima - petikan ini sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat panjang serta kerap kali digunakan oleh ramai tokoh-tokoh dalam sejarah.

Walau bagaimanapun, nama Einstein dikaitkan dengan petikan ini hanya pada tahun 1995 - sedangkan petikan ini telah wujud sejak awal abad ke 19 lagi. Tidak diketahui siapakah pemilik asal petikan lejen ini tetapi yang sah - bukan Albert Einstein.

3. "Pendidikan adalah apa yang tinggal, selepas seseorang lupa semua yang dia belajar di sekolah"

albert einstein education is what remains after one has forgotten what one has learned in school

Petikan ini seringkali digunakan mereka yang berminat tentang bidang pendidikan, bagi menggambarkan secara ringkas apa itu pendidikan dalam peringkat asasnya. Petikan ini sebenarnya mula disebut dalam beberapa format lain dan Albert Einstein sendiri memetik ayat ini dalam salah satu eseinya pada tahun 1936, tetapi mengkreditkan seorang penulis lain yang tidak dinamakan sebagai pemilik asalnya.

Apabila dikaji semula asal-usul petikan ini, semuanya bermula daripada petikan asal pada tahun 1892 dalam sebuah jurnal hasil tulisan C.F. Thwing yang menulis tentang kepentingan budaya sebelum diringkaskan pada tahun 1907 dalam sebuah ucapan perpisahan di sebuah universiti, yang berbunyi 'budaya adalah apa yang tinggal apabila kita mula melupakan apa yang dipelajari di kolej.'

4. "Semua orang genius. Namun jika kita ukur kepandaian ikan memanjat pokok sebagai ukuran kecerdikannya, ikan itu pasti membesar sambil mempercayai dirinya bodoh."

einstein genius fake quote

Salah satu petikan 'Einstein' yang sangat kerap dikongsikan - namun secara rasminya petikan hebat ini tidak direkodkan dalam buku petikan Einstein yang diterbitkan oleh Princeton University Press.

Walaupun begitu, ini tidak menghalang seorang penulis iaitu Matthew Kelly dalam bukunya bertajuk 'The Ryhthm of Life' menggunakan petikan tersebut serta mengkreditkan Albert Einstein sebagai pemiliknya. Bagaimanapun, nyata sekali Einstein tidak pernah menuturkan ayat tersebut.

Petikan tersebut sebenarnya datang daripada perbincangan yang timbul disebabkan pembentukan hala tuju pendidikan zaman tersebut, dengan beberapa orang ahli akademik menggunakan pendekatan serupa dengan ayat tersebut bagi menyatakan pandangan mereka.

5. "Takrifan kegilaan adalah seseorang yang melakukan perkara serupa berulang kali tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza."

quote palsu kegilaan einstein

Petikan yang terakhir ini adalah petikan yang paling popular antara semua petikan kerana petikan ini menjadi sebutan bukan saja penyelidik malahan ahli politik dunia sehingga kini.

Dalam buku kompilasi rasmi petikan Albert Einstein, “The Ultimate Quotable Einstein” petikan tersebut dinyatakan secara jelas bukanlah disebutkan oleh Albert Einstein sendiri, bagi membantu membetulkan kesilapan masyarakat dunia. Namun orang ramai nampaknya lebih gemar mengongsikan petikan yang salah daripada pembetulan yang dilakukan secara rasmi.

Petikan itu sebenarnya datang daripada satu risalah anti dadah yang diterbitkan pada tahun 1981 oleh sebuah NGO anti dadah bernama Narcotics Anonymous. Bermula pada tahun 1990, petikan popular ini mula dikaitkan dengan Einstein selepas seorang ahli politik Amerika Syarikat, Ronnie Earle memetik petikan tersebut dan mengatakan Einstein pernah menyebut petikan itu.

Rujukan

History




Hakcipta iluminasi.com (2017)