Oleh pada 02 Sep 2018 kategori

Sudah pasti ramai di antara anda yang gemar minum kopi. Tidak kira tua, muda, miskin atau kaya minuman ini tetap menjadi pilihan. Namun begitu, dapatkah anda bayangkan kalau kopi diharamkan di Malaysia?

Itulah yang terjadi ketika kemunculan awal minuman kopi ini di dunia. Pada masa itu tidak ramai yang mengetahui keenakan serta khasiatnya minuman ini. Berikut adalah 5 kes di mana kopi telah diharamkan dalam sejarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Mekah - Tahun 1511

kedai kopi mekah

Kopi mula dijumpai di Ethiaopia dan tersebar ke negara lain apabila ia mula dikenali. Pada tahun 1400-an kopi mula memasuki Mekah dan kerap dikaitkan dengan Sufism.

Para Sufi akan menggunakan kopi untuk berjaga pada waktu malam bagi tujuan beribadat. Banyak kedai kopi dibuka dan menjadi tempat untuk aktiviti perjumpaan, perdebatan dan pelbagai lagi.

Gabenor Mekah pada ketika itu ialah Khair Beg yang dianggap korup merupakan wakil dari Empayar Uthmaniyah. Pada tahun 1511, beliau telah mengharamkan kopi dengan menggunakan alasan kopi adalah mengkhayalkan dan memudaratkan seperti arak.

Akan tetapi hal yang sebenarnya ialah dia berasa takut dengan kemunculan kedai kopi yang menjadi tempat pihak pembangkang menyebarkan agenda untuk menggulingkannya sebagai pemerintah.

2. Italy - Tahun 1600

kopi italy

Ketika kopi sampai di Eropah pada kurun ke-16, para paderi Roman telah menegaskan bahawa bahan ini perlu diharamkan kerana ia minuman kegemaran Empayar Uthmaniyah dan ia disifatkan sebagai "minuman syaitan".

Para penasihat Paus atau Pope juga menyokong pengharaman kopi ini namun Paus Clement VIII mengambil peluang untuk mencubanya terlebih dahulu.

Setelah merasainya, Paus Clement VIII mendapatinya sedap dan merestuinya. Setelah mendapat restu paus, kedai kopi telah membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh Eropah.

3. Constantinople - Tahun 1623

kedai kopi constantinople

Kedai kopi pertama di Constantinople dibuka pada tahun 1475. Kedai kopi di sini menjadi tempat perjumpaan bagi golongan bangsawan, para pegawai, guru, hakim serta penguasa undang-undang.

Setelah Mudad IV menaiki tahta Empayar Uthmaniyah pada tahun 1623, dia telah mengharamkan kopi di Constantinople kerana khuatir kedai kopi menjadi tempat perjumpaan para pemberontak.

Dia juga telah menetapkan satu sistem hukuman jika didapati bersalah memiliki kopi. Kesalahan pertama akan dipukul, manakala kesalahan kedua pula pesalah akan diikat dengan beg kulit dan dilemparkan ke dalam terusan Bosporus.

4. Sweden - Tahun 1746

kopi sweden

Pada tahun 1700-an, minuman kopi menjadi sangat popular di Sweden. Namun, pihak kerajaan telah mengesyaki bahawa kedai kopi menjadi tempat perjumpaan bagi mereka yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan merancang pemberontakan.

Jadi pada tahun 1746 Raja Frederick I telah memerintahkan agar minuman kopi disekat dengan mengenakan cukai bagi penggunaan kopi. Sesiapa yang gagal membayar cukai akan dirampas segala peralatan membuat dan meminum kopi.

Akhirnya pada tahun 1756, kopi telah diharamkan sepenuhnya di Sweden. Pengharaman kopi ini juga menjadi satu keuntungan kepada agensi kerajaan apabila mereka banyak melakukan "serbuan kopi".

Pada tahun 1769, pihak kerajaan Sweden telah menghentikan operasi ini dan memutuskan untuk menarik balik larangan meminum kopi sebaliknya mengenakan cukai kemasukan yang tinggi.

5. Prussia Jerman - Tahun 1777

geman kaffeehaus

Pada tahun 1777, Frederick the Great of Prussia (kini Jerman) telah membuat kenyataan bahawa bir adalah lebih baik dari kopi. Dia menyatakan bahawa wang rakyat banyak dibazirkan dengan mengimport kopi dari luar.

Raja itu berharap kenyataan yang dibuat oleh pihak istana itu dapat membuka mata rakyatnya untuk minum bir tempatan sebagai minuman harian.

Dia memberitahu bahawa keturunan diraja Prussia sejak dahulu telah dibesarkan dengan bir, begitu juga sepatutnya yang dilakukan rakyat. Dia juga menyeru kepada rakyatnya agar bir dijadikan minuman sarapan pagi.

Namun, raja itu terpaksa akur dengan rakyat yang sememangnya telah menggilai rasa minuman kopi ini dan terpaksa menarik balik larangan meminum kopi.

Sumber :




Hakcipta iluminasi.com (2017)