Oleh pada 31 Jul 2018 kategori

Real Madrid adalah sebuah kelab gergasi bola sepak Sepanyol yang sangat terkenal di seluruh dunia. Bermain bersama kelab ini menjadi impian setiap pemain bola sepak profesional, namun harapan oleh semua pihak terhadap pemain Los Blancos adalah sangat tinggi, kadang kala memberikan tekanan kepada pemain. Ada yang tidak mampu untuk menghadapi tekanan ini, dan akhirnya gagal untuk mempamerkan aksi yang terbaik. Berikut adalah senarai pemain yang menyesal kerana berpindah ke Real Madrid.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Nuri Sahin

nuri sahin di real madrid

Ramai yang menjangkakan perpindahan Nur Sahin daripada Borussia Dortmund ke Real Madrid, apatah lagi setelah beliau berjaya memenangi anugerah 'Bundesliga Player of the Season'. Pemain kebangsaan Turki ini mengumumkan perpindahannya ke Santiago Bernabeu pada 9 Mei 2011 dengan kontrak selama 6 tahun.

Walaubagaimanapun, masanya bersama Madrid terbukti suatu bencana buat karier bola sepak beliau. Beliau hanya membuat penampilan sebanyak 4 kali bersama gergasi Sepanyol itu, gagal untuk menjaringkan walaupun satu gol. Ini sangat berbeza ketika beliau di Jerman dahulu, menjaringkan 6 gol dan 8 assist ketika musim akhirnya bersama Borussia Dortmund.

Sahin akhirnya dipinjamkan kepada Liverpool, dan kemudiannya dipinjamkan lagi kepada kelab asalnya Borussia, sebelum beliau berpindah secara rasmi ke kelab tersebut pada tahun 2014. Walaupun sudah pulang untuk bermain di Liga Jerman, penyerang kebangsaan Turki itu tidak lagi diberikan peranan besar untuk skuad negara, seperti sebelumnya.

2. Arjen Robben

arjen robben di real madrid

Berpindah daripada Chelsea ke Real Madrid pada 22 Ogos 2007 dengan kontrak bernilai £24 juta, Robben dijangka untuk mula bermain sejurus tiba di Santiago Bernabéu, namun harapan itu tidak kesampaian. Walaupun beliau mempunyai musim yang baik bersama Los Blancos, ketibaan Cristiano Ronaldo dan Kaka bermaksud kelab tersebut mempunyai lebihan penyerang, dan Robben akhirnya lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Berikutan tamatnya musim 2008/2009, Robben telah dijual ke Bayern Munich dan masih lagi bersama kelab itu sehingga kini, berjaya menghidupkan semula kerjaya bola sepaknya. Ketika bersama Real Madrid, beliau berjaya membolosi gol lawan dengan hanya 13 jaringan dalam 65 penampilan di Liga Sepanyol, namun jumlah itu meningkat kepada 95 gol dalam 189 perlawanan mewakili Bayern Munich. Robben pernah mengeluarkan kenyataan berikut pada tahun 2014:

"Meninggalkan Madrid untuk ke Bayern adalah keputusan paling tepat dalam hidup saya."

3. Klaas-Jan Huntelaar

klaas jan huntelaar di real madrid

Penyerang serba boleh ini berjaya menjaringkan 76 gol dalam hanya 92 perlawanan dalam liga Belanda dan merupakan pemain kesayangan di Ajax. Namun apabila tiba di Madrid pada 4 Januari 2009, beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa dirinya tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad untuk ke Liga Juara-Juara Eropah (UEFA Champions League).

Dengan Real Madrid turut membawa masuk Lassana Diarra daripada Portsmouth pada Januari sama, Huntelaar kini mempunyai pesaing terdekat. Hanya seorang sahaja yang akan dipilih untuk memenuhi skuad UCL menurut syarat UEFA, dan Diarra berjaya.

Huntelaar akhirnya berpindah ke AC Milan pada musim panas, hanya 6 bulan selepas bersama Los Blancos. Beliau kemudiannya sekali lagi berpindah, kali ini berkhidmat untuk Schalke sebelum kembali ke negara ibundanya, Belanda untuk bersama Ajax kembali.

4. Michael Owen

michael owen di real madrid

Pemain terakhir England yang berjaya memenangi anugerah Ballon d'Or ini sangat disayangi dan dipuja ketika beliau bersama Liverpool, menjaringkan secara purata satu gol untuk setiap perlawanan, sehinggalah kontroversi perpindahan beliau ke Real Madrid pada tahun 2004.

Diberikan jersi bernombor 11, Owen dilihat bergelut ketika awal beraksi untuk Los Blancos, dan lebih banyak meluangkan masa memanaskan kerusi simpanan. Dengan saingan dengan bintang-bintang besar seperti Raul dan Ronaldo, Owen gagal mempamerkan aksi terbaik di Sepanyol, hanya berjaya menjaringkan 13 gol sepanjang 36 perlawanan.

Pihak pengurusan Madrid tidak gembira dengan apa yang mereka lihat, dan membuat keputusan untuk menjual Owen musim panas berikutnya. Owen berpindah ke Newcastle, sebelum bersama Manchester United, dan akhirnya ke Stoke di mana beliau mengakhiri kerjayanya di sana.

5. Kaka

kaka di real madrid

Kaka menyertai Real Madrid ketika beliau sedang berada di puncak kerjayanya. Berjaya memenangi Ballon d'Or pada tahun 2007, dan kemudiannya menjadi finalis 2 musim berikutnya untuk anugerah yang sama, pemain kebangsaan Brazil ini berkata perpindahan tersebut adalah peluang sekali seumur hidup. Beliau telah memenangi segalanya bersama kelab Itali itu, termasuklah UEFA Champions League pada musim 2006/2007, dan merasakan itulah masa yang sesuai untuk beliau berpindah.

Real Madrid membeli Kaka pada tahun 2009 dengan yuran perpindahan sebanyak €67 juta, namun tiada siapa tahu bahawa perpindahan tersebut bakal memulakan suatu pengakhiran buat kerjaya beliau. Dengan kehadiran Cristiano Ronaldo dan Mesut Ozil ke Santiago Bernabéu, Kaka banyak disisihkan di bangku simpanan sebahagian besar musim. Kecederaan juga menjadi salah satu sebab lain yang memusnahkan kerjaya beliau.

Kaka membuat sebanyak 85 penampilan bersama Madrid dalam liga Sepanyol, namun hanya berjaya menjaringkan 23 gol sebelum beliau berpindah semula ke Milan pada 2013. Sekembalinya ke Itali, beliau gagal mempamerkan aksi hebat seperti sebelumnya, dan akhirnya berpindah ke Orlando City pada tahun 2014, dan mengumumkan persaraan 3 tahun berikutnya. Menurut Kaka:

"Pada 2009, saya menerima tawaran daripada Real Madrid, namun selepas perpindahan tersebut, kerjaya saya telah musnah sepenuhnya, kerana saya gagal untuk meniru kejayaan saya bersama Milan. Saya berasa hilang arah. Di Itali, semua orang sayangkan saya, namun di Sepanyol, mereka semua inginkan saya pergi."

[Berkaitan: 5 Pemain Bola Sepak Terkenal Yang Menyesal Kerana Tidak Berpindah Ke Real Madrid]

Sumber:

sportskeeda.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)