Oleh pada 26 Dec 2017 kategori

Pendapatan per kapita, atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita merujuk kepada jumlah hasil dalam negeri atau wilayah persekutuan yang dikumpulkan dan dibahagikan mengikut jumlah penduduk.

Contoh paling mudah, jika pendapatan dalam negeri atau wilayah persekutuan adalah RM 1,000, dan jumlah penduduk dalam negeri atau wilayah persekutuan itu adalah 10 orang, maka pendapatan per kapita adalah RM 100. 

Kiraan mengikut KDNK per kapita merupakan salah satu cara untuk mengenalpasti taraf hidup rakyat dalam sesebuah negeri/wilayah persekutuan atau negara. 

Jom kita semak 5 negeri atau wilayah persekutuan di Malaysia yang memperoleh pendapatan dalam negeri atau wilayah persekutuan per kapita setahun terbanyak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nota: Senarai ini dikemaskinikan kali terakhir pada tahun 2016.

5. Sarawak: RM 44,333 setahun (RM 3,694 sebulan)

Sumber foto: Wikipedia / CoolCityCat

Setelah Malaysia dibentuk, KDNK negeri Sarawak menunjukkan peningkatan dari segi kadar pertumbuhan. Ia berpunca daripada kenaikan pengeluaran dan harga petroleum global.

Antara tahun 1970 hingga 1990, KDNK per kapita di Sarawak lebih rendah berbanding purata kebangsaan. Keadaan ini berlarutan sehingga tahun 2016, dimana jurang pendapatan bandar-luar bandar terus menjadi masalah serius di Sarawak.

Terdapat pelbagai sumber asli di Sarawak. Pada tahun 2013, 32.8% daripada ekonominya datang dari industri utama seperti perlombongan, pertanian dan perhutanan.

Terdapat juga pengkhususan dalam pembuatan makanan dan minuman, produk berasaskan kayu dan rotan, produk logam asas, dan petrokimia, serta kargo dan perkhidmatan udara dan pelancongan.

Gas asli cecair mendominasi ekonomi berorientasikan eksport. Lebih separuh daripada jumlah eksport turut disumbangkan oleh industri tersebut.

Petroleum mentah menyumbang sejumlah 20.8%, manakala minyak sawit, sawlog, dan kayu gergajian mengumpul sebanyak 9.0%. Petronas memberikan 5% royalti kepada kerajaan bagi penerokaan minyak di perairan wilayahnya.

Pelancongan di negeri Sarawak menjadi tunjang utama dalam ekonomi negara. Pada tahun 2015, ia menyumbang 9.3% daripada KDNK negeri. Majoriti pelancong asing di sini datang dari negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura dan China.

4. Selangor: RM 44,616 setahun (RM 3,718 sebulan)

selangor negeri ke 4 terkaya di malaysia

Sumber foto: percutianbajet.com

Pasaran ekonomi di negeri Selangor adalah maju dan terbuka. Pada tahun 2008, Ia mempunyai KDNK per kapita (PPP) tertinggi di Malaysia, iaitu sekitar $33,147, setaraf dengan nilai per kapita negara eropah barat dan Hong Kong.

Ekonomi negeri ini disokong kuat oleh bidang eksport, perindustrian, pertanian dan perkhidmatan. Kepimpinan menteri besar dalam bidang ini membuatkannya ekonomi di Selangor sentiasa berdaya maju.

Sektor perindustian menjadi elemen terpenting dalam merancakkan lagi ekonomi negeri Selangor. Pada tahun 2008, ia menyumbang lebih 58% dalam KDNK negeri dan sekaligus menjadi nadi ekonomi negara. 

Pelabuhan Klang adalah aspek utama bagi kemajuan perindustrian di negeri ini. Malah, ia merupakan pelabuhan tersibuk di Malaysia. Negeri Selangor juga menjadi fokus utama pelabur asing dari luar negara.

Sektor pembuatan terbesar di Malaysia seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif juga beroperasi di sini. 

Biarpun sumbangan bidang pertanian kepada KDNK negeri cuma 3.1%, ia semakin menunjukkan perkembangan positif. Sawah padi di Kuala Selangor telah berjaya menghasilkan lebih 7 tan sehektar, iaitu hasil purata sehektar tertinggi di Malaysia.

Aktiviti pertanian seperti kelapa sawit dan getah turut dijalankan di negeri ini. Penyumbang kedua terbesar terhadap KDNK negeri ialah sektor perkhidmatan, sebanyak 38%.

3. Pulau Pinang: RM 47,322 setahun (RM 3,943 sebulan)

pulau pinang negeri ke 3 terkaya di malaysia

Sumber foto: isn.gov.my

Pulau Pinang atau nama gelarannya, "Mutiara Timur" dikenali sebagai syurga makanan. Kebanyakan pengunjung datang dari seluruh Malaysia dan Singapura untuk menikmati pelbagai jenis hidangan istimewa di sini.

