Oleh pada 05 Aug 2020 kategori

Pemain bola sepak ketika beraksi atas padang, memerlukan penglihatan yang tajam bagi membolehkan mereka mudah mengenalpasti kedudukan bola serta pergerakan pemain lain.

Bagaimanapun, bukan semua pemain bola sepak yang berbakat turut sama dikurniakan dengan penglihatan sempurna - hingga ada pemain yang sebenarnya mempunyai masalah penglihatan walaupun bergelar pemain bola sepak sebagai kerjaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pemain bola sepak terkenal dunia yang sebenarnya mempunyai mata yang bermasalah dan gagal melihat dengan baik setiap masa.

1. Edgar Davids (Juventus & Belanda)

edgar davids mata rosak kecederaan

Kita mulakan dengan pemain paling dikenali ramai AKIBAT masalah matanya. Edgar Davids merupakan pemain tengah agresif yang cukup terkenal bersama pasukan kebangsaan Belanda serta kelab-kelab ternama Eropah seperti AC Milan, Juventus dan Ajax Amsterdam.

Selepas mengalami kecederaan pada tahun 1995, matanya mula mengalami kerosakan sehingga mengalami masalah glaukoma; di mana bebola matanya setiap masa akan menghasilkan cecair yang dikenali sebagai 'aqueous humor' dalam matanya tanpa henti, bagi seorang pesakit glaukoma.

Pembentukan cecair itu akan menyebabkan tekanan, seterusnya mengganggu saraf mata yang berhubung dengan otak - menyebabkan seseorang penghidap glaukoma hilang penglihatan secara mencapah sebaliknya hanya mampu melihat dalam sudut yang lebih sempit.

Disebabkan simptom glaukoma Davids ditemui awal, pembedahan yang dilakukan berjaya membetulkan penglihatannya namun matanya lemah akibat pembedahan tersebut. Dia mula memakai gogel pelindung semasa beraksi atas saranan doktor seterusnya menjalani karier panjang sehingga tahun 2014.

2. David Rocastle (Arsenal & England)

david rocastle arsenal rabun

Mendiang David Rocastle, legenda pasukan Arsenal dari England serta pernah menjadi ayam tambatan pasukan Sabah di mana dia menamatkan kariernya sebenarnya mempunyai masalah penglihatan sejak kecil.

Dia memulakan karier bersama pasukan muda Arsenal pada tahun 1982. Pada awalnya tidak ramai menyedari ada sesuatu yang ganjil tentang beliau. Setiap kali membawa bola, mata Rocastle akan terus merenung bola itu bagi memastikan dia tahu hala tuju bola tersebut.

Selepas terlalu lama berlari sedemikian rupa semasa latihan, jurulatih Arsenal membawa Rocastle ke tengah padang bertanya kepada beliau sama ada dia nampak gol di hujung sana. Rocastle menggelengkan kepala.

Rupa-rupanya selama ini dia mempunyai masalah rabun jauh teruk hanya mampu melihat dalam jarak beberapa meter berdekatannya. Rocastle dibekalkan dengan kanta sentuh dan kariernya mula melonjak selepas itu - kerana dia mula nampak gol di mana.

3. Paul Scholes

paul scholes mata sakit penglihatan

Seorang pemain penting dalam kesebelasan utama pasukan Manchester United di zaman kegemilangan mereka, Paul Scholes terkenal sebagai perancang tengah yang disegani serta mempunyai teknik terjahan paling teruk antara semua pemain segenerasinya.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialaminya dalam satu perlawan tahun 2006 mengakibatkan penglihatannya mula kabur, sehingga tidak lagi mampu fokus kepada objek - akibat kerosakan pada mata kanan.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kondisi beliau dilaporkan gagal menemui penyebab kenapa matanya terus gagal untuk kembali berfungsi dengan sempurna, dikhuatiri akan kekal sebegitu sepanjang hayatnya akibat daripada pendarahan yang berlaku disebabkan pembuluh darah pecah.

Demi membantu Scholes melatih matanya serta memanjangkan karier beliau, kelab Manchester United membekalkan dengan beliau peralatan optik moden yang dinamakan sebagai 'reaktor mata' khas untuk kegunaan beliau.

Dia meneruskan karier, belajar bermain dengan kekurangan yang ada sehinggalah bersara pada tahun 2013 bergelar pemain yang kekal dengan satu kelab sahaja, sepanjang kariernya.

4. David de Gea (Manchester United & Sepanyol)

david de gea manchester united

Penjaga gol kelab Manchester United dan pasukan kebangsaan Sepanyol, David de Gea merupakan antara penjaga gawang terbaik dunia. Namun kebelakangan ini, prestasinya agak merosot serta kerap melakukan kesilapan-kesilapan bodoh untuk penjaga gol sehebat beliau.

Adakah penglihatannya menjadi punca? De Gea mengalami masalah hypermetropia di mana penglihatannya mampu melihat pada jarak jauh, tetapi gagal melihat dalam jarak dekat.

Bagaimanapun dengan bantuan kanta sentuh, prestasinya sejak bermain di Sepanyol bersama kelab Atletico Madrid tidak pernah merudum dan dia masih lincah melindungi gawangnya.

Pada tahun 2012, selepas prestasi tidak menentu De Gea digugurkan dan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan menggunakan laser, bagi membetulkan penglihatannya selepas masalah itu menjadi semakin meruncing. Ada pihak mendakwa De Gea memilih untuk tidak melakukan pembedahan - sebaliknya terus beraksi dengan pemakaian kanta sentuh.

5. Wes Hoolahan (Norwich City & Ireland)

wes hoolahan ireland itali penglihatan bola sepak

Nama Hoolahan mungkin tidak dikenali ramai berbanding kesemua pemain dalam senarai ini, tetapi persembahan baik pasukan Ireland dalam kejohanan Euro 2016 termasuklah kejayaan menumpaskan Itali dalam pusingan kalah mati, terus diceritakan warga Ireland.

Seorang pemain tengah yang berbakat dan mampu menghasilkan hantaran-hantaran tepat, Hoolahan sebenarnya perlu beraksi dengan menggunakan kanta sentuh bagi membolehkan dia melihat.

Kenapa kami masukkan dia dalam senarai ini? Ini kerana penglihatannya terjejas terlalu teruk sehinggakan dia layak dikatakan hampir buta tanpa bantuan. Ada satu insiden di mana dia ketiadaan kanta sentuh, memaksanya meminta bantuan rakan memandunya ke kedai optik.

Dia yang rabun tidak dapat melihat, masuk ke sebuah kedai menjual daging - untuk membeli kanta sentuh.

Selepas kariernya semakin berkembang, Hoolahan menjalani pembedahan bagi membetulkan penglihatannya, seterusnya menjadi antara tonggak pasukan Norwich City selama 10 tahun serta pemain tengah pasukan kebangsaan Ireland yang dikatakan mengubah tradisi permainan Ireland selamanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)