Terdapat banyak hotel mewah di pantai peranginan yang ternama, Batu Ferringhi. Destinasi bandar bersejarah, Georgetown merupakan destinasi tumpuan pelancong. Bangunan tertingginya, Komtar merupakan mercu tanda utama negeri ini.

Kegiatan perdagangan telah menunjukkan kemerosotan yang ketara. Ia berpunca daripada kehilangan taraf pelabuhan bebas dan kemajuan aktif di Pelabuhan Klang. Namun, sebuah terminal kontena di Butterworth yang masih meneruskan operasinya di sebelah utara.

Sektor pengeluaran merupakan antara penyumbang utama dalam ekonomi negeri. Industrialisasi di bahagian selatan pulau juga berkembang pesat, dengan kewujudan barisan kilang elektronik teknologi tinggi, terletak di Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru.

Ekonomi Pulau Pinang turut meliputi sektor-sektor utama yang lain seperti pelancongan, kewangan dan lain-lain perkhidmatan.

2. Wilayah Persekutuan Labuan: RM 61,833 setahun (RM 5,152 sebulan)

labuan negeri ke 2 terkaya di malaysia

Sumber foto: Wikipedia / JKT-c

Pada April 2009, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bertindak menyenaraihitamkan Labuan sebagai salah satu daripada "syurga bagi rahsia perbankan". Ini adalah atas permintaan sekumpulan 20 negara kaya dan membangun.

Selain Malaysia, negara-negara lain seperti Filipina, Costa Rica dan Uruguay juga terlibat. Keempat-empat negara ini dipilih atas faktor keengganan untuk menerima peraturan baru keterbukaan kewangan. Ia melibatkan pertukaran maklumat tentang cukai.

Akan tetapi, OECD mengeluarkan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan dalam senarai hitam syurga cukai beberapa hari kemudian. Senarai tersebut melibatkan negeri yang gagal memberi kerjasama atau komitmen bagi menghapuskan penyalahgunaan pematuhan dalam piawai percukaian.

1. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Termasuk Putrajaya): RM 101,420 setahun (RM 8,451 sebulan)

kuala lumpur negeri terkaya di malaysia

Sumber foto: Utusan Online

Kuala Lumpur dan seluruh kawasan bandar di sekitarnya membentuk suatu rantau yang paling pesat membangun dari segi ekonomi di Malaysia.

Biarpun pentadbiran kerajaan persekutuan beralih ke Putrajaya, sesetengah badan kerajaan seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, termasuklah majoriti kedutaan dan misi diplomatik masih berada di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur juga kekal sebagai pusat ekonomi, perniagaan, kewangan, insurans, hartanah, media dan kesenian negara. Bursa Malaysia adalah antara pembentukan kegiatan ekonomi utamanya.

Pembangunan prasarana seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Koridor Raya Multimedia dan Pelabuhan Klang menstabilkan lagi kepentingan ekonomi bandaraya ini. 

Ibu negara Malaysia ini mempunyai jumlah tenaga kerja seramai kira-kira 838,400 orang. Sektor perkhidmatan menghasilkan paling ramai tenaga kerja, iaitu 83.0% daripada jumlah guna tenaga.

Ia meliputi kewangan, insurans, hartanah, khidmat perniagaan, pemborongan dan peruncitan, restoran dan hotel, pengangkutan, simpanan dan komunikasi, utiliti, khidmat peribadi dan khidmat kerajaan. 17% yang lain mewakili sektor perkilangan dan pembinaan.

Syarikat perbankan, dan insurans tempatan dan antarabangsa merupakan sektor perkhidmatan terbesar. Kuala Lumpur bakal menjadi pusat kewangan Islam sedunia. Kebanyakan ibu pejabat syarikat gergasi antarabangsa terletak di sini.

Antara kegiatan ekonomi utama yang lain adalah seperti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Terdapat pelbagai pusat kepakaran perubatan, dan hospital awam dan swasta yang menawarkan perkhidmatan seperti kesihatan am, serta rawatan dan pembedahan pakar, kepada penduduk tempatan dan warga asing.

Sektor pelancongan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan. Oleh itu, Kuala Lumpur mampu terus berkembang dengan pelbagai pilihan pusat beli-belah dan hotel terkemuka yang menarik minat pelancong asing. Pelancongan persidangan seperti penganjuran konvensyen juga semakin dipandang berat.

Rujukan:

1.    Faktashamsul.blogspot.com

2.    Jabatan Perangkaan Malaysia

3.    Wikipedia




Hakcipta iluminasi.com (2017